Mesej utama
• Mungkin tiada perbezaan dalam kehilangan buah pinggang yang dipindahkan (prosedur pembedahan di mana buah pinggang dipindahkan dari satu orang (penderma) kepada orang lain ( penerima)], kematian, penolakan akut atau kronik (sistem imun badan menyerang buah pinggang yang dipindahkan), atau insiden kanser antara penerima pemindahan buah pinggang lelaki dan wanita (takrifan “lelaki” atau “wanita” adalah berdasarkan perbezaan biologi).
• Hanya satu kajian yang menyiasat jantina (ditakrifkan sebagai identiti sosiobudaya seseorang), dan tiada kesimpulan yang dapat dibuat tentang kesan jantina terhadap hasil pemindahan buah pinggang.
Apakah isunya?
Bagi orang dengan kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan baik untuk memastikan kelangsungan hidup), pemindahan buah pinggang (prosedur pembedahan di mana buah pinggang dipindahkan dari seseorang - penderma kepada orang lain - penerima) dapat memperbaik dengan ketara survival dan kualiti kehidupan seseorang. Oleh itu, adalah penting untuk menilai semua faktor yang boleh mengimpak hasil penting, seperti survival buah pinggang yang dipindahkan dan survival keseluruhan. Jantina penerima, yang ditakrif sebagai “lelaki” atau “wanita” berdasarkan perbezaan biologi, boleh mengimpak keputusan ini melalui proses imunologi yang mempengaruhi penolakan graf. Jantina, yang ditakrifkan sebagai identiti sosiobudayal individu, boleh mempengaruhi faktor-faktor seperti kepatuhan ubat, yang juga boleh mempengaruhi hasil-hasil yang relevan. Walau bagaimanapun, tidak jelas pada masa ini jika terdapat impak.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika seks atau jantina seseorang mempengaruhi hasil pasca pemindahan seperti penolakan buah pinggang (disebabkan oleh sistem imun badan menyerang buah pinggang yang dipindahkan), kehilangan buah pinggang yang dipindahkan, perkembangan kanser, atau kematian.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari literatur perubatan terutamanya untuk kajian kohort (kajian yang mengikuti orang dalam satu tempoh masa), kajian kawalan-kes (kajian membandingkan dua kumpulan orang dengan dan tanpa hasil khusus kami) dan kajian keratan rentas (data yang dikumpulkan dari kebanyakan individu pada satu titk masa) yang memfokus kepada bagaimana seks dan jantina mengimpak survival graf, kematian, insiden kanser dan penolakan selepas buah pinggang dan pemindahan pankreas-ginjal serentak. Kami tidak sertakan kajian-kajian yang tidak mendefinisi seks dan jantina dengan jelas. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 53 kajian dengan 2,940,273 pesakit, dengan jumlahnya antara 59 hingga 407,963, dan di antara kajian-kajian ini, 46% adalah wanita dan 54% lelaki. Enam belas kajian dijalankan di Amerika, 12 di Eropah, 11 di Pasifik Barat, empat di Mediterranean Timur, tiga di Afrika, dua di Asia Tenggara dan lima di pelbagai wilayah. Berbanding lelaki, wanita mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam kehilangan buah pinggang yang dipindahkan, kematian, mereka yang didiagnosis dengan kanser, atau penolakan akut atau kronik. Kami hanya menemui satu kajian yang memfokus kepada jantina penerima dan, oleh itu, tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan jantina terhadap hasil selepas pemindahan buah pinggang.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah kerana kebanyakan kajian tidak menentukan seks atau jantina secara berasingan, dan penggunaan istilah tersebut sering diguna bertukar ganti. Kajian dijalankan dalam jangka masa yang sangat luas (dari 1990 hingga 2023), dan definisi, terutama untuk penolakan akut, telah berubah dalam tempoh 30 tahun ini.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari pangkalan data sehingga 12 April 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zuraidah Che Man (Hospital Canselor Tuanku Muhriz). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).