Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan alat penilaian kognitif yang dilengkapkan sendiri untuk mengesan demensia?

Mesej utama

- Bukti menunjukkan bahawa alat penilaian kognitif yang dilengkapkan oleh individu sendiri boleh digunakan untuk mengesan dan mendiagnosis demensia.

- Tiada bukti yang mencukupi untuk mengesyorkan satu jenis alat penilaian berbanding yang lain.

- Penyelidikan lanjutan mengenai penggunaan alat penilaian ini dalam persekitaran berbeza, seperti klinik atau di rumah, dan skor yang menunjukkan demensia diperlukan.

Mengapakah pentingnya penambahbaikan bagi pengesanan demensia?

Bilangan orang yang didiagnosis dengan demensia dijangka meningkat dengan ketara pada masa hadapan kerana populasi global hidup lebih lama. Ini akan mendatangkan kos penjagaan kesihatan dan sosial yang ketara. Demensia adalah keadaan kekal di mana ingatan merosot sehingga individu memerlukan bantuan dengan aktiviti seharian mereka. Diagnosis yang tepat dan cepat membolehkan individu dengan demensia dan keluarga mereka memperoleh rawatan dan sokongan. Kegagalan untuk mengenalipasti keadaan ini apabila ia wujud (keputusan ujian negatif palsu) boleh menyebabkan kelewatan dalam memperoleh rawatan bagi bantuan ingatan, pemikiran dan tingkah laku, serta memperoleh sokongan daripada perkhidmatan sosial, seperti kerja sosial dan terapi pekerjaan. Diagnosis demensia yang salah (ujian positif palsu) boleh membawa penderitaan individu dan keluarga mereka dari segi emosi dan psikologi. Pada masa ini, diagnosis demensia melibatkan penilaian secara bersemuka di klinik khusus, di mana sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal, ujian darah dan imbasan otak dipertimbangkan.

Apakah itu alat penilaian kognitif kendiri?

Alat penilaian kognitif kendiri ialah ujian yang dilengkapkan oleh individu sendiri. Ia direka bentuk untuk menilai aspek kapasiti mental (kognisi) yang berbeza termasuk ingatan, bahasa dan persepsi. Penilaian tersebut boleh melibatkan soalan untuk dijawab atau tugasan yang perlu diselesaikan. Alat penilaian kendiri ini tidak akan menggantikan penilaian klinikal terperinci yang diperlukan untuk diagnosis demensia, tetapi ia berguna dalam situasi di mana penilaian secara bersemuka mungkin sukar, seperti semasa pandemik global, atau di kawasan yang mempunyai kekurangan perkhidmatan perubatan. Terdapat beberapa alat penilaian kognitif berbeza; mereka berbeza dalam jenis kandungan, sistem pemarkahan dan format (elektronik atau bertulis).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh manakah ketepatan alat penilaian kognitif kendiri dalam mengesan demensia.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat ketepatan alat penilaian kognitif kendiri untuk demensia dalam golongan dewasa (umur 18 tahun ke atas) yang dijalankan tidak kira di mana-mana persekitaran penjagaan kesihatan.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 11 kajian dengan sejumlah 2303 peserta yang telah menguji enam alat penilaian berbeza. Lima kajian telah melihat satu ujian yang dipanggil 'Test Your Memory'; ia telah diuji dalam lima bahasa berbeza. Dua kajian melihat 'Self-Administered Gerocognitive Examination’; satu kajian menguji versi bertulis ujian tersebut dan satu lagi menguji versi elektronik. Satu kajian telah melihat setiap alat penilaian kognitif berikut secara individu: 'Clock Completion Test', 'Korean Dementia Screening Questionnaire-Cognition', 'BrainCheck Memory' dan 'MyMemCheck'. Semua alat penilaian ini mempunyai sistem pemarkahan berbeza dan sesetengah kajian telah melihat beberapa markah minimum bagi menunjukkan sama ada individu itu mengalami demensia atau tidak.

Kajian dilakukan di seluruh Eropah, Amerika Syarikat, dan Korea Selatan. Kemudahan penjagaan kesihatan termasuklah pusat komuniti, rumah jagaan, dan klinik hospital, dan sebilangan kajian menyertakan beberapa jenis kemudahan penjagaan. Umur purata individu yang mengambil ujian adalah berbeza dalam kalangan kajian, dari 50 hingga 60 tahun ke 80 hingga 90 tahun.

Kami mendapati bahawa alat-alat penilaian kognitif ini boleh mengenal pasti individu yang menghidapi demensia dengan ketepatan antara 55% dan 100%, dan boleh menolak kemungkinan demensia dengan ketepatan antara 45% dan 100%. Julat-julat ini adalah disebabkan oleh perbezaan dalam populasi kajian, persekitaran, jenis alat penilaian dan skor minimum diagnostik (markah minimum bagi diagnosis demensia). Kami merumuskan keputusan daripada tiga kajian yang menggunakan 'Test Your Memory' dan mendapati bahawa dengan pengunaan markah minimum 42/50, alat penilaian ini boleh mengenal pasti individu yang menghidap demensia dengan ketepatan sekitar 94% dan menolak kemungkinan demensia di sekitar 66%.

Sejauh manakah keputusan ulasan ini boleh dipercayai?

Dalam kajian yang kami temui, diagnosis alat sama ada individu itu mengalami demensia telah disahkan oleh penilaian klinikal tradisional untuk demensia, secara bersemuka. Terdapat beberapa masalah dengan kaedah yang digunakan dalam beberapa kajian, termasuklah cara peserta dipilih untuk kajian, dan masa serta butiran penilaian klinikal tidak selalu jelas. Sesetengah kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil.

Ketepatan keputusan ujian adalah rumusan berdasarkan bukti daripada kajian yang kami periksa. Keputusan yang dihasilkan oleh kajian-kajian individu berbeza, oleh itu, kami tidak dapat memastikan sekiranya alat penilaian kognitif ini akan sentiasa menghasilkan keputusan yang sama dalam amalan klinikal.

Sejauh manakah terkininya ulasan ini?

Bukti ini dikemas kini sehingga November 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Arnoldweld Sikat. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Naeem F, McCleery J, Hietamies TM, Abakar Ismail F, Clinton S, O'Mahony A, Ponce OJ, Quinn TJ. Diagnostic test accuracy of self-administered cognitive assessment tools for dementia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD013725. DOI: 10.1002/14651858.CD013725.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan