Mesej utama
• Satu bentuk imunoterapi yang dikenali sebagai perencat pusat pemeriksaan imun (ICI), yang menggunakan sistem imun badan untuk melawan penyakit, telah menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam rawatan beberapa jenis kanser.
• Tujuh kajian telah melihat ICI kematian sel anti-diprogramkan 1 (anti-PD-1) untuk rawatan kepada orang dewasa yang mengalami glioblastoma. Enam daripada mereka tidak menunjukkan sebarang manfaat. Satu kajian kecil menunjukkan peningkatan dalam kemandirian keseluruhan dan kemandirian tanpa perkembangan, tetapi bukti sangat tidak pasti.
• Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk melihat kombinasi ICI yang berbeza.
Apakah glioblastoma?
Glioblastoma (GBM) adalah kanser ketumbuhan otak yang paling kerap terjadi di kalangan dewasa. Orang yang didiagnosis dengan GBM boleh mengalami pelbagai gejala , termasuk sakit kepala, perubahan tingkah laku dan personaliti, sawan atau gejala yang lain yang menyerupai angin ahmar. Ini boleh berlaku dalam tempoh yang lebih lama atau lebih singkat. Kemandirian keseluruhan (tempoh masa dari tarikh diagnosis atau permulaan rawatan hingga kematian) adalah sekitar 16 bulan.
Rawatan adalah secara asasnya membuang sebanyak mungkin ketumbuhan melalui pembedahan, diikuti dengan kemoterapi dan radioterapi; namun, ini tidak begitu berkesan, oleh itu, terdapat keperluan untuk rawatan alternatif . Rawatan baharu menggunakan imunoterapi (perencat pusat pemeriksaan imun (ICI), atau penyekat pusat pemeriksaan imun (ICB)) telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan untuk merawat sesetengah kanser, dengan kadar tindak balas yang baik, yang membawa kepada kemandirian yang bertambah baik . ICI menghentikan keradangan tidak diingini dan kerosakan pada tisu normal, bertindak sebagai 'brek' untuk menghentikan tindak balas imun badan. Kajian terbaru mengenai tisu ketumbuhan daripada orang yang menghidap GBM menunjukkan bahawa mereka mempunyai reseptor yang berinteraksi dengan ICI. Kita perlu tahu sama ada ICI boleh merawat GBM dan meningkatkan kemandirian pesakit.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada dua jenis ICI (kematian sel anti-diprogram 1 (anti-PD-1) dan ligan kematian sel anti-diprogram 1 (anti-PD-L1)) berkesan dan selamat pada orang dewasa yang menghidap GBM.
Kita perlu membezakan orang yang menghidap GBM yang akan bertindak balas terhadap jenis rawatan tertentu daripada mereka yang tidak. Pengenalpastian penanda yang meramalkan tindak balas terhadap anti-PD-1/anti-PD-L1 akan membantu untuk menentukan siapa yang paling mendapat manfaat daripada rawatan ini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada kesan ICI (seperti nivolumab dan pembrolizumab) pada dewasa yang menghidap GBM. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tujuh kajian bertarikh dari 2019 hingga 2023. Kajian melihat kepada rawatan anti-PD-1 dalam sejumlah 1953 orang yang baru didiagnosis dengan GBM (3 kajian) dan berulang (4 kajian). Setiap kajian melihat kepada perbandingan yang berbeza ,menghalang penggabungan data. Kajian melihat kepada tujuh perbandingan berikut.
• Nivolumab versus bevacizumab
• Nivolumab ditambah bevacizumab dos tinggi berbanding nivolumab ditambah bevacizumab dos rendah
• Pembrolizumab ditambah bevacizumab berbanding pembrolizumab
• Pembrolizumab digunakan sebelum dan selepas pembedahan untuk membuang ketumbuhan berbanding pembrolizumab yang digunakan hanya selepas pembedahan
• Nivolumab ditambah radioterapi berbanding temozolomide ditambah radioterapi
• Nivolumab ditambah temozolomide dan radioterapi berbanding temozolomide ditambah radioterapi
• Nivolumab ditambah temozolomide berbanding temozolomide pada orang yang lebih tua
Keputusan daripada enam kajian menunjukkan tiada manfaat untuk kelangsungan hidup secara keseluruhan. Satu kajian mencadangkan bahawa pembrolizumab yang digunakan sebelum dan selepas pembedahan untuk membuang ketumbuhan boleh meningkatkan kemandirian keseluruhan jika dibandingkan dengan pembrolizumab yang digunakan hanya selepas pembedahan, tetapi bukti sangat tidak pasti.
Keputusan daripada enam kajian menunjukkan tiada manfaat untuk kelangsungan hidup tanpa perkembangan (tempoh masa seseorang menjalani rawatan sebelum kanser mula tumbuh semula). Satu kajian mencadangkan bahawa pembrolizumab yang digunakan sebelum dan selepas pembedahan untuk membuang ketumbuhan boleh meningkatkan kelangsungan hidup tanpa perkembangan jika dibandingkan dengan pembrolizumab yang digunakan hanya selepas pembedahan, tetapi bukti sangat tidak pasti.
Apakah batasan bukti?
Kami hanya sangat rendah hingga sederhana yakin dengan bukti kerana kaedah kajian kadangkala tidak jelas dan oleh itu mungkin tidak mencukupi, dan dalam enam kajian, orang yang menilai hasil mengetahui rawatan yang telah diterima oleh peserta, yang boleh mempengaruhi keputusan. Kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kita terhadap penemuan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 8 Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Siti Aishah Binti Salim (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).