Mesej utama
• Kami membandingkan lurasidone, sejenis ubat antipsikotik yang baharu, dengan ubat antipsikotik tradisional seperti haloperidol dalam rawatan skizofrenia.
• Berdasarkan dua kajian, kami tidak pasti sama ada lurasidone mengurangkan gejala skizofrenia atau menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini kurang berbanding ubat tradisional.
• Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan manfaat dan potensi mudarat lurasidone dalam rawatan skizofrenia.
Apakah itu skizofrenia?
Skizofrenia ialah suatu keadaan yang menjejaskan cara seseorang melihat realiti, seterusnya mengakibatkan berlakunya gejala seperti halusinasi, delusi atau khayalan (kepercayaan yang tidak selaras dengan realiti), dan kesukaran untuk berfikir dengan jelas. Keadaan ini juga boleh menyebabkan persekitaran yang biasa terasa asing dan menjejaskan hubungan sosial serta interaksi dengan orang lain. Meskipun kehidupan dengan skizofrenia adalah mencabar, kebanyakan pesakit tekal berusaha untuk mengawal gejala yang dialami dan menjalani kehidupan yang bermakna.
Bagaimanakah skizofrenia dirawat?
Ubat antipsikotik amat penting untuk mengurangkan gejala-gejala serius skizofrenia.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada lurasidone:
• Lebih berkesan daripada ubat antipsikotik tradisional seperti haloperidol dalam mengurangkan gejala skizofrenia.
• Menyebabkan lebih sedikit kesan yang tidak diingini.
• Memperbaiki kualiti hidup atau mengurangkan risiko kematian akibat bunuh diri atau secara semula jadi.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mengulas kajian klinikal yang membandingkan lurasidone dengan ubat antipsikotik tradisional. Tumpuan kami adalah pada perubahan gejala skizofrenia dan sama ada lurasidone menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini. Kami juga meneliti bukti berkaitan kualiti hidup, kematian akibat bunuh diri atau secara semula jadi serta hasil dapatan penting yang lain.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian yang melibatkan 308 orang dewasa dengan skizofrenia (220 lelaki dan 85 wanita). Kajian-kajian ini membandingkan lurasidone dengan haloperidol, sejenis ubat antipsikotik tradisional. keputusan menunjukkan:
• Gejala skizofrenia: Tidak jelas sama ada lurasidone memperbaiki gejala skizofrenia sebagaimana yang diukur menggunakan skala biasa (misalnya, Brief Psychiatric Rating Scale). Satu kajian menunjukkan sedikit penambahbaikan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.
• Kesan sampingan yang tidak diingini: Tidak jelas sama ada lurasidone menyebabkan lebih banyak atau kurang kesan sampingan yang tidak diingini berbanding haloperidol.
• Hasil lain: Tiada kajian yang menilai sama ada lurasidone mengurangkan risiko bunuh diri atau meningkatkan kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Bukti ini hanyalah bersandarkan kepada dua kajian kecil. Hal ini mengehadkan keyakinan kami terhadap keputusannya. Selain itu, kajian-kajian ini dijalankan dalam populasi tertentu, maka penemuannya mungkin tidak boleh digeneralisasikan kepada semua pesakit skizofrenia. Kedua-dua kajian juga mempunyai kelemahan dari sudut reka bentuk, yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan keputusan mereka.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohamad Nur Firdaus Zulkifli (Universiti Malaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).