Mesej utama
• Tiada sebarang kajian yang melaporkan kematian atau kesan serius yang tidak diingini (kecuali satu kajian yang mencatatkan kadar intubasi (proses memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan)).
• Ventilasi tekanan positif tidak invasif boleh membantu meningkatkan skor gejala asma, mengurangkan kadar intubasi, dan memendekkan tempoh rawatan di unit rawatan rapi pediatrik, namun keputusannya amatlah tidak pasti.
Bagaimanakah asma akut di kalangan kanak-kanak dirawat?
Asma merupakan isu kesihatan awam utama di seluruh dunia dengan beban kewangan yang signifikan. Kanak-kanak yang menghidap asma sering mengalami episod asma akut yang menyebabkan kemasukan ke hospital, dan dalam sesetengah keadaan, memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi.
Rawatan asma akut, terutamanya bagi kanak-kanak yang dimasukkan ke unit rawatan rapi, kebanyakannya terdiri daripada bronkodilator yang diberikan secara sedutan atau intravena (diberikan melalui vena) untuk mengendurkan otot-otot dalam saluran pernafasan dan kortikosteroid untuk mengurangkan keradangan. Bagi kebanyakan pesakit yang menghidap masalah asma akut, proses pernafasan adalah sukar, maka bantuan pernafasan boleh diberikan dalam bentuk ventilasi tekanan positif tidak invasif (NPPV), misalnya tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) atau tekanan saluran udara positif dwitahap (BiPAP). Kedua-dua cara ini membolehkan sokongan tekanan positif diberikan tanpa menggunakan saluran udara buatan yang invasif. CPAP memberikan tekanan berterusan kepada pesakit sepanjang kitaran pernafasan, manakala BiPAP memberikan tekanan yang lebih tinggi semasa proses menarik nafas berbanding ketika menghembus nafas. Tekanan positif ini lazimnya dibekalkan menerusi alat pernafasan di hidung atau topeng muka penuh (meliputi hidung dan mulut) dan disambungkan kepada penjana aliran.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin menjalankan ulasan ini kerana walaupun NPPV mungkin berguna sebagai terapi tambahan kepada rawatan biasa untuk asma akut, garis panduan amalan klinikal tidak mengesyorkannya. Oleh sebab berlakunya peningkatan dalam penggunaan NPPV bagi kanak-kanak yang menghidap asma akut, kami membuat keputusan untuk mengemas kini ulasan kami yang terdahulu.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mengkaji bukti sedia ada berkenaan NPPV bagi menilai kebaikan dan keburukan NPPV kepada kanak-kanak yang menghidap masalah asma akut.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian yang melibatkan sejumlah 120 kanak-kanak dengan umur median antara tiga hingga enam tahun. Kesemua kajian merupakan kajian berpusat tunggal, yakni dua kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan satu kajian dijalankan di India. Kajian yang disertakan menilai kesan penggunaan BiPAP yang diberikan dalam tempoh 2 hingga 24 jam.
Keputusan utama
Secara keseluruhannya, kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada NPPV adalah berbeza berbanding rawatan biasa (yakni tanpa NPPV) bagi kematian akibat sebarang punca atau kesan serius yang tidak diingini (iaitu komplikasi utama). Kajian yang disertakan menunjukkan bahawa NPPV boleh membawa kepada penambahbaikan gejala asma, mengurangkan keperluan intubasi (proses memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan) dan memendekkan tempoh rawatan di unit rawatan rapi pediatrik, namun hasil dapatannya amat tidak pasti. Kajian yang lebih besar diperlukan.
Apakah batasan bukti?
Bukti dalam ulasan ini adalah sangat tidak pasti. Kajian-kajian yang disertakan mempunyai risiko bias yang tinggi (iaitu kajian tersebut dijalankan dengan cara yang mungkin cenderung ke arah penghasilan keputusan yang positif). Di samping itu, kajian-kajian tersebut menyertakan bilangan peserta yang sedikit, menjadikan keputusan kami kurang tepat.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohamad Nur Firdaus Zulkifli (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).