Langkau ke kandungan utama

Menyediakan doktor dengan maklum balas kepatuhan ubat-ubatan untuk orang dengan penyakit kronik yang mengambil ubat untuk jangka panjang

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada menyediakan doktor dengan maklum balas kepatuhan ubat-ubatan pesakit mereka dengan penyakit kronik yang mengambil ubat untuk jangka panjang boleh memperbaiki kepatuhan, hasil pesakit, penggunaan sumber kesihatan, dan proses penjagaan.

Mesej utama

Menyediakan doktor dengan maklum balas kepatuhan ubat pesakit mereka boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan yang dipreskrib, hasil pesakit, dan penggunaan sumber kesihatan, tetapi ia boleh memperbaiki proses penjagaan. Kepastian bukti adalah rendah.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Para doktor cenderung untuk membuat anggaran yang berlebihan bagaimana pesakit mereka mengambil ubat seperti yang dipreskrib dan dengan itu terlepas peluang untuk memperbaiki kepatuhan. Peluang-peluang ini termasuk tindakan seperti menukar ubat, menyelesaikan kesan buruk, dan mencadangkan penggunaan peringatan ubat. Oleh itu, memaklumkan pakar perubatan tentang kepatuhan ubat pesakit mereka boleh menukar tingkah laku doktor dan seterusnya meningkatkan kepatuhan ubat.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati sembilan kajian yang direka dengan baik, melibatkan 23,255 pesakit. Semua kajian berlaku dalam persekitaran pesakit luar. Kami mendapati menyediakan doktor dengan maklum balas mengenai kepatuhan ubat pesakit mereka menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kepatuhan, hasil pesakit, atau penggunaan sumber kesihatan, tetapi ia mungkin memperbaiki proses penjagaan. Maklum balas kepada doktor sahaja mungkin tidak cukup untuk mempengaruhi kepatuhan. Kepastian bukti bagi setiap hasil adalah rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 2 Disember 2016.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Petikan
Zaugg V, Korb-Savoldelli V, Durieux P, Sabatier B. Providing physicians with feedback on medication adherence for people with chronic diseases taking long-term medication. Cochrane Database of Systematic Reviews 2018, Issue 1. Art. No.: CD012042. DOI: 10.1002/14651858.CD012042.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan