Mesej utama
• Kami tidak pasti sama ada ubat antikoagulan klasik (yang biasanya dikenali sebagai ‘pencair darah’) atau ubat pencair darah baharu yang dikenali sebagai ‘perencat faktor Xa secara langsung’ (DFXa) lebih berkesan dalam mencegah kematian atau pembentukan darah beku di dalam vena kaki atau di dalam paru-paru bagi orang yang telah menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut.
• Berbanding dengan antikoagulan klasik, perencat DFXa mungkin mengurangkan sedikit bilangan orang yang mengalami gejala darah beku (seperti kesukaran bernafas atau kesakitan). Satu jenis perencat DFXa, rivaroxaban, mungkin meningkatkan sedikit bilangan orang yang mengalami pendarahan serius yang tidak terkawal.
Mengapakah darah beku menjadi kebimbangan bagi orang yang menjalani pembedahan besar pinggul atau lutut?
‘Tromboembolisme vena’ berlaku apabila darah beku terbentuk dalam vena, iaitu saluran yang mengalirkan darah kembali ke jantung. Darah beku boleh menyempitkan atau menyumbat vena, membawa kepada kerosakan tisu, strok, dan kematian. Pesakit yang menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut, atau pembedahan untuk membaiki pinggul yang patah, mempunyai risiko tinggi untuk terbentuknya darah beku.
Bagaimanakah darah beku boleh dicegah dan dirawat?
Orang yang menjalani pembedahan besar pinggul atau lutut biasanya diberikan ubat antikoagulan, yang kerap dikenali sebagai ubat pencair darah, untuk membantu mencegah darah beku daripada terbentuk.
Terdapat dua jenis antikoagulan ‘klasik’ yang utama: (1) heparin berat molekul rendah (LMWHs), yang diberikan melalui suntikan dengan jarum pada dos tetap; dan (2) antagonis vitamin K (VKAs), yang diberikan secara oral dalam jumlah yang berbeza-beza.
Ubat-ubatan antikoagulan yang baharu dikenali sebagai perencat faktor langsung Xa telah dibangunkan. Ubat-ubatan tersebut diberikan secara oral dalam dos yang tetap. Rivaroxaban dan apixaban adalah jenis perencat DFXa.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada perencat DFXa adalah lebih baik daripada antikoagulan klasik dalam mengurangkan bilangan orang yang (1) mati disebabkan sebarang akibat selepas pembedahan besar pinggul dan lutut, dan (2) mengalami darah beku atau gejala disebabkan darah beku (seperti kesukaran pernafasan dan kesakitan).
Kami juga ingin mengetahui sama ada perencat DFXa adalah berkaitan dengan sebarang kesan yang tidak diingini, termasuk perdarahan yang tidak dikawal, penyakit hati yang serius, dan kejadian serius yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan perencat DFXa dengan antikoagulan klasik dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan pinggul atau lutut. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian yang dijalankan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang telah kami temui?
Kami telah menemui 53 kajian yang melibatkan 44,371 orang dewasa yang telah menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut, dan berisiko tinggi untuk mengalami darah beku di dalam paru-paru, kaki, atau pelvis. Mereka telah menerima rawatan antikoagulan untuk 6 hingga 39 hari, dan susulan berlangsung secara purata 42 hari.
Kesemua 53 kajian telah membandingkan perencat DFXa dengan heparin berat molekul rendah (LMWHs). Hanya satu kajian yang juga menyiasat VKA yang dikenali sebagai warfarin.
Kajian yang paling besar melibatkan 5407 peserta, dan kajian yang paling kecil, 50 peserta. Kajian telah dijalankan secara tidak sekata di negara-negara seluruh dunia; kebanyakannya dilakukan di wilayah berpendapatan tinggi. Secara kasar, satu pertiga peserta (31%) adalah lelaki. Purata umur peserta adalah 64 tahun. Syarikat farmaseutikal telah membiayai separuh daripada kajian (27 daripada 53).
Keputusan utama
Berbanding dengan LMWHs, kami tidak tahu sama ada perencat DFXa mengurangkan bilangan orang yang:
• meninggal dunia disebabkan sebarang akibat selepas pembedahan, atau
• mengalami darah beku di paru-paru atau vena dalam pada kaki atau pelvis
disebabkan bukti sangat tidak pasti.
Berbanding dengan LWMH, perencat DFXa mungkin sedikit mengurangkan bilangan orang yang mengalami gejala darah beku: antara 2 hingga 5 orang pengurangan daripada setiap 1000 orang yang diberikan perencat DFXa mempunyai gejala darah beku berbanding dengan orang yang diberikan LMWHs.
Rivaroxaban perencat DFXs mungkin meningkatkan sedikit bilangan orang yang mengalami perdarahan serius yang tidak terkawal berbanding dengan LMWHs. Antara 1 dan lebih daripada 7 orang bagi setiap 1000 orang diberikan rivaroxaban mungkin mengalami perdarahan yang tidak terkawal berbanding dengan mereka yang diberikan LMWHs.
Perencat DFXa yang lain boleh mempunyai sedikit kepada tiada kesan terhadap perdarahan besar, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Berbanding dengan LMWHs, perencat DFXa mungkin mempunyai sedikit kepada tiada kesan terhadap kejadian serius yang tidak diingini yang menjejaskan hati, tetapi bukti sangat tidak pasti.
Mereka boleh mengurangkan sedikit kejadian lain yang serius dan tidak berkaitan dengan hati dibandingkan dengan LMWHs. Antara 3 hingga kurang daripada 14 orang bagi setiap 1000 orang yang diberi perencat DFXa mengalami kejadian tidak berkaitan dengan hati yang serius berbanding dengan orang yang diberikan LMWHs.
Kami tidak menemui cukup kajian yang menyiasat VKAs untuk membantu menjawab soalan kami.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti disebabkan peserta dalam beberapa kajian menyedari tentang rawatan yang diperolehi. Kebanyakan kajian tidak mempunyai set keputusan yang lengkap untuk semua peserta. Kajian adalah tidak mencukupi untuk memastikan keputusan bagi beberapa hasil yang diperolehi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga November 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).