Soalan ulasan
Adakah terapi psikososial mengurangkan sakit pada kanak-kanak dan remaja dengan sakit perut berulang?
Latar belakang
Antara 4% dan 25% kanak-kanak berusia sekolah mengadu sakit perut berulang yang sangat teruk sehingga mengganggu aktiviti harian mereka. Tiada akibat organik untuk sakit ini yang dapat ditemui pada pemeriksaan fizikal atau penyiasatan untuk majoriti kanak-kanak tersebut. Walaupun banyak kanak-kanak telah diuruskan dengan jaminan dan langkah mudah, pelbagai terapi psikologi dan tingkah laku (‘psikososial’) telah disyorkan.
Kaedah dan ciri-ciri kajian
Sehingga Jun 2016, kami telah mengenal pasti 18 kajian terkawal rawak (sejenis experimen saintifik di mana orang telah ditugaskan secara rawak kepada satu atau dua lebih rawatan), yang telah menyertakan 928 kanak-kanak dan remaja antara umur 6 dan 18 tahun. Kajian-kajian tersebut telah membandingkan pelbagai terapi psikososional kepada penjagaan biasa atau beberapa bentuk kawalan bukan terapi (seperti latihan pendidikan atau pernafasan). Kami telah mengenal pasti empat jenis terapi psikososial berbeza: terapi tingkah laku kognitif, hipnoterapi, yoga, dan pendedahan diri bertulis (satu terapi yang melibatkan penulisan pemikiran dan perasaan mengenai sesuatu yang mengganggu perasaan). Tempoh kajian yang telah disertakan antara lima hari sehingga tiga bulan. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Belanda, Jerman, dan Brazil.
Keputusan utama
Kami telah menemui bahawa terapi tingkah laku kognitif dan hipnoterapi mungkin berkesan dari segi mengurangkan sakit dalam jangka pendek. Terdapat sedikit bukti manfaat jangka panjang. Tiada bukti bahawa kedua-dua terapi mempunyai kesan yang baik terhadap kualiti hidup, aktiviti harian, atau hasil psikologi seperti kegelisahan dan kemurungan. Terapi yoga dan pendedahan diri bertulis sebagai terapi tidak mempunyai kesan terhadap kesakitan, kualiti hidup, atau aktiviti harian. Tiada kesan buruk yang telah dilaporkan daripada mana-mana jenis terapi tersebut.
Kualiti bukti
Kami telah menilai kualiti bukti keseluruhan sebagai rendah sehingga sangat rendah untuk semua hasil. Kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel atau kelemahan dalam reka bentuk kajian mereka. Pengarang telah melaporkan tiada konflik kepentingan berkaitan dengan dana.
Kesimpulan
Terapi tingkah laku kognitif dan hipnoterapi memerlukan pertimbangan oleh pakar klinikal sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan untuk kanak-kanak dengan sakit abdomen berulang. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk menilai aspek terapi yang berkesan dan untuk menentukan sama ada manfaat adalah dikekalkan dari masa ke masa.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




