Langkau ke kandungan utama

Yoga berbanding dengan penjagaan biasa untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah yoga berkesan sebagai rawatan tambahan untuk penghidap skizofrenia?

Latar belakang

Yoga berasal dari India purba dan melibatkan postur fizikal dan latihan pernafasan untuk menggalakkan keseimbangan antara minda dan tubuh badan. Yoga kini telah digunakan secara meluas sebagai kaedah relaksasi dan senaman, meningkatkan kekuatan, fleksibiliti, koordinasi, ketahanan, serta kawalan pernafasan dan penumpuan. Yoga juga telah didapati mengurangkan stres dan menggalakkan kesihatan dan perasaan sejahtera. Yoga telah digunakan sebagai terapi komplementari untuk pelbagai masalah kesihatan, termasuklah memperbaik kawalan tekanan darah serta keadaan kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Beberapa kajian menyarankan bahawa yoga juga boleh bermanfaat sebagai rawatan tambahan untuk mengurangkan simptom kompleks skizofrenia (seperti mendengar suara ghaib, melihat perkara ghaib, kurang minat terhadap orang dan aktiviti, keletihan, kehilangan emosi dan penarikan diri) dan meningkatkan kualiti hidup penghidap skizofrenia. Yoga dan kegunaannya terutama untuk penghidap skizofrenia kurang dikaji.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan lapan kajian berjangka pendek (kurang dari enam bulan) yang merawakkan penghidap skizofrenia untuk menerima sama ada sesi rawatan yoga atau penjagaan biasa dalam ulasan ini. Program yoga yang diterangkan berkisar dari 45 minit hingga 1 jam durasinya, dan dari 8 sesi hingga maksimum 36 sesi. Kami menemui kajian melalui pencarian elektronik dari rekod Cochrane Schizophrenia Group pada Januari 2015. Kesemua kajian meneruskan rawatan antipsikotik yang ditetapkan untuk para peserta.

Keputusan utama

Sesetengah keputusan mengesyorkan bahawa yoga mungkin bermanfaat untuk penghidap skizofrenia. Yoga mungkin bermanfaat untuk keadaan mental, fungsi sosial dan kualiti hidup tetapi bukti yang ada adalah lemah dan perlu dilihat dengan berhati-hati. Tiada kesan buruk ditemui oleh satu kajian yang melaporkan hasil ini. Pelbagai kesan penting lain tidak diutarakan oleh kajian, termasuklah perubahan dalam kognisi, pertimbangan ekonomi, dan aktiviti kehidupan seharian. Tiada bukti berkualiti baik yang mencukupi dalam ulasan ini untuk mendakwa bahawa yoga harus ditetapkan sebagai tambahan kepada penjagaan standard untuk skizofrenia.

Kualiti bukti

Bukti adalah terhad dan lemah. Bilangan kajian yang terlibat adalah kecil, dan hanya susulan jangka pendek telah dilaporkan. Oleh itu, lebih banyak kajian besar dan berjangka panjang yang menumpukan kepada hasil keputusan penting adalah diperlukan.

Ben Gray, Senior Peer Researcher, McPin Foundation. http://mcpin.org/

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Broderick J, Knowles A, Chadwick J, Vancampfort D. Yoga versus standard care for schizophrenia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 10. Art. No.: CD010554. DOI: 10.1002/14651858.CD010554.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan