Langkau ke kandungan utama

Program ‘Back School’ untuk sakit bahagian pinggang akut atau subakut yang tidak spesifik

Soalan ulasan

Tujuan ulasan adalah untuk menilai keberkesanan program ‘back school’ terhadap kesakitan, ketidakupayaan, status pekerjaan dan kesan buruk berbanding rawatan lain, plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan untuk sakit bahagian pinggang akut dan subakut yang tidak spesifik.

Latar belakang

Sakit pinggang adalah satu beban dalam kalangan masyarakat Barat dan menyebabkan kos yang tinggi dari segi kos penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti. Ia merupakan masalah kesihatan yang umum, yang menjejaskan antara 12% hingga 30% populasi setiap hari. ‘Back School’ ialah program terapeutik yang merangkumi elemen pendidikan dan senaman, dan diberikan kepada kumpulan peserta dan diselia oleh profesional kesihatan. Ia telah diperkenalkan di Sweden pada tahun 1969 dan perisian serta tempoh program ini sekarang nampaknya berbeza dengan ketara.

Populasi sasaran bagi ulasan ini adalah pesakit yang mengalami sakit bahagian pinggang akut dan subakut (antara akut dan kronik) yang tidak spesifik. Kami mentakrifkan sakit pinggang yang tidak spesifik sebagai kesakitan yang tertumpu di bawah tulang belikat dan di atas celah punggung tanpa sebarang punca khusus yang dapat dikesan (contohnya jangkitan, neoplasma, metastasis, osteoporosis, artritis reumatoid, keretakan, atau proses keradangan). Kesakitan akut dan subakut masing-masing bermaksud kesakitan yang tidak melebihi enam dan 12 minggu . Hasil utama ulasan ini adalah kesakitan dan ketidakupayaan, manakala hasil sekunder ialah status pekerjaan serta kesan buruk.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan empat kajian dalam ulasan ini, yang juga telah dimasukkan dalam versi terdahulu ulasan ini, yang bermakna tiada kajian baharu yang relevan dikenal pasti untuk dimasukkan dalam kemas kini ini. Perbandingan rawatan adalah terlalu berbeza untuk dikumpulkan dan separuh daripada kajian-kajian tersebut mempunyai risiko bias. Kualiti bukti adalah sangat rendah bagi semua hasil kajian.

Satu kajian membandingkan program ‘back school’ dengan plasebo (rawatan palsu) dan mendapati tiada perbezaan antara kumpulan dari segi kesakitan pada susulan jangka pendek. Berkenaan status pekerjaan, peserta program ‘back school’ mempunyai tempoh cuti sakit yang jauh lebih pendek berbanding peserta kumpulan plasebo pada susulan jangka pendek.

Empat kajian membandingkan program ‘back school’ dengan rawatan lain (terapi fizikal, terapi ‘myofascial’, manipulasi sendi, nasihat. Secara keseluruhan, tiada perbezaan yang ditemui antara kumpulan dari segi tahap kesakitan, ketidakupayaan, status pekerjaan dan kesan buruk pada mana-mana masa rawatan susulan. Hanya satu kajian yang menunjukkan program ‘back school’ yang ditambah kepada program penjagaan bahagian pinggang adalah lebih berkesan berbanding hanya melibatkan program ‘back school’ sahaja pada susulan jangka pendek.

Keputusan utama

Kajian-kajian yang disertakan adalah tidak mencukupi untuk menjawab soalan kajian kami dengan jelas, dan penyertaan kajian lain yang direka bentuk dengan baik berkemungkinan besar akan mengubah kesimpulan. walau bagaimanapun, program Back School nampaknya bukan lagi satu kaedah rawatan yang digunakan secara meluas pada masa kini bagi pesakit yang mengalami sakit belakang akut dan subakut yang tidak spesifik, dan ia juga tidak disokong oleh garis panduan.

Kualiti Bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil kajian berdasarkan pendekatan GRADE (Grades of Recommendation, Assessment, Development and Evaluation). Ini disebabkan oleh reka bentuk kajian yang lemah dan ketidaktepatan dalam keputusan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Siti Aishah Binti Salim (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Petikan
Poquet N, Lin C-WC, Heymans MW, van Tulder MW, Esmail R, Koes BW, Maher CG. Back schools for acute and subacute non-specific low-back pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2016, Issue 4. Art. No.: CD008325. DOI: 10.1002/14651858.CD008325.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan