Mesej utama
• Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai manfaat atau kemudaratan akupunktur untuk bayi dengan kekurangan oksigen semasa lahir (ensefalopati iskemik hipoksia) oleh kerana kekurangan bukti.
• Kajian perlu dijalankan untuk mengetahui faedah dan kemudaratan akupunktur, berbanding rawatan lain seperti ubat-ubatan, atau membandingkan kaedah akupunktur yang berlainan.
Ensefalopati iskemia hipoksia dan akupunktur
Ensefalopati iskemia hipoksia terjadi pada bayi apabila mereka mengalami kekurangan oksigen sekitar tempoh kelahiran. Hal ini boleh menyebabkan penyakit serius dan kematian. Pilihan rawatan yang berkesan adalah terhad. Walau bagaimanapun, mengurangkan suhu badan bayi selama tiga hari telah terbukti berkesan. Akupunktur juga telah dicuba ke atas bayi yang didiagnos dengan ensefalopati iskemik hipoksia. Akupunktur adalah rawatan yang digunakan dalam Perubatan Tradisional Cina. Jarum (atau laser) digunakan pada titik spesifik (tekanan) pada badan. Titik akupunktur ini dipercayai dapat mengubah aliran tenaga daya hidup dalam badan dan mengembalikannya kepada keseimbangan untuk mencegah penyakit. Ia terdiri daripada berberapa kaedah, antaranya adalah akupunktur jarum dengan atau tanpa rangsangan elektrik atau akupunktur laser, dan kaedah tidak menusuk akupresur manual yang menggunakan jari sebagai ganti jarum. Selain itu, tempoh dan kekerapan rawatan akupunktur adalah berbeza-beza.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan akupunktur pada bayi yang didiagnos dengan ensefalopati iskemik hipoksia. Hasil utama kami adalah kematian, perkembangan otak tempoh jangka panjang dalam kalangan kanak-kanak berumur 18 hingga 24 bulan dan berumur 3 hingga 5 tahun, kejadian yang tidak diingini, dan tempoh tinggal di hospital.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah meneliti kajian yang membandingkan akupunktur dengan tanpa rawatan, plasebo atau rawatan palsu (rawatan palsu yang diberikan kepada peserta dalam kajian saintifik), sebarang ubat, atau jenis akupunktur yang lain (misalnya akupunktur dengan jarum berbanding dengan akupunktur laser).
Apakah yang kami temui?
Kami menemui empat kajian yang menyertakan 464 orang bayi yang mengalami ensefalopati iskemik hipoksia. Saiz kajian berbeza-beza, dari 60 hingga 200 orang bayi. Tiga kajian dijalankan di China dan satu di Rusia.
Keputusan utama
Tiada satu pun daripada empat kajian tersebut melaporkan hasil yang kami inginkan untuk ulasan ini. • Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai manfaat atau kemudaratan akupunktur untuk bayi yang kekurangan oksigen semasa lahir (ensefalopati iskemik hipoksia) kerana kekurangan bukti. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang masih berjalan.
Apakah batasan bukti?
Kajian tidak melaporkan sebarang maklumat yang boleh kami gunakan dalam ulasan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kajian ini mengemas kini versi sebelumnya yang diterbitkan pada tahun 2013. Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Afrina Ariff (RCSI and UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia).