Langkau ke kandungan utama

Antagonis aldosteron selain antagonis sistem renin angiotensin untuk mencegah progresi penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Orang dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) berisiko lebih tinggi untuk penyakit jantung dan kemerosotan fungsi buah pinggang. Peningkatan amaun protein dalam urin adalah tanda stres buah pinggang dan dikaitkan dengan kemerosotan fungsi buah pinggang. Ubat yang diguna untuk menurunkan tekanan darah dan mengurangkan paras protein dalam urin - khususnya, perencat enzim penukar angiotensin (ACEi) dan penyekat reseptor angiotensin (ARB) - kekal sebagai rawatan teras untuk mencegah kemerosotan fungsi ginjal dalam CKD.

Melindungi fungsi buah pinggang dengan ubat-ubatan ini mungkin tidak lengkap dan menambah antagonis aldosteron (penyekat) (misalnya, spironolactone, canrenone, eplerenone, atau finerenone) dapat melindungi fungsi buah pinggang dalam jangka panjang. Dengan menyekat penghasilan aldosteron, buah pinggang mengeluarkan lebih banyak air yang boleh menyebabkan penurunan tekanan darah. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk pembesaran tisu payudara lelaki, dan apabila diguna dengan ACEi atau ARB boleh menyebabkan paras kalium yang tinggi dalam darah atau kemerosotan fungsi buah pinggang.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mengulas kajian-kajian sedia ada yang meneliti penambahan penyekat aldosteron kepada rawatan standard dalam kalangan orang dengan CKD untuk melihat jika ia melambatkan kemerosotan fungsi buah pinggang dan keperluan untuk dialisis atau pemindahan buah pinggang. Kami melihat sama ada ia mengurangkan penyakit jantung, amaun protein dalam urin, atau memperbaik tekanan darah. Kami juga melihat sama ada penyekat aldosteron selamat dari segi risiko pembesaran payudara lelaki, paras kalium dalam darah, dan kesan jangka pendek terhadap fungsi buah pinggang.

Apakah yang kami temui?
Kami mendapati menambah penyekat aldosteron kepada ubat semasa pesakit (ACEi atau ARB), menurunkan protein dalam urin dan tekanan darah sistolik. Fungsi buah pinggang merosot, walau bagaimanapun kesan terhadap survival adalah tidak pasti. Penambahan penyekat aldosteron meningkatkan jumlah kalium dalam darah. Ini mungkin memerlukan pertukaran ubat, ujian darah tambahan, dan berpotensi memudaratkan. Rawatan dengan penyekat aldosteron juga meningkatkan kemungkinan penurunan fungsi buah pinggang jangka pendek dan pembesaran tisu payudara lelaki.

Kesimpulan
Adalah tidak jelas sama ada penyekat aldosteron melindungi fungsi buah pinggang atau mencegah penyakit jantung dalam kalangan orang yang menghidap CKD.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Chung EYM, Ruospo M, Natale P, Bolignano D, Navaneethan SD, Palmer SC, Strippoli GFM. Aldosterone antagonists in addition to renin angiotensin system antagonists for preventing the progression of chronic kidney disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2020, Issue 10. Art. No.: CD007004. DOI: 10.1002/14651858.CD007004.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan