Mesej utama
• Tiada cukup bukti untuk mengetahui sama ada cara berbeza pemasaan ovulasi dan inseminasi adalah lebih selamat atau lebih berkesan daripada yang lain.
• Kami juga tidak boleh mengatakan jika sebarang kaedah pemantauan atau mencetuskan ovulasi adalah lebih baik, kerana keputusannya sama ada terlalu tidak pasti atau datang dari hanya satu kajian kecil.
• Kajian masa depan harus menggunakan kaedah yang lebih baik dan mengukur kejayaan rawatan dari segi kelahiran hidup atau kehamilan yang sedang berlangsung.
Apakah itu subkesuburan?
Subkesuburan biasanya ditakrif sebagai ketidakupayaan pasangan untuk mencapai kehamilan selepas 12 bulan hubungan seksual regular tanpa perlindungan, atau selepas enam bulan dalam kalangan wanita berumur 35 tahun ke atas. Subkesuburan mempengaruhi kira-kira 10% pasangan yang cuba untuk mendapat bayi.
Bagaimana subkesuburan dirawat?
Pilihan rawatan untuk pasangan ‘subfertile’ berbeza-beza, dan bergantung kepada punca subkesuburan, umur pasangan, berapa lama mereka telah mencuba dan faktor-faktor lain.
Prosedur yang mungkin boleh membantu pasangan ialah inseminasi intrauterus (IUI). Ini adalah prosedur pembiakan berbantu di mana sperma diletakkan terus ke dalam rahim pada masa tertentu dalam kitaran haid wanita: sedekat mungkin dengan ovulasi.
Pemasaan inseminasi biasanya dirancang sama ada menggunakan suntikan hormon (korionik gonadotropin manusia (hCG)) atau dengan mengesan lonjakan hormon semula jadi (hormon peluteinan (LH)) dalam air kencing atau darah wanita. Kaedah-kaedah lain juga digunakan. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas kaedah pemasaan mana yang memberi peluang terbaik untuk mendapatkan bayi yang sihat atau kehamilan yang berterusan melangkaui peringkat awal.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu teknik pemasaan berbeza mana yang paling berkesan untuk mencapai kelahiran hidup.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan kaedah pemasaan inseminasi intrauterus (IUI) berbeza dalam kalangan pasangan ‘subfertile’. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 42 kajian melibatkan 6603 pasangan. Kami menggunakan bukti daripada hanya tujuh kajian yang melibatkan 1917 pasangan. 35 kajian yang lain mempunyai kaedah yang tidak cukup atau tidak memberi maklumat yang cukup untuk membolehkan kami menganalisis keputusan mereka.
Keputusan-keputusan utama
• Tiga kajian membandingkan pemasaan berbeza antara suntikan hormon (hCG) dan inseminasi. Kami menganalisis keputusan untuk selang masa berbeza: 0 hingga 33 jam berbanding 34 hingga 40 jam antara suntikan dan inseminasi, dan 34 hingga 40 jam berbanding lebih daripada 40 jam. Hasilnya tidak menunjukkan bukti jelas tentang perbezaan dalam kehamilan berterusan atau kadar kelahiran hidup antara kumpulan.
• Satu kajian membandingkan suntikan hCG dengan lonjakan hormon peluteinan untuk menentukan pemasaan inseminasi. Adalah tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kelahiran hidup atau kadar kehamilan berterusan antara kumpulan.
• Satu kajian membandingkan dua jenis suntikan hormon pencetus ovulasi: hCG rekombinan berbanding hCG urin. Adalah tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kelahiran hidup atau kadar kehamilan berterusan antara kumpulan.
• Satu kajian meneroka sama ada menambah satu hormon tambahan (FSH, yang merangsang ovari untuk membesarkan lebih banyak telur) kepada pencetus ovulasi hCG standard memperbaik peluang untuk hamil, berbanding menggunakan hCG sahaja. Perbandingan ini menunjukkan mungkin terdapat kurang kelahiran hidup atau kehamilan berterusan dalam kumpulan hCG berbanding kumpulan hCG dengan tambahan FSH. Walau bagaimanapun, keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah rendah; kajian yang lebih besar diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami sedikit yakin terhadap bukti untuk semua perbandingan kerana kajian-kajian melibatkan terlalu sedikit wanita untuk memberi keputusan yang jelas bagi hasil yang paling penting (iaitu, kelahiran hidup atau kehamilan berterusan).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).