Langkau ke kandungan utama

Pekatan faktor klot rekombinan VIIa (bukan manusia) berbanding pekatan plasma untuk perdarahan akut dalam kalangan pesakit dengan hemofilia dan perencat


Soalan ulasan

Kami ingin mencari bukti tentang keberkesanan faktor rekombinan VIIa (tidak mengandungi protein manusia) berbanding pekatant plasma untuk merawat episod perdarahan akut dalam kalangan pesakit dengan hemofilia dan perencat.

Latar belakang

Hemofilia adalah penyakit perdarahan yang diwarisi akibat kekurangan faktor klot darah dan dicirikan oleh perdarahan ke dalam sendi. Ia dirawat dengan menyuntik ubat yang mengandungi faktor klot yang kekurangan ke dalam vena. Dalam sesetengah individu dengan hemofilia, faktor ini dianggap oleh tubuh badan sebagai protein asing ketika disuntik dan tubuh menghasilkan antibodi (perencat) yang memusnahkan faktor tersebut. Dengan itu orang menjadi resistan terhadap rawatan. Apabila seseorang dengan hemofilia menghasilkan perencat, mereka dirawat untuk menyingkirkan antibodi (induksi imunotoleransi) dan untuk episod perdarahan akut. Rawatan untuk episod perdarahan adalah dengan salah satu daripada dua agen pemintas sedia ada, faktor rekombinan VIIa aktif (Novoseven ® ) atau pekatan kompleks protrombin aktif manusia (FEIBA ® ). Tidak diketahui jika salah satu daripada produk ini adalah lebih baik daripada yang satu lagi. Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan keberkesanan (masa sehingga perdarahan berhenti, kesan pada pergerakan sendi, keperluan rawatan semula) dan keselamatan Novoseven ® dan FEIBA ® dalam kalangan pesakit dengan hemofilia dan perencat semasa episod perdarahan akut.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 23 September 2015.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan dua kajian dengan 69 orang (berumur satu hingga 55 tahun) dengan hemofilia teruk dan perencat . Kedua-dua kajian membandingkan faktor rekombinan VIIa dengan pekatan kompleks protrombin yang diaktifkan dan peserta dipilih untuk mendapatkan salah satu rawatan secara rawak.

Keputusan utama
Kami temui dua kajian klinikal yang membandingkan Novoseven ® dan FEIBA ®. Kajian-kajian tersebut tidak menunjukkan perbezaan seberapa baik kedua-dua produk berfungsi dan kedua-duanya diterima baik tanpa komplikasi pembekuan. Kami simpulkan kedua-dua faktor rekombinan VIIa dan pekatan plasma boleh diguna untuk merawat perdarahan dalam kalangan pesakit dengan hemofilia dan perencat.

Kualiti bukti

Terdapat beberapa masalah major dengan cara kedua-dua kajian direka bentuk, berkait dengan kumpulan rawatan untuk setiap peserta (sebelum kajian bermula dan semasa kajian berlangsung) dan juga bagaimana keputusan yang hilang ditangani.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Matino D, Makris M, Dwan K, D'Amico R, Iorio A. Recombinant factor VIIa concentrate versus plasma-derived concentrates for treating acute bleeding episodes in people with haemophilia and inhibitors. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 12. Art. No.: CD004449. DOI: 10.1002/14651858.CD004449.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan