Mesej utama
- Berbanding dengan menggunakan tisu badan wanita sendiri dalam pembedahan untuk prolaps kompartmen anterior, menggunakan jaring vagina kekal yang diletakkan melalui vagina mungkin mengakibatkan lebih sedikit wanita mengalami simptom prolaps (seperti merasakan benjolan dari vagina), memerlukan pembedahan lain untuk prolaps atau mengalami prolaps lagi.
- Kesakitan baru semasa hubungan seks mungkin berlaku kerap dengan pembedahan jaring vagina kekal berbanding dengan pembedahan jaring perut.
- Kajian masa depan perlu menguji jaring baru atau bahan biologi bertahan lama yang lain, dan mereka harus melaporkan kualiti hidup.
Apakah prolaps organ pelvis dan bagaimana ia dirawat?
Prolaps organ pelvis adalah perkara biasa, terutamanya di kalangan wanita yang pernah bersalin dan kini melepasi menopaus. Ia melibatkan organ-organ pelvis jatuh ke dalam dan di luar pembukaan faraj. ‘Prolaps kompartmen anterior’ secara khususnya melibatkan pundi kencing jatuh ke dalam dinding depan vagina. Ini sering menyebabkan perasaan tidak selesa menonjol, perasaan menyeret, inkontinensia (kebocoran air kencing) dan kesukaran dengan seks. Masalah-masalah ini boleh memberi kesan serius terhadap kualiti hidup.
Prolaps organ pelvis boleh dirawat dengan pembedahan. Pakar bedah boleh menggunakan bahan yang berbeza: tisu badan wanita sendiri dan ligamen (pembaikan tisu asli); bahan semula jadi (cantuman biologi) atau bahan sintetik (jaring sintetik) yang hancur dan diserap ke dalam badan; atau bahan buatan yang kekal (jaring kekal). Pembedahan boleh dilakukan melalui vagina (transvaginal), atau potongan panjang di perut (abdomen), atau lubang kecil (lubang kunci) di perut (laparoskopi). Pembedahan lubang kunci kadang-kadang dilakukan dengan bantuan robot.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui kaedah pembedahan yang paling berkesan dengan risiko paling rendah pada kesan yang tidak diingini. Kami berminat dengan kesan daripada kaedah yang berbeza pada gejala prolaps, prolaps kembali (berulangan), pembedahan prolaps ulangi, pembedahan kebocoran air kencing, pembedahan ulangan untuk pendedahan jaring (apabila jaring melekat melalui potongan pembedahan dan ke dalam vagina), serta kesakitan baru atau berterusan semasa hubungan seks.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan cara pembedahan yang berbeza untuk memperbaiki prolaps kompartmen anterior.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 41 kajian yang telah menilai 4531 wanita dengan prolaps kompartmen anterior. Kebanyakan kajian melaporkan hasil mereka satu hingga dua tahun selepas pembedahan.
Pembaikan tisu asli berbanding pembaikan dengan cantuman biologi (1 hingga 2 tahun selepas pembedahan )
Kes berulangan mungkin lebih tinggi dengan pembaikan tisu asli berbanding cantuman biologi (8 kajian, 707 wanita). Sebagai contoh, jika 21% wanita mengalami prolaps berulang selepas cantuman biologi, 24% hingga 40% akan mendapatkannya kembali selepas pembaikan tisu asli.
Keputusan dengan kedua-dua kaedah mungkin serupa bagi kesedaran prolaps (5 kajian, 515 wanita) dan kesakitan semasa hubungan seks (2 kajian, 151 wanita), serta mungkin serupa bagi pembedahan prolaps berulang (6 kajian, 524 wanita).
Pembedahan untuk kebocoran air kencing dan sakit baru semasa seks tidak dinilai.
Pembaikan tisu asli berbanding jaring kekal yang dimasukkan melalui vagina (1 hingga 2 tahun selepas pembedahan)
Pembaikan tisu asli mungkin mengakibatkan lebih banyak kesedaran prolaps berbanding pembaikan jaring kekal (10 kajian, 1203 wanita); sebagai contoh, jika 13% wanita menyedari prolaps selepas pembaikan jaring, 17% hingga 29% akan sedar selepas pembaikan tisu asli.
Pembaikan tisu asli mungkin menyebabkan sedikit lebih banyak berulang (20 kajian, 2483 wanita). Sebagai contoh, jika 13% wanita mengalami prolaps berulang selepas pembaikan jaring, 29% hingga 58% akan berulang selepas pembaikan tisu asli.
Pembedahan prolaps berulang mungkin berlaku lebih banyak selepas pembaikan tisu asli (14 kajian, 1799 wanita).
Ia mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kaedah pembedahan untuk kebocoran air kencing (6 kajian, 967 wanita), sakit semasa seks (8 kajian, 1096 wanita) dan sakit baru semasa seks (11 kajian, 797 wanita).
Jaring kekal dimasukkan melalui vagina berbanding melalui perut (1 tahun selepas pembedahan)
Sakit baru semasa seks berkemungkinan lebih kerap dengan jaring kekal vagina berbanding jaring perut (di mana jaring dilekatkan dari bahagian atas vagina ke pangkal tulang belakang)(2 kajian, 248 wanita).
Ia mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara jaring vagina kekal dan jaring perut dalam berulang (4 kajian, 306 wanita), dan terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara mereka dalam kesedaran prolaps (3 kajian, 441 wanita), pembedahan prolaps ulangi (3 kajian, 455 wanita), pembedahan untuk komplikasi jaring (2 kajian, 373 wanita) dan pembedahan untuk kebocoran air kencing (2 kajian, 299 wanita).
Kesakitan semasa seks tidak dinilai.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari ‘sangat rendah’ hingga ‘sederhana’. Kajian-kajian tidak melaporkan semua kaedah mereka, dan terdapat kajian yang sangat kecil. Produk jaring yang diuji dalam kajian kebanyakkan telah dikeluarkan secara sukarela dari pasaran. Produk jaring yang baru dan lebih ringan ada di pasaran, tetapi belum dikaji dalam jenis kajian yang paling boleh dipercayai.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga 29 April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




