Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah jemputan, intervensi oleh petugas kesihatan awam dan intervensi berkonsepkan pendidikan meningkatkan pemeriksaan saringan serviks?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Isu
Kanser serviks merupakan kanser keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Pada masa ini, wanita diminta untuk menghadiri pemeriksaan saringan serviks (juga dikenali sebagai 'smear' atau 'ujian Pap') untuk mengesan kehadiran HPV berisiko tinggi dan/atau sel yang tidak normal atau pra-kanser. Pemeriksaan saringan serviks adalah rendah di seluruh dunia. Program Pemeriksaan Saringan Serviks UK telah menunjukkan bahawa saringan boleh mengurangkan kadar kematian melalui pengesanan awal dan rawatan perubahan pra-kanser sebelum kanser berkembang. Walau bagaimanapun, terdapat variasi antara dan dalam negara dalam ketersediaan dan penggunaan pemeriksaan saringan. Terdapat juga perbezaan berdasarkan kumpulan etnik, umur, pendidikan dan status sosioekonomi dan ini perlu diingat semasa membangunkan intervensi untuk meningkatkan kehadiran untuk pemeriksaan ini.

Matlamat ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat kaedah-kaedah yang digunakan untuk menggalakkan wanita menjalani pemeriksaan saringan serviks. Kaedah-kaedah ini termasuk surat jemputan, peringatan, pendidikan, pembingkaian mesej, kaunseling, penilaian faktor risiko, prosedur dan intervensi ekonomi.

Apakah dapatan utama?
Tujuh puluh kajian telah disertakan dalam ulasan ini, yang mana 69 kajian (257,899 wanita) telah dimasukkan ke dalam meta-analisis. Surat jemputan, dan pada tahap yang lebih rendah, bahan pendidikan mungkin meningkatkan penggunaan pemeriksaan saringan serviks (bukti kepastian adalah bersifat sederhana). Ujian kendiri HPV, sebagai alternatif kepada Pap smear, juga boleh meningkatkan liputan pemeriksaan saringan. Walau bagaimanapun, ujian kendiri tidah dikaji dalam ulasan ini dan akan dipertimbangkan dalam ulasan seterusnya. Petugas kesihatan awam yang ditugaskan untuk mempromosikan pemeriksaan saringan kepada kumpulan etnik minoriti boleh meningkatkan pemeriksaan saringan (bukti kepastian bersifat rendah).

Sukar untuk membuat kesimpulan yang bermakna bagi intervensi yang lain yang kurang dilaporkan secara meluas seperti kaunseling, penilaian faktor risiko, akses kepada jururawat promosi kesihatan, buku komik foto, pengambilan pekerja intensif dan pembingkaian mesej, disebabkan oleh data yang terhad dan bukti kepastian rendah. Walau bagaimanapun, mempunyai akses kepada jururawat promosi kesihatan dan percubaan dalam pengambilan pekerja intensif boleh meningkatkan pemeriksaan saringan.

Tahap keyakinan terhadap bukti

Kebanyakan bukti adalah pada tahap kepastian (kualiti) rendah hingga sederhana dan penyelidikan lanjut mungkin mengubah dapatan ini. Bagi kebanyakan kajian, risiko bias adalah tidak jelas, menjadikannya sukar untuk membuat penegasan yang kukuh daripada keputusannya.

Apakah kesimpulannya?
Penghantaran surat jemputan mungkin meningkatkan pemeriksaan saringan serviks, dan penglibatan petugas kesihatan awam dalam kalangan populasi etnik minoriti boleh berbuat demikian. Intervensi berkonsep pendidikan juga boleh meningkatkan pemeriksaan saringan; walau bagaimanapun, format yang paling berkesan adalah tidak jelas. Penemuan ini terpakai kepada negara maju dan kaitannya dengan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana adalah tidak jelas.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Staley H, Shiraz A, Shreeve N, Bryant A, Martin-Hirsch PPL, Gajjar K. Interventions targeted at women to encourage the uptake of cervical screening. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 9. Art. No.: CD002834. DOI: 10.1002/14651858.CD002834.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan