Mesej utama
-
Kajian menggunakan pelbagai skala untuk menilai sejauh mana keberkesanan midazolam menenangkan bayi dalam rawatan rapi. Hanya satu kajian menggunakan skala yang telah disahkan.
-
Masih tidak pasti sama ada midazolam menenangkan bayi, mengurangkan kesakitan, mempengaruhi tekanan darah atau pernafasan atau mengubah perkembangan otak dalam jangka masa panjang.
-
Pada masa ini, kami tidak mempunyai bukti mencukupi untuk menyokong penggunaan midazolam pada bayi, terutamanya bayi pramatang.
Apakah ubat penenang?
Ubat penenang adalah rawatan perubatan yang membantu seseorang berasa tenang, mengantuk atau tidak sedar semasa menjalani sesuatu prosedur. Pada bayi yang baru lahir, ubat penenang mungkin diperlukan untuk ujian atau rawatan yang boleh mengakibatkan tekanan atau kesakitan.
Mengapakah ubat penenang penting untuk bayi dalam rawatan rapi?
Bayi di unit rawatan rapi neonatal sering memerlukan ujian dan rawatan yang mungkin tidak selesa atau menyakitkan. Ubat penenang yang betul mungkin membantu mengurangkan tekanan dan ketidakselesaan semasa prosedur, masalah perubatan segera seperti perubahan dalam tekanan darah atau pendarahan dalam otak, dan kesan jangka panjang seperti kesukaran belajar dan berfikir di kemudian hari.
Apakah midazolam, dan bagaimana ia berfungsi?
Midazolam ialah ubat daripada keluarga benzodiazepine. Ia berfungsi dengan memperlahankan aktiviti otak, yang boleh membantu mengurangkan kegelisahan dan membuat seseorang berasa tenang, mengantuk, atau tidak sedar tentang persekitaran mereka. Midazolam kadangkala digunakan untuk membantu bayi yang baru lahir kekal tenang dan selesa semasa prosedur perubatan, terutamanya semasa mereka disambungkan kepada mesin pernafasan atau menjalani imbasan seperti pengimejan resonans magnetik (MRI). Midazolam biasanya diberikan melalui saluran darah, tetapi boleh juga diberikan melalui cara lain seperti melalui hidung.
Apakah ubat dan kaedah lain yang boleh digunakan untuk memastikan bayi yang baru lahir tenang dan selesa?
Pilihan lain untuk menenangkan atau memberi keselesaan kepada bayi yang baru lahir termasuk kaedah seperti membedung, sentuhan kulit ke kulit atau memberikan sedikit larutan manis melalui mulut. Ubat-ubatan seperti opioid membantu mengurangkan kesakitan, manakala ubat lain seperti clonidine dan dexmedetomidine mungkin memberikan kesan menenangkan tanpa terlalu menjejaskan pernafasan. Propofol dan phenobarbital juga kadangkala digunakan bergantung kepada keadaan dan keperluan perubatan bayi.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada midazolam membantu dan selamat digunakan untuk menenangkan bayi di unit rawatan rapi neonatal. Secara khusus, kami ingin mengetahui sama ada:
-
midazolam membantu bayi kekal tenang dan tidak bergerak semasa prosedur atau ketika menggunakan mesin pernafasan;
-
bayi yang menerima midazolam menunjukkan kurang tanda-tanda kesakitan seperti menangis atau perubahan kadar denyutan jantung;
-
menggunakan midazolam mempengaruhi cara otak bayi berfungsi apabila mereka semakin membesar, termasuk perkara seperti ingatan, penyelesaian masalah, pergerakan, dan cara mereka berinteraksi dengan orang lain;
-
midazolam mengakibatkan kesan yang tidak diingini seperti tekanan darah rendah (penurunan tekanan darah), apnoea (pernafasan terhenti seketika) atau komplikasi serius;
-
midazolam mengurangkan risiko kematian bayi di hospital;
-
midazolam mengurangkan tempoh bayi perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan midazolam dengan kaedah penenang yang lain seperti:
-
plasebo (satu bahan tanpa kesan perubatan);
-
kaedah yang tidak melibatkan pemberian ubat seperti hisapan bukan untuk pemakanan, sentuhan kulit ke kulit, membedung, atau urutan;
-
larutan manis seperti sukrosa atau glukosa, diberikan melalui mulut;
-
ubat penahan sakit seperti opioid (morfin, fentanyl); dan
-
ubat lain seperti clonidine, dexmedetomidine, propofol atau phenobarbital.
Kemudian kami merumuskan hasilnya dan menilai tahap keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menyertakan enam kajian dengan 388 bayi, 184 daripadanya telah menerima midazolam. Bayi-bayi tersebut telah diberikan ubat penenang sebelum dipasang mesin pernafasan atau menjalani imbasan MRI. Kajian-kajian tersebut membandingkan midazolam dengan plasebo, opiod (morfin, fentanyl), larutan manis oral, atau phenobarbital.
Keputusan utama
-
Kami sangat tidak pasti tentang kesan midazolam berbanding dengan plasebo terhadap tekanan darah rendah (1 kajian, 46 bayi), pernafasan terganggu (1 kajian, 33 bayi), kematian (3 kajian, 122 bayi) dan bilangan hari dalam bantuan pernafasan (2 kajian, 89 bayi). Tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan ini mengukur kelegaan kesakitan atau perkembangan otak.
-
Kami sangat tidak pasti tentang kesan midazolam berbanding dengan opioid terhadap tempoh bayi menggunakan alatan bantuan pernafasan (2 kajian, 106 bayi), tekanan darah rendah dan gangguan pernafasan (1 kajian, 60 bayi), dan kematian (1 kajian, 46 bayi). Tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan tersebut mengukur tahap penenangan, kelegaan kesakitan, atau perkembangan otak.
-
Kami sangat tidak pasti tentang kesan midazolam berbanding dengan larutan manis oral terhadap gangguan pernafasan (1 kajian, 112 bayi). Tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan ini mengukur tahap penenangan, kelegaan kesakitan, perkembangan otak, tekanan darah rendah, kematian, atau bilangan hari menggunakan alat bantuan pernafasan.
Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan midazolam dengan kaedah yang tidak melibatkan pemberian ubat-ubatan seperti membedung atau urutan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami hanya menemui beberapa kajian sahaja. Sesetengah kajian yang disertakan adalah kecil, menggunakan dos atau kaedah pemberian midazolam yang berbeza dan tidak melaporkan hasil utama seperti kelegaan kesakitan atau kesan terhadap perkembangan otak. Selain itu, hanya satu kajian yang menggunakan alat yang disahkan (terbukti memberikan hasil yang boleh dipercayai) untuk mengukur sejauh mana keberkesanan dalam menenangkan bayi. Disebabkan oleh batasan-batasan ini, kami tidak dapat menyatakan dengan yakin sama ada midazolam berkesan atau selamat untuk bayi yang baru lahir dalam rawatan rapi neonatal.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga 23 Januari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).