Apakah bukti bahawa 'microclots' menyebabkan sindrom pasca-COVID-19, dan adakah penyingkiran menggunakan plasmaferesis wajar?

Mesej utama

1. Istilah 'microclots' bukanlah istilah yang betul untuk zarah-zarah yang dikaji terhadap pesakit yang mengalami sindrom pasca-COVID-19, kerana ia bukan bekuan. Istilah ‘amyloid fibrin(ogen) particles’ adalah lebih tepat.

2. Bukti menunjukkan bahawa zarah-zarah amiloid fibrin(ogen) dijumpai dalam orang yang sihat dan mereka yang menghidapi penyakit lain, jadi ia tidak hanya unik kepada kondisi pasca-COVID-19.

3. Pesakit tidak seharusnya menerima plasmapheresis untuk indikasi yang di luar konteks percubaan klinikal rawak terkawal plasebo (dummy) yang dijalankan dengan betul (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kondisi pasca-COVID-19 (kadangkala dipanggil 'long COVID-19') merujuk kepada kondisi di mana pesakit mengalami pelbagai simptom selama sekurang-kurangnya 12 minggu selepas mendapat jangkitan awal (akut) COVID-19. Simptom boleh berkisar dalam keterukan dan termasuk keletihan, kabus otak, dan pening kepala, dan membawa kepada penjejasan terhadap kualiti hidup. Punca kondisi pasca-COVID-19 (PCC) adalah sumber perdebatan. Satu teori ialah ia disebabkan oleh gumpalan kecil dalam darah, dipanggil ‘microclots’ oleh pengarang satu set kajian makmal yang menyiasatnya. Zarah-zarah diperlihatkan mengandungi protein dipanggil amiloid dan fibrin(ogen), jadi kami merujuknya sebagai zarah amiloid fibrin(ogen) untuk mencerminkan komponennya.

Telah dicadangkan bahawa zarah-zarah ini boleh dikeluarkan daripada darah melalui teknik dipanggil plasmaferesis, di mana darah akan dikeluarkan daripada badan dan komponen plasma dalam darah pesakit akan ditapis oleh mesen untuk mengeluarkan sebarang zarah. Jikalau zarah ini bertanggungjawab untuk simptom PCC, mengeluarkannya boleh merawat simptom pesakit. Rasional untuk merawat PCC tidak terbukti, dan dikaitkan dengan potensi risiko terhadap pesakit.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami ingin menyiasat teori bahawa zarah amiloid fibrin(ogen) boleh menjadi punca kondisi pasca-COVID-19.

Ulasan telah dilakukan dalam dua langkah, seperti berikut.

1. Mengulas kajian makmal yang menyiasat sama ada zarah amiloid fibrin(ogen) ditemui dalam sampel darah daripada orang yang mengalami kondisi pasca-COVID-19. Kajian ini didapati secara terperinci dalam Lampiran 1.

2. Ulasan kajian rawak yang menyiasat sama ada plasmaferesis ialah rawatan yang selamat dan berkesan untuk membuang zarah amiloid fibrin(ogen) pada orang yang mengalami kondisi pasca-COVID-19.

Apakah yang telah kami temui?

Ulasan kajian makmal

Kami mengenal pasti lima kajian yang menilai sama ada zarah amiloid fibrin(ogen) terdapat dalam darah pesakit dengan kondisi pasca-COVID-19. Kajian mengenal pasti zarah-zarah ini dalam kawalan yang sihat, mereka yang menghidapi diabetes jenis 2, dan mereka yang mempunyai PCC, bermakna zarah-zarah tersebut tidak unik untuk PCC. Kami juga mengenal pasti masalah dengan cara kajian ini dijalankan dan bagaimana penemuan itu dibentangkan, contohnya adalah tidak jelas sama ada zarah ini ditemui dalam semua peserta dengan PCC, atau dalam hanya beberapa.

Ulasan kajian rawak terkawal

Kami tidak menemui sebarang kajian di mana pesakit dengan kondisi pasca-COVID-19 telah menjalani plasmaferesis dengan tujuan untuk membuang zarah amiloid fibrin(ogen). Kami juga tidak menemui sebarang kajian yang sedang dijalankan untuk menyiasat perkara ini.

Apakah batasan bukti?

Bukti tidak dapat menunjukkan jika zarah amiloid fibrin(ogen) menyumbang kepada kondisi pasca-COVID-19. Analisis kami tidak mempertimbangkan mekanisme lain yang sepatutnya bagi kondisi pasca-COVID-19 dan plasmaferesis dalam konteks mekanisme lain seperti itu.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami telah menjalankan carian untuk kajian pada 21 Oktober 2022 ( kajian rawak terkawal) dan 27 Oktober 2022 (kajian makmal).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Fatin Aqilah binti Suharnizam (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information