Adakah rawatan dengan perencat SGLT2 menghalang komplikasi pada orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis?

Mesej utama

- Rawatan dengan perencat sodium-glucose co-transporter protein 2 (SGLT2) mengurangkan risiko kematian dan masalah buah pinggang bagi orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis.

- Kami tidak pasti sama ada perencat SGLT2 adalah lebih baik daripada ubat kencing manis yang lain kerana tidak cukup penyelidikan klinikal yang membandingkannya secara langsung dalam kajian klinikal.

Penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis

Kencing manis adalah penyakit biasa yang disebabkan oleh pengurangan aktiviti insulin (hormon yang mengawal paras glukosa dalam darah) dan peningkatan rintangan insulin. Kencing manis mengurangkan kualiti kehidupan berkaitan dengan kesihatan dan membawa kepada serangan jantung, angin ahmar, amputasi anggota badan, kematian dan kemurungan pada awal usia, terutamanya pada orang dengan penyakit buah pinggang kronik. Ubat perencat SGLT2 kini digunakan untuk merawat orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan diabetes. Kajian baharu telah muncul, dan menggabungkan keputusan kajian-kajian ini adalah penting untuk mendapatkan kefahaman terkini sama ada ubat ini selamat dan bermanfaat jika dibandingkan dengan rawatan yang lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ubat perencat SGLT2 mampu menghalang masalah kencing manis pada orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai kedua-dua penyakit buah pinggang kronik (fungsi buah pinggang berkurangan) dan kencing manis.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari semua kajian yang menilai manfaat dan bahaya perencat SGLT2 yang diagihkan secara rawak kepada orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan 53 kajian klinikal yang melibatkan 65,241 orang dewasa dengan penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis. Orang dalam kajian diberi ubat perencat SGLT2, pil gula (plasebo), penjagaan piawaian sahaja, atau ubat kencing manis yang berbeza (cth. metformin atau insulin). Pengagihan rawatan ditentukan secara rawak (seperti melambung syiling). Tiada kajian dibuat pada kanak-kanak.

Menggabungkan semua kajian, kami menemui bahawa rawatan dengan perencat SGLT2 mengurangkan kemungkinan kematian, termasuk kematian secara langsung disebabkan oleh masalah jantung atau angin ahmar. Kami juga menemui bahawa perencat SGLT2 menghalang kegagalan buah pinggang, bermakna lebih sedikit orang yang menjalani rawatan ini memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Kesan terhadap pencegahan serangan jantung atau angin ahmar adalah tidak jelas. Kami juga tidak dapat memastikan sama ada rawatan perencat SGLT2 adalah lebih baik atau lebih teruk daripada rawatan yang lain kerana data tersedia adalah sedikit untuk membandingkannya dengan ubat kencing manis yang lain dalam kajian klinikal.

Apakah batasan bukti?

Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas bilangan penghidap penyakit buah pinggang kronik, jadi beberapa data tidak dapat disertakan. Kesan buruk adalah jarang dan tidak konsisten dilaporkan, jadi kami tidak pasti tentang hasil ini. Walaupun kami menyertakan kajian melibatkan orang dengan diabetes jenis 1, data tersedia tidak mencukupi untuk memastikan kesan perencat SGLT2 pada golongan ini dengan teliti.

Sejauh manakah bukti terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information