Senaman manakah yang lebih baik untuk mengurangkan keletihan yang disebabkan oleh kanser: latihan kardiovaskular atau rintangan ?

Mesej utama

– Bukti sedia ada adalah sangat tidak pasti tentang kesan latihan kardiovaskular dan rintangan terhadap keletihan yang disebabkan oleh kanser, kesejahteraan, dan kesan-kesan yang tidak diingini. Terdapat hanya beberapa kajian kecil.

– Kita memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memutuskan sama ada salah satu dari jenis senaman ini adalah lebih baik berbanding yang lain. Penyelidikan ini juga harus merangkumi jenis kanser dan rawatan kanser yang berbeza.

Apakah keletihan yang disebabkan oleh kanser?

Keletihan yang disebabkan oleh kanser adalah perasaan letih melampau yang berlarutan dalam jangka masa yang lama. Ianya berkait dengan kanser atau rawatan kanser, atau kedua-duanya. Ia menjejaskan kedua-dua tubuh badan dan perasaan, dan boleh menyebabkan kesukaran untuk melakukan aktiviti biasa. Keletihan yang disebabkan oleh kanser adalah lebih teruk daripada keletihan biasa, dan ia tidak hilang dengan lebih banyak tidur atau rehat.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara latihan kardiovaskular dan latihan rintangan untuk rawatan dan pencegahan keletihan yang disebabkan oleh kanser, kesejahteraan (juga dikenali sebagai kualiti hidup), dan kesan-kesan tidak diingini . Latihan kardiovaskular melibatkan senaman seperti berjalan, berlari, berenang, dan berbasikal, manakala latihan rintangan termasuklah senaman menggunakan berat badan sendiri, bebanan, atau jalur terapi elastik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan latihan kardiovaskular dan latihan rintangan pada pesakit dengan sebarang jenis kanser. Latihan boleh dimulakan sebelum, semasa, atau selepas rawatan kanser.

Kami merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui enam kajian yang melibatkan 447 pesakit dengan kanser payudara, kanser prostat (kelenjar kecil pada pelvis yang merupakan sebahagian daripada sistem pembiakan lelaki), atau kanser paru-paru. Kajian-kajian ini tidak melaporkan sekiranya pesakit sudah mengalami keletihan yang disebabkan oleh kanser sebelum memulakan senaman. Pesakit dalam kajian ini telah dirawat dengan kemoterapi (ubat untuk membunuh kanser), radioterapi (radiasi yang ditujukan kepada kanser untuk mengurangkan atau membunuhnya), pembedahan (untuk membuang kanser), atau gabungan rawatan ini. Latihan kardiovaskular atau latihan rintangan bermula semasa atau selepas rawatan kanser. Kebanyakan kajian melihat kepada keputusan jangka pendek (sehingga dan termasuk minggu ke-12 pemantauan), hanya satu kajian yang mempunyai keputusan jangka panjang (enam bulan atau lebih pemantauan). Kajian-kajian disokong oleh geran penyelidikan dan dijalankan di Kanada, Belgium, AS, dan Jerman.

Bukti sedia ada adalah sangat tidak pasti tentang kesan latihan kardiovaskular dan latihan rintangan terhadap keletihan yang disebabkan oleh kanser, kesejahteraan, dan kesan yang tidak diingini dalam jangka pendek atau panjang.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Kami menemui hanya sedikit kajian dengan bilangan pesakit yang rendah. Kami juga menemui masalah dalam kaedah kajian. Sebagai contoh, pesakit dalam kajian tahu latihan manakah yang mereka terima. Ini boleh mempengaruhi keputusan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed M Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information