Adakah intervensi untuk menghentikan kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan rokok elektronik berkesan?

Mesej utama

Buat masa ini, tiada kajian rawak terkawal yang telah diterbitkan yang menilai kesan intervensi untuk mencegah atau menghentikan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Walau bagaimanapun, kami menjumpai 22 daripada kajian jenis ini sedang dijalankan yang nampaknya layak untuk kemas kini masa hadapan bagi ulasan ini, yang mungkin memberikan lebih banyak jawapan.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh manakah intervensi berkesan dalam sama ada mencegah atau menghentikan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan/atau remaja. Kami juga ingin mengetahui kesan intervensi ini terhadap penggunaan tembakau oleh kanak-kanak dan/atau remaja, dan jika intervensi ini mendatangkan sebarang akibat yang berkaitan terhadap kesihatan kanak-kanak dan/atau remaja, atau organisasi di mana intervensi dijalankan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari semua bukti yang ada daripada kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk menjawab soalan ulasan.

Apakah yang kami dapati?

Kami mencari kajian pada 1 Mei 2023 dan tidak menjumpai kajian yang telah diterbitkan. Walau bagaimanapun, kami menjumpai 22 kajian yang sedang dijalankan dan mungkin akan dimasukkan dalam kemas kini masa hadapan ulasan ini. Memandangkan kami tidak menjumpai kajian untuk dimasukkan, kami tidak mengetahui sejauh manakah intervensi berkesan dalam mencegah atau menghentikan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan/atau remaja.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 1 Mei 2023.

Ini adalah ulasan sistematik yang berterusan. Kami mencari bukti baharu setiap bulan dan mengemas kini ulasan apabila kami mengenal pasti bukti baharu yang berkaitan. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Ditsunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information