Terapi psikedelik-berbantu untuk merawat kegelisahan, kemurungan dan kebimbangan eksistensial pada orang dengan penyakit yang mengancam nyawa

Mesej utama

- Pada orang dengan penyakit yang mengancam nyawa (seperti kanser), kami menemui bahawa terapi psikedelik-berbantu dengan psikedelik "klasik" (iaitu psilosibin ('cendawan ajaib'), LSD), boleh mengakibatkan pengurangan gejala kegelisahan dan kemurungan.

- Kami juga menemui bahawa kebimbangan eksistential (seperti merasakan hidup tidak bermakna) dan kualiti hidup boleh bertambah baik dengan psikedelik klasik, tetapi bukti adalah bercampur-campur dan sangat tidak pasti.

- Data mengenai hasil ini adalah minimum untuk terapi psikedelik-berbantu dengan MDMA ('Ecstasy'), dan kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

- Tiada kesan sampingan negatif yang teruk daripada terapi psikedelik-berbantu dilaporkan dalam kajian yang kami kenal pasti, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Kesan sampingan sederhana berkurangan selepas kesan ubat hilang atau dalam minggu berikutnya.

Apakah kepentingan kegelisahan, kemurungan, dan kebimbangan eksistensial pada orang dengan penyakit yang mengancam nyawa?

Kebimbangan, kemurungan dan kebimbangan eksistensial sering dialami oleh orang yang menghadapi penyakit yang mengancam nyawa dan memberi kesan negatif kepada kualiti hidup mereka serta kualiti hidup penjaga mereka.

Bagaimanakah kebimbangan, kemurungan, dan kebimbangan eksistensial dirawat?

Rawatan gejala ini adalah mencabar, terutamanya dalam penjagaan akhir hayat, kerana ubat antidepresan atau anti-kegelisahan mungkin tidak berkesan dan psikoterapi boleh mengambil masa yang lama atau sukar untuk diakses.

Apakah itu terapi psikedelik-berbantu?

Psikedelik adalah haram di kebanyakan negara, tetapi beberapa tempat membenarkan akses yang terhad, dan penyelidikan tentang potensi penggunaan ubat-ubatan ini adalah semakin meningkat. Terapi psikedelik-berbantu melibatkan pengambilan ubat psikedelik (seperti LSD, psilosibin ('cendawan ajaib'), MDMA ('Ecstasy')) di bawah pengawasan rapi oleh ahli terapi (pakar perubatan, ahli psikologi dan lain-lain). Terapi psikedelik-berbantu merangkumi tiga fasa rawatan: sesi penyediaan berlaku terlebih dahulu, kemudian sesi dos (pengambilan) ubat, dan selepas itu, sesi integrasi dijalankan untuk merenung pengalaman.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi psikedelik-berbantu adalah lebih baik daripada terapi berbantu plasebo aktif untuk menambahbaik kegelisahan, kemurungan, dan kebimbangan existensial. Kami juga ingin mengetahui sama ada terapi psikedelik-berbantu dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini atau risiko bahaya.

Apakah yang kami lakukan?
Matlamat kami adalah untuk mengumpul dan menilai secara sistematik bukti tersedia untuk terapi psikedelik-berbantu untuk merawat kegelisahan, kemurungan, dan kebimbangan existensial. Kami telah mencari kajian klinikal berkualiti tinggi. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui enam kajian menguji terapi psikedelik-berbantu menggunakan psilosibin (3 kajian), LSD (2 kajian), dan MDMA (1 kajian). Kajian melibatkan 149 dewasa yang mengalami kegelisahan, kemurungan, dan kebimbangan existensial. Kajian terbesar menguji psilosibin dalam 56 orang dan dua kajian terkecil menguji psilosibin atau LSD dalam 12 orang. Kajian itu berlaku di AS dan Switzerland. Kebanyakan kajian membuat susulan selama 6 hingga 12 bulan. Syarikat ubat tidak terlibat dalam dana kajian, tetapi dana disediakan oleh organisasi yang mempromosikan terapi psikedelik-berbantu.

Terapi psikedelik-berbantu dengan psikedelik klasik (psilosibin, LSD) berbanding dengan plasebo aktif (seperti dos yang sangat rendah bagi ubat yang sama) boleh mengurangkan kegelisahan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, keyakinan kami terhadap anggaran kesan adalah terhad; kami mungkin boleh menemui bahawa kesan sebenar adalah jauh berbeza apabila lebih banyak kajian dijalankan. Terapi psikedelik-berbantu dengan psikedelik klasik mungkin mengurangkan kebimbangan existensial, tetapi bukti bercampur-campur dan sangat tidak pasti. Untuk terapi psikedelik-berbantu dengan MDMA, data tentang kegelisahan atau kemurungan tidak dapat disimpulkan, dan kebimbangan existensial tidak disiasat.

Terapi psikedelik-berbantu dengan psikedelik klasik (psilosibin, LSD) berbanding dengan plasebo aktif boleh menambahbaik kualiti hidup dan mendorong pengalaman rohani dengan ketara, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Untuk terapi MDMA-berbantu, kualiti hidup tidak bertambah baik, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Hasil kerohanian tidak dinilai untuk MDMA.

Terapi psikedelik-berbantu nampaknya boleh diterima dengan baik, tetapi bukti tentang kesan sampingan adalah sangat tidak pasti. Kajian melaporkan tiada kesan sampingan yang serius. Kajian psikedelik klasik melaporkan kesan sampingan ringan hingga sederhana seperti loya, kegelisahan, mulut kering, gejala seperti psikotik (seperti pseudo-halusinasi, di mana orang tahu bahawa mereka berhalusinasi), dan tekanan darah tinggi, yang berkurangan apabila kesan ubat hilang atau pada keesokan harinya. Kajian MDMA melaporkan kegelisahan, mulut kering, mengepal rahang, dan sakit kepala, yang berkurangan apabila kesan ubat hilang atau pada minggu berikutnya.

Apakah batasan bukti?

Terdapat beberapa batasan bukti. Yang penting, peserta sering menyedari rawatan yang mereka terima, yang boleh mempengaruhi keputusan mereka. Di samping itu, kajian-kajian adalah kecil. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kajian masa depan mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini. Disebabkan oleh Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS pada masa ini mengklasifikasikan psikedelik sebagai bahan Jadual I (iaitu tidak mempunyai penggunaan perubatan yang diterima dan berpotensi tinggi untuk penyalahgunaan), penyelidikan yang melibatkan ubat-ubatan ini adalah dihadkan, tetapi semakin meningkat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah berdasarkan carian bukti sehingga Mac 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information