Topeng hidung berbanding wayar kanula hidung untuk tekanan saluran udara positif secara berterusan pada bayi pramatang

Mesej utama

Topeng berbanding wayar kanula boleh mengurangkan risiko kegagalan rawatan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) dan kecederaan hidung tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian atau komplikasi lain yang berkaitan dengan kelahiran pramatang.

Apakah rawatan tekanan saluran udara positif berterusan?

CPAP hidung ialah satu cara sokongan pernafasan yang kurang invasif jika dibandingkan dengan pengudaraan mekanikal (di mana tiub pernafasan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan bayi). CPAP hidung menghantar oksigen kepada bayi melalui wayar kanula hidung atau topeng muka lembut yang menutup hidung. Ia boleh digunakan selepas mekanikal ventilasi dihentikan (extubation), atau untuk membantu bayi yang memerlukan bantuan pernafasan untuk masalah paru-paru, tetapi tidak memerlukan ventilasi mekanikal.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami menilai sama ada terdapat bukti yang menyokong penggunaan topeng berbanding wayar kanula untuk mengurangkan kadar kegagalan rawatan CPAP (iaitu, keadaan bayi semakin teruk atau bayi memerlukan ventilasi mekanikal), dan mengurangkan komplikasi dan bahaya.

Apa yang kami buat?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk ujian klinikal sehingga Oktober 2021.

Apa yang kami dapati?

Kami memasukkan 12 ujian yang membandingkan penggunaan topeng berbanding wayar kanula bagi CPAP terhadap 1604 bayi yang dilahirkan lebih daripada tiga minggu sebelum anggaran tarikh kelahiran mereka. Kajian-kajian kebanyakannya kecil, dan ada yang mempunyai kelemahan reka bentuk yang mungkin mempengaruhi penemuan mereka.

Hasil utama

Analisis menunjukkan bahawa menggunakan topeng dan dibandingkan dengan awayar kanula boleh mengurangkan risiko kegagalan rawatan CPAP dan kecederaan hidung tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian atau komplikasi lain yang berkaitan dengan kelahiran pramatang. Tiada kajian yang kami kenal pasti menilai kesan terhadap kehilangan upaya atau tumbesaran bayi.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kualiti bukti untuk kesan topeng berbanding wayar kanula untuk CPAP pada bayi pramatang adalah rendah atau sangat rendah kerana kebimbangan bahawa kaedah yang digunakan dalam ujian yang disertakan mungkin telah menimbulkan bias dan jumlah data yang terhad daripada ujian-ujian tersebut. Akibatnya, keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad, dan kesan sebenar mungkin jauh berbeza daripada apa yang kami temui.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information