Apakah faedah dan kemudaratan kortikosteroid topikal untuk merawat mata kering?

Apakah mata kering?

Mata kering adalah keadaan biasa yang berlaku apabila air mata seseorang tidak dapat melincirkan mata mereka dengan secukupnya. Air mata boleh menjadi tidak cukup dan tidak stabil kerana banyak sebab. Sebagai contoh, mata kering mungkin berlaku apabila pengeluaran air mata berkurangan atau apabila kualiti air mata tidak baik. Ketidakstabilan air mata ini membawa kepada keradangan dan kerosakan pada permukaan mata. Mata kering adalah tidak selesa. Orang yang mempunyai mata kering sering berasa pedih atau melecur dan kadangkala mengalami penglihatan kabur.

Bagaimanakah ia dirawat?

Banyak pilihan rawatan tersedia untuk mata kering. Untuk mata kering yang disebabkan oleh kekurangan relatif lapisan air dalam air mata, rawatan mungkin termasuk air mata buatan, perangsang air mata, titisan serum mata, dan palam punctal. Untuk mata kering yang disebabkan oleh rembesan lapisan lipid yang tersekat dalam air mata, pilihan rawatan mungkin termasuk antibiotik topikal, tekanan hangat, dan agen anti-radang, seperti kortikosteroid dan cyclosporine A. Titisan mata kortikosteroid bertujuan untuk mengurangkan proses keradangan dan memberikan kelegaan gejala dengan penggunaan jangka pendek. Tekanan mata yang tinggi dan pembentukan katarak adalah kebimbangan biasa dengan penggunaan kortikosteroid jangka panjang.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami menilai sama ada titisan mata kortikosteroid, secara bersendirian atau digabungkan dengan ubat lain, boleh menambahbaik gejala mata kering atau keputusan ujian yang digunakan untuk diagnosis atau memantau mata kering. Kami juga memeriksa sama ada titisan mata kortikosteroid menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini pada mata.

Apa yang kami buat

Kami menjalankan satu ulasan sistematik. Kami mencari kajian yang membandingkan titisan mata kortikosteroid dengan kawalan pelincir, rawatan aktif yang lain, atau tiada rawatan. Kami merumuskan dapatan kajian ini dan menilai bukti berdasarkan bilangan peserta kajian dan kaedah yang digunakan dalam kajian.

Apa yang kami temui

Kami mengenal pasti 22 kajian klinikal yang mendaftarkan sejumlah 4169 peserta dengan mata kering. Kebanyakan kajian melibatkan orang dewasa dengan purata umur antara 50 dan 67 tahun, kecuali satu kajian yang melibatkan kanak-kanak berumur 3 hingga 14 tahun secara eksklusif. Tempoh rawatan adalah antara 7 hari dan 3 bulan. Apabila dibandingkan dengan pelincir, seperti air mata buatan, atau dengan cyclosporine A, titisan mata kortikosteroid mungkin berkesan dalam menambahbaik gejala yang dilaporkan pesakit dan ujian klinikal seperti pewarnaan kornea. Doktor boleh menggunakan pewarnaan kornea sebagai ujian untuk kerosakan kornea. Walau bagaimanapun, titisan mata kortikosteroid mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti atau kuantiti air mata. Pada masa yang sama, adalah tidak pasti sama ada penggunaan steroid boleh meningkatkan atau mengurangkan potensi peningkatan tekanan mata, pembentukan katarak baru, atau memburukkan katarak sedia ada.

Apa batasan bukti?

Lebih daripada separuh kajian yang disertakan mempunyai kaedah kajian yang tidak sempurna atau tidak melaporkan keputusan mereka sepenuhnya. Kekurangan ini membawa kepada kebimbangan mengenai penemuan kajian dan mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti yang dihasilkan dalam ulasan sistematik ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information