Adakah 'profilaktik transarteri embolisasi' (penyekatan saluran darah sebagai langkah berjaga-jaga) berkesan untuk mencegah pendarahan ulser peptik (perut) semula selepas rawatan endoskopik yang berjaya sebelum ini (dengan tiub melalui mulut ke dalam peru

Mesej utama

- Embolisasi transarteri profilaktik (menyekat bekalan darah ke ulser sebagai langkah berjaga-jaga) mungkin memberi sedikit perbezaan atau tiada perbezaan dalam mengurangkan pendarahan semula, keperluan untuk pembedahan semula, atau kematian bagi orang yang pendarahan ulser peptik telah berjaya dirawat dengan endoskopi (tiub melalui mulut ke dalam perut), tetapi tempoh tinggal di hospital mungkin lebih pendek, berbanding dengan endoskopi sahaja.

- Kami mendapati hanya dua kajian kecil, jadi kami memerlukan lebih banyak kajian dengan lebih ramai orang untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Apakah ulser peptik, dan bagaimana ia dirawat?

Ulser peptik adalah kudis yang berkembang pada lapisan perut (ulser gastrik) atau bahagian atas usus kecil (ulser duodenal). Ia adalah keadaan biasa. Ia boleh disebabkan oleh bakteria ( Helicobacter pylori ), atau ubat anti-radang, seperti ibuprofen. Ia juga boleh menjadi keadaan yang sangat berbahaya, yang menyebabkan pendarahan dalaman. Apabila ulser berdarah, ia boleh mengakibatkan simptom seperti najis berwarna hitam, berlengan atau muntah darah, yang memerlukan perhatian dan rawatan segera di hospital. Pendarahan ulser peptik dirawat dengan menggunakan 'endoskop', tiub fleksibel dengan lampu dan kamera di hujungnya. Endoskop dimasukkan melalui mulut dan turun ke dalam saluran penghadaman. Doktor boleh melihat ulser dan mengambil tindakan untuk menghentikan pendarahan, seperti menyuntik ubat, menyapu haba, atau menggunakan klip untuk menutup saluran darah yang berdarah. Endoskopi membantu pasukan perubatan untuk mendiagnosis dan merawat ulser peptik yang berdarah tanpa memerlukan pembedahan.

Apakah embolisasi transarteri profilaktik?

Walaupun selepas rawatan endoskopik yang berjaya, sesetengah ulser peptik akan mula berdarah semula (pendarahan semula). Pesakit yang mengalami pendarahan semula akibat ulser peptik mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mati berbanding pesakit yang ulsernya tidak berdarah semula. Untuk menghentikan ini daripada berlaku, doktor boleh memilih untuk menjalani prosedur pencegahan (profilaktik untuk menyekat bekalan darah ke arteri tertentu (embolisasi arteri). Terdapat pelbagai kaedah untuk melakukan ini, tetapi ia biasanya dijalankan oleh ahli radiologi melalui X-ray untuk membimbing mereka ke tempat yang betul melalui arteri (secara transarteri), dan mereka kemudian menggunakan gegelung (wayar logam bergelung kecil) atau sejenis gam untuk menyekat saluran darah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada embolisasi transarteri profilaktik berikutan rawatan endoskopik yang berjaya sebelum ini bagi ulser peptik berdarah menjejaskan:

- risiko pendarahan semula

- risiko memerlukan operasi semula

- risiko mati

- tempoh kemasukan ke hospital

- komplikasi rawatan

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat kesan embolisasi transarteri profilaktik kurang daripada 48 jam selepas endoskopi yang berjaya berbanding dengan endoskopi sahaja pada pesakit yang mengalami pendarahan ulser peptik.

Kami membandingkan dan meringkaskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan 2 kajian dengan 346 orang. Daripada jumlah ini, 145 menjalani embolisasi transarteri profilaktik berikutan rawatan endoskopik yang berjaya bagi ulser peptik pendarahan, dan 179 hanya menjalani rawatan endoskopik. Orang yang tidak menjalani embolisasi transarteri profilaktik diberi penjagaan biasa.

Kami mendapati bahawa embolisasi transarteri profilaktik mungkin memberi sedikit perbezaan atau tidak kepada risiko pendarahan semula, risiko memerlukan pembedahan semula, dan kematian dalam masa 30 hari berbanding dengan rawatan endoskopik sahaja. Ia mungkin mengurangkan masa seseorang berada di hospital. Kajian yang disertakan tidak melaporkan sebarang komplikasi selain daripada pendarahan semula, keperluan untuk pembedahan semula dan kematian.

Apakah batasan bukti?

Kualiti kedua-dua kajian yang disertakan pada umumnya tinggi, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kami hanya menemui dua kajian, dan mereka tidak termasuk ramai orang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Tessa Li Chyin Lim (NSW Health). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information