Mesej Utama
• Kerosakan buah pinggang akut berlaku apabila buah pinggang tiba-tiba kehilangan keupayaan untuk menapis sisa dari darah. Ejen perangsang eritropoietin adalah ubatan yang digunakan terutamanya untuk merawat masalah penghasilan sel darah merah, dan mungkin boleh membantu individu yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut atau apabila kerosakan buah pinggang pertama kali dikesan.
• Pada individu yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut, agen perangsang eritropoietin mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko mengalami kerosakan buah pinggang akut atau mengurangkan risiko kematian, dan boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap keperluan untuk memulakan dialisis (prosedur untuk membuang bahan buangan dan cecair berlebihan dari darah). Begitu juga, mungkin tiada perbezaan terhadap fungsi buah pinggang dan kejadian buruk seperti pembekuan darah, serangan jantung, strok atau tekanan darah tinggi.
Apakah isunya?
• Kerosakan buah pinggang akut berlaku apabila buah pinggang tiba-tiba hilang keupayaan untuk menapis sisa dari darah. Ia paling biasa berlaku pada individu yang berada di hospital dan memerlukan rawatan intensif rapi. Jika kerosakan buah pinggang akut itu teruk, ia boleh membawa maut, tetapi bagi individu yang mempunyai kesihatan yang baik sebelum ini, kerosakan buah pinggang akut boleh dipulihkan.
Ejen perangsang erythropoietin adalah ubat-ubatan yang digunakan terutamanya untuk merawat masalah penghasilan sel darah merah, biasanya pada individu yang mengalami kegagalan buah pinggang jangka panjang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan cukup baik untuk memastikan seseorang itu hidup). Walau bagaimanapun, agen perangsang erythropoietin telah menunjukkan ianya membantu melindungi buah pinggang daripada penyakit dalam kajian terhadap haiwan, jadi ia mungkin boleh membantu mereka yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut (seperti mereka yang menjalani pembedahan jantung) atau individu dengan kerosakan buah pinggang akut peringkat awal.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian yang menilai faedah dan kemudaratan agen perangsang eritropoietin terhadap individu yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut atau merawat mereka yang mengalami kerosakan buah pinggang akut.
Apa yang kami dapati?
Kami menjumpai 20 kajian yang mendaftarkan 5348 individu berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut. Bilangan individu yang didaftar adalah antara 10 hingga 1302, dan semua dirawat di hospital. Semua kajian membandingkan agen perangsang eritropoietin dengan plasebo (ubat palsu) atau rawatan biasa.
Individu yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut, agen perangsang eritropoietin mungkin tidak mengurangkan risiko AKI atau kematian dan mungkin tidak mengurangkan keperluan untuk memulakan dialisis (prosedur untuk membuang bahan buangan dan cecair berlebihan dari darah). Begitu juga, mungkin tiada perbezaan terhadap fungsi buah pinggang dan kejadian buruk seperti pembekuan darah, serangan jantung, strok atau tekanan darah tinggi.
Kesimpulan
Kami cukup yakin bahawa agen perangsang eritropoietin mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap individu yang berisiko mengalami kerosakan buah pinggang akut daripada terus mengalami kerosakan buah pinggang akut atau mati. Kami kurang yakin dengan kesan terhadap pengurangan keperluan untuk memulakan dialisis dan kejadian buruk seperti pembekuan darah, serangan jantung, strok atau tekanan darah tinggi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 30 Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (International Medical University).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).