Apakah faedah dan risiko senaman kepada penghidap sistemik lupus eritematosus?

Mesej utama

Senaman sebagai tambahan kepada 'penjagaan biasa' mungkin mempunyai sedikit manfaat pada keletihan, kapasiti fungsional, dan kesakitan pada penghidap sistemik lupus eritematosus (SLE).

Tiada kajian melaporkan kesan sampingan semasa bersenam. Walau bagaimanapun, pengulas mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti keseluruhan.

Apakah sistemik lupus eritematosus?

Sistemik lupus eritematosus (SLE; atau 'lupus') adalah penyakit bila mana sistem kekebalan tubuh secara salah menyerang tisu-tisu sihat bahagian badan. Ia adalah penyakit jangka panjang (penyakit yang berlangsung lebih lama daripada enam minggu dan biasanya seumur hidup). Selalunya, SLE menyebabkan sakit pada sendi dan otot, dan keletihan yang melampau. Gejala boleh bertambah baik untuk sementara, atau bertambah teruk secara tiba-tiba (suar).

Bagaimanakah sistemik lupus eritematosus dirawat?

Pengurusan atau penjagaan biasa dalam SLE mungkin termasuk, tetapi tidak terhad kepada rawatan dengan ubat-ubatan seperti ubat anti-reumatik pengubahsuai penyakit (DMARDs) atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs). Ia juga mungkin termasuk rawatan bukan ubat seperti mengelakkan matahari, suplemen (iaitu vitamin D), pendidikan tentang penyakit dan penyakit lain (iaitu hipertensi), dan aktiviti fizikal atau senaman. Latihan senaman yang kerap boleh berfungsi sebagai rawatan tambahan untuk penghidap SLE.

Apa yang pengulas ingin ketahui?

Mereka ingin mengetahui sama ada senaman sebagai tambahan kepada penjagaan biasa meningkatkan keletihan, kapasiti fungsional (keupayaan untuk melakukan tugas harian biasa), kualiti hidup, kesakitan dan aktiviti penyakit, serta tidak mendatangkan bahaya.

Apakah yang telah pengulas buat?

Mereka mencari kajian yang menyiasat program senaman berstruktur seperti senaman aerobik, rintangan, regangan atau gabungan ini (termasuk dos senaman tertentu, seperti kekerapan, intensiti, masa, jenis) sebagai tambahan kepada penjagaan biasa berbanding dengan plasebo (ubat palsu) , penjagaan biasa sahaja, atau intervensi bukan ubat lain (seperti terapi relaksasi) pada penghidap SLE.

Pengulas membuat perbandingan dan rumusan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan mereka terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang pengulas dapati?

Mereka mendapati 13 kajian yang melibatkan 540 peserta dengan SLE yang melibatkan program senaman berstruktur yang berlangsung sehingga dalam tempoh 12 minggu. Penjagaan biasa termasuk DMARDs dan glukokortikoid.

Keputusan utama ulasan ialah:

1. Senaman getaran seluruh badan serta penjagaan biasa boleh mengakibatkan sedikit atau tiada kesan pada keletihan, kapasiti fungsi dan kesakitan jika dibandingkan dengan senaman getaran plasebo seluruh badan (getaran dimatikan) serta penjagaan biasa (1 kajian, 17 peserta).

Kajian ini mengukur keletihan menggunakan Penilaian Fungsional Terapi Penyakit Kronik - domain Keletihan (FACIT-Fatigue) (skala 0 hingga 52, dengan 0 bermakna tiada keletihan) dan, pada 12 minggu, keletihan bertambah baik sebanyak 5 mata dalam kumpulan senaman berbanding dengan kumpulan yang tidak bersenam:

- Orang yang bersenam menilai keletihan mereka pada 33 mata.

- Orang yang tidak bersenam menilai keletihan mereka pada 38 mata.

Kajian itu mengukur kapasiti fungsional menggunakan domain Kapasiti Fungsional dalam soal selidik kesihatan Borang Pendek 36 item (SF-36) (skala 0 hingga 100, dengan 100 bermaksud fungsi terbaik) dan, pada 12 minggu, fungsi bertambah buruk sebanyak 2.5 mata dalam kumpulan senaman berbanding kumpulan yang tidak bersenam:

– Orang yang bersenam menilai kapasiti fungsional mereka pada 67.5 mata.

- Orang yang tidak bersenam menilai kapasiti fungsional mereka pada 70 mata.

Kajian tersebut mengukur kesakitan pada domain Kesakitan SF-36 (skala 0 hingga 100, dengan 0 bermakna tiada kesakitan) dan, pada 12 minggu, kesakitan bertambah baik sebanyak 9 mata dalam kumpulan senaman berbanding kumpulan yang tidak bersenam:

- Orang yang bersenam menilai kesakitan mereka pada 34 mata.

- Orang yang tidak bersenam menilai kesakitan mereka pada 43 mata.

Lebih ramai orang daripada kumpulan senaman (27%) menarik diri daripada kajian berbanding mereka dalam kumpulan plasebo (10%).

Kajian tersebut tidak mengukur aktiviti penyakit atau kualiti hidup.

2. Senaman serta penjagaan biasa boleh mengakibatkan sedikit atau tiada kesan pada keletihan, kapasiti fungsional dan aktiviti penyakit jika dibandingkan dengan penjagaan biasa sahaja. Dan pengulas tidak pasti sama ada senaman mengurangkan kesakitan jika dibandingkan dengan penjagaan biasa sahaja.

3. Senaman serta penjagaan biasa boleh mengurangkan keletihan, meningkatkan kapasiti fungsional, dan mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam aktiviti penyakit, dan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesakitan jika dibandingkan dengan intervensi bukan ubat lain beserta penjagaan biasa.

Tiada kajian melaporkan sebarang kesan sampingan yang serius yang berkaitan dengan program senaman semasa atau selepas intervensi.

Apakah batasan bukti?

Pengulas mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana bilangan kajian adalah sangat kecil, dan ada kemungkinan bahawa orang dalam kajian itu menyedari rawatan yang mereka perolehi.

Kebanyakan kajian menilai keberkesanan senaman untuk tempoh yang singkat (12 minggu atau kurang) dan tidak jelas sama ada orang akan kekal bersenam dari semasa ke semasa. Kajian yang lebih teliti tentang senaman berstruktur dalam tempoh masa yang lebih lama daripada 12 minggu diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pengulas terhadap faedah dan keselamatan senaman bagi penghidap SLE.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 30 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir @ Azman (KP Kok Lanas). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochtane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information