Adakah pengambilan statin menghalang pembekuan darah daripada terbentuk dalam vena orang yang tidak pernah mengalami bekuan darah sebelum ini?

Mesej utama

- Penggunaan statin untuk pencegahan utama tromboembolisme vena (VTE; keadaan di mana bekuan darah, atau embolisme, terbentuk dalam vena) boleh mengurangkan sedikit kejadian VTE dan kematian daripada sebarang punca, tetapi pengurangannya mungkin terlalu kecil untuk jadi penting.

- Statin boleh tidak memberi sebarang perbezaan dengan kemungkinan mengalami trombosis vena dalam (DVT; darah beku di bahagian bawah kaki), embolisme pulmonari (PE; darah beku dalam paru-paru), atau miopati (keadaan yang menjejaskan otot rangka).

- bukti yang sedia ada adalah terhad, dan kami tidak pasti tentang kebolehpercayaan. Kajian prospektif masa depan harus dirancang dan dijalankan dengan baik. Mereka harus melibatkan sejumlah besar orang dan harus dijalankan dalam tempoh yang munasabah sekurang-kurangnya setahun.

Apakah itu tromboembolisme vena (VTE)?

VTE adalah keadaan di mana bekuan darah (embolisme) terbentuk dalam vena. Aliran darah melalui vena terjejas dikurangkan oleh bekuan, menyebabkan bengkak dan sakit. VTE paling kerap berlaku dalam 'vena dalam' di bahagian bawah kaki, paha, atau pelvis, dan dirujuk sebagai DVT. Jika bekuan darah pecah dan bergerak ke paru-paru, ia dikenali sebagai PE. Setiap tahun, daripada 100,000 individu, 57 didiagnosis dengan VTE, 35 dengan DVT, dan 21 dengan PE, di seluruh dunia.

Statin, yang termasuk atorvastatin, fluvastatin, lovastatin, pitavastatin, pravastatin, rosuvastatin, dan simvastatin, adalah ubat penurun kolesterol yang paling kerap digunakan. Statin ini berpotensi menurunkan paras kolesterol dan berpotensi untuk mengurangkan kejadian VTE.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami berhasrat untuk menemui faedah dan risiko statin untuk pencegahan utama VTE (diagnosis pertama) pada individu yang tidak mempunyai sejarah VTE terdahulu.

Apakah yang kami telah lakukan?

Kami telah mencari kajian terkawal rawak(RCT) yang membandingkan penggunaan statin dengan plasebo (iaitu pil palsu atau 'dummy') atau penjagaan biasa (penjagaan rutin seperti menukar pemakanan), untuk menilai sama ada statin membuat perbezaan dalam bilangan individu yang mengalami VTE kali pertama atau mengalami sebarang kesan sampingan.

RCT adalah kajian eksperimen di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan . Kaedah rawak ini memperuntukkan orang kepada kumpulan dapat membantu mengurangkan risiko bias dengan memastikan kumpulan itu serupa, dan penyiasat mahupun peserta tidak mengetahui siapa yang berada dalam kumpulan mana.

Apakah yang telah kami temui?

Ulasan kami merangkumi 27 RCT yang terdiri daripada 122,601 dewasa (berumur lebih daripada 18 tahun); dua kajian tertumpu kepada peserta yang berumur lebih daripada 60 tahun. Walaupun satu kajian melibatkan populasi yang sihat, peserta dalam 26 kajian lain mempunyai pelbagai penyakit. Semua kajian melibatkan kedua-dua peserta lelaki dan perempuan. Dua kajian melibatkan peserta dari pusat penjagaan primer, manakala baki 25 peserta diperbadankan dari hospital.

Statin yang disertakan adalah atorvastatin, rosuvastatin, pravastatin, lovastatin, fluvastatin, dan simvastatin. Kebanyakan kajian (23 daripada 27) meneruskan susulan mereka dengan peserta selama lebih daripada setahun. Begitu juga, kebanyakan kajian (24 daripada 27) menerima dana daripada syarikat komersial.

Kami mengumpulkan hasil kajian individu dan menemui bahawa statin boleh kurang sedikit bilangan kes VTE. Bilangan kes VTE yang dicegah oleh statin adalah kecil. Walau bagaimanapun, statin mungkin tidak mengurangkan bilangan bekuan darah di kaki atau paru-paru, yang dikenal pasti sebagai DVT dan PE, masing-masing. Kami tidak menemui sebarang bukti tentang perbezaan kuantiti kesan sampingan yang kurang teruk, seperti miopati. Terdapat kemungkinan statin boleh mengurangkan kejadian kematian daripada sebarang punca atau mengurangkan bilangan kesan sampingan teruk .

Apakah batasan bukti?

Kami tidak begitu yakin dengan keputusan disebabkan oleh kebimbangan mengenai kaedah yang digunakan dalam beberapa kajian. Bilangan bekuan darah yang rendah menjadikannya sukar untuk mengesan kesan. Perbezaan dalam kesihatan umum peserta, serta dos dan jenis statin yang digunakan merentas kajian, memperkenalkan kerumitan selanjutnya. Pengecualian kajian yang tidak menerbitkan kejadian VTE boleh bermakna kajian yang relevan terlepas, yang mungkin menjejaskan kesimpulan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 13 Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information