Ubat pencair darah dalam kalangan orang dengan multiple myeloma

Latar belakang

Risiko pembekuan darah adalah tinggi pada orang yang menghidapi barah darah, terutamanya pada mereka yang menghidapi multiple myeloma, barah yang bermula di sel plasma, iaitu sejenis sel darah putih. Lenalidomide, pomalidomide, dan thalidomide adalah rawatan biasa untuk multiple myeloma, yang apabila digabungkan dengan agen kemoterapi lain, adalah terbukti meningkatkan risiko pembekuan darah.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk ujian klinikal yang melihat kesan ubat pencair darah yang berlainan terhadap pembekuan darah pada orang dengan multiple myeloma yang menerima agen imunomodulator (lenalidomide, pomalidomide, dan/atau thalidomide). Kajian-kajian tersebut melihat kelangsungan hidup, pembekuan darah di anggota badan atau di paru-paru, dan/atau pendarahan. Bukti adalah terkini sehingga 14 Jun 2021.

Keputusan utama

Kami menyertakan empat kajian yang mendaftarkan seramai 1042 orang dengan multiple myeloma. Kajian yang disertakan membuat perbandingan yang berikut: aspirin (ubat oral yang digunakan untuk mencegah pembekuan darah) dengan antagonis vitamin K (VKA) (ubat pencair darah oral) (satu kajian); aspirin dengan heparin dengan berat molekul rendah (LMWH) (ubat pencair darah yang disuntik) (dua kajian); VKA dengan LMWH (satu kajian); dan aspirin dengan antikoagulan oral terus (ubat pencair darah oral) (dua kajian). Pada orang dengan multiple myeloma yang menerima thalidomide, data tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kesan perbandingan ubat-ubat tersebut terhadap semua hasil yang dikaji (kematian, pembekuan darah, pendarahan).

Kepastian bukti

Apabila membandingkan aspirin dengan VKA, aspirin dengan LMWH, atau VKA dengan LMWH, kepastian bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil yang dikaji (kematian, pembekuan darah di anggota badan atau paru-paru, dan pendarahan). Apabila membandingkan aspirin dengan antikoagulan oral, kepastian bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil kajian (kematian, pembekuan darah di anggota badan atau paru-paru, dan pendarahan).

Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baharu di mana ia dikemaskini berterusan, memasukkan bukti baharu yang relevan sebaik sahaja diperolehi. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information