Kaedah pengimejan gigi untuk pengesanan kerosakan gigi awal

Mengapakah penting untuk meningkatkan pengesanan karies gigi (kerosakan gigi)?
Doktor gigi sering mensasarkan untuk mengenal pasti kerosakan gigi yang telah berlanjutan ke tahap yang memerlukan tampalan. Jika doktor gigi dapat menemui kerosakan gigi apabila ia hanya menjejaskan lapisan luar gigi (enamel) maka ia berkemungkinan untuk menghentikan kerosakan dari merebak lebih jauh dan mencegah keperluan untuk tampalan. Adalah juga penting untuk mengelakkan keputusan positif palsu, apabila rawatan diberikan apabila tidak ada karies.

Apakah tujuan ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui seberapa tepat imej sinar-X dan pengimejan gigi jenis lain untuk mengesan kerosakan gigi awal sebagai sebahagian daripada pemeriksaan gigi untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang menjumpai doktor gigi am mereka. Para penyelidik di Cochrane menyertakan 77 kajian yang diterbitkan antara 1986 dan 2018 untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Tiga jenis pengimejan gigi yang utama dikaji dalam ulasan ini: radiografi analog atau digital (sinar-X) dan pengimejan tiga dimensi (3D) (tomografi berkomputer sinar kon (CBCT)). Kami mengkaji kerosakan pada permukaan oklusal (permukaan gigitan di belakang gigi), permukaan proksimal (permukaan gigi yang bersebelahan antara satu sama lain), dan permukaan rata.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para penyelidik di Cochrane menyertakan 77 kajian dengan sejumlah 15,518 tapak atau permukaan gigi, yang mana biasanya 63% tapak atau permukaan gigi mempunyai karies enamel. Sebilangan kajian-kajian ini melaporkan lebih daripada satu jenis pengimejan, pada gigi kekal dan primer (‘susu’) atau permukaan gigi yang berbeza, dan ini memberikan kami 104 data set untuk digunakan. Jika kaedah-kaedah ini digunakan oleh doktor gigi untuk pemeriksaan gigi rutin, daripada 1000 tapak atau permukaan gigi yang dilihat:
• penggunaan kaedah-kaedah ini akan menunjukkan bahawa 336 tapak atau permukaan gigi akan mempunyai kerosakan gigi awal, dan dari jumlah ini, 43 (13%) tidak akan mempunyai penyakit (diagnosis salah - positif palsu);
• daripada 664 tapak gigi dengan keputusan yang menunjukkan kerosakan gigi awal tidak ada, 337 (51%) akan mempunyai kerosakan gigi awal (diagnosis salah - negatif palsu).
Kadar keputusan negatif palsu yang tinggi ini bermakna bahawa tanda-tanda awal kerosakan akan terlepas. Kami menemui bukti bahawa kaedah pengimejan 3D adalah lebih baik daripada radiografi analog atau digital untuk mengenal pasti penyakit awal tetapi radiografi analog adalah lebih baik untuk mengenal pasti permukaan gigi yang bebas penyakit.

Sila lihat oralhealth.cochrane.org/imaging-modalities-inform-detection-and-diagnosis-early-caries.

Bolehkah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini dipercayai?
Kami hanya menyertakan kajian-kajian yang menilai gigi yang sihat atau mereka yang dianggap mempunyai kerosakan gigi awal. Ini kerana gigi dengan kerosakan gigi dalam akan lebih mudah dikenal pasti. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan bagaimana kajian-kajian itu dijalankan. Ini boleh menyebabkan kaedah-kaedah ini kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya, meningkatkan jumlah keputusan yang betul. Kami menilai kepastian tentang bukti adalah rendah kerana cara kajian-kajian itu memilih peserta mereka dan banyak kajian dilakukan dalam persekitaran makmal terhadap gigi yang diekstrak, dan kepelbagaian keputusan.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasikan?
Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini dilakukan di Amerika Selatan, Eropah, Asia, dan AS. Sebilangan besar kajian memeriksa gigi yang diekstrak, sementara kajian klinikal dilakukan di hospital gigi atau klinik gigi awam.

Apakah implikasi ulasan ini?
Bukti berkepastian rendah menunjukkan bahawa pengimejan untuk mengesan atau mendiagnosis kerosakan gigi awal boleh menyebabkan kadar keputusan negatif palsu yang tinggi secara relatif, dengan potensi untuk penyakit awal menjadi lebih teruk. Jika tidak dirawat, peluang untuk memberikan amalan profesional atau penjagaan diri untuk menghentikan atau membalikkan kerosakan gigi awal akan terlepas.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Carian elektronik memperoleh kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 31 Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information