Intervensi untuk pencegahan gangguan deria bau yang berterusan (disfungsi olfaktri) selepas jangkitan COVID-19

Mengapakah ini penting

COVID-19 didapati boleh mengakibatkan masalah dengan deria bau. Ada kalanya ia melibatkan pengurangan keupayaan untuk menghidu sesuatu, dan kadang-kadang ia ialah kehilangan deria bau sepenuhnya. Bagi kebanyakan orang gejala ini pulih dalam tempoh yang singkat, namun untuk sebilangan yang lain ia boleh berterusan sehingga beberapa minggu atau bulan. Ulasan ini mempertimbangkan sama ada terdapat rawatan yang mungkin diambil oleh orang sebaik sahaja mereka kehilangan deria bau (dalam tempoh empat minggu selepas gejala bermula) untuk mencuba dan menghentikan gejala ini daripada menjadi satu masalah berpanjangan.

Bagaimanakah kami mengenalpasti dan menilai bukti yang ada

Kami telah mencari semua kajian yang berkaitan dalam kesusasteraan perubatan untuk meringkaskan hasilnya. Kami juga meneliti betapa pasti bukti tersebut, dengan mengambil kira perkara seperti saiz kajian dan bagaimana kajian itu dijalankan. Berdasarkan ini, kami mengelaskan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami hanya menjumpai satu kajian yang telah disiapkan. Ini termasuk 100 orang, di mana semuanya mempunyai masalah dengan deria bau mereka untuk masa yang singkat (kurang daripada empat minggu) pada permulaan kajian. Kajian ini membandingkan orang yang dirawat dengan semburan steroid yang dimasukkan ke dalam hidung dengan orang yang tidak diberi rawatan. Semua orang dalam kajian ini juga disarankan untuk menjalankan ‘latihan olfaktori’ - untuk menghabiskan sedikit masa setiap hari berlatih menghidu bau tertentu, untuk mencuba dan merangsang deria bau mereka untuk kembali. Para penyelidik menyusul mereka selama tiga minggu untuk melihat apa yang terjadi. Dapatan daripada satu perbandingan ini dibentangkan di sini:

Kortikosteroid intranasal berbanding tanpa rawatan (semua menggunakan latihan olfaktori)

Kami tidak tahu sama ada semburan steroid hidung adalah lebih baik atau teruk berbanding tanpa rawatan pada:

- membuat orang berasa bahawa deria bau mereka kembali normal selepas tiga minggu;
- mengakibatkan perubahan dalam deria bau selepas tiga minggu.

Hal ini disebabkan kepastian bukti adalah sangat rendah.

Kami telah menemui beberapa kajian lain yang sedang dijalankan, tetapi tiada keputusan daripada kajian tersebut tersedia untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Apakah maksud ini

Kami tidak tahu sama ada menggunakan semburan steroid hidung mempunyai apa-apa faedah dalam mencegah kehilangan deria bau untuk jangka panjang yang berkaitan dengan COVID-19, atau sama ada ia menyebabkan sebarang bahaya. Kami tidak mempunyai sebarang bukti tentang rawatan lain. Ulasan ini ialah ‘ulasan sistematik hidup’ - bermakna kami akan terus memeriksa kajian baru yang mungkin berkaitan, dan ulasan ini akan dikemas kini secara berterusan apabila sebarang keputusan tambahan tersedia ada.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini ialah terkini sehingga Disember 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi tcochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information