Kafein dos tinggi berbanding dengan kafein dos lazim bagi bayi baru lahir pramatang yang berisiko mendapat penyakit paru-paru

Mesej utama

• Walaupun kafein biasa diberikan kepada bayi yang dilahirkan terlalu awal, dosnya yang paling berkesan tidak diketahui.

• Dos kafein yang tinggi boleh menambaik baik pernafasan dan perkembangan jangka panjang bayi, tetapi ia mempunyai potensi untuk kesan yang tidak diingini.

Mengapakah kafein diberikan kepada bayi yang dilahirkan terlalu awal?

Bayi yang dilahirkan terlalu awal (pramatang), terutamanya sebelum 28 minggu kehamilan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk maut, penyakit paru-paru dan kerosakan otak, berbanding dengan bayi yang dilahirkan pada atau hampir cukup bulan. Sebagai contoh, sesetengah bayi ini boleh mengalami kecacatan intelek, buta atau pekak. Kafein digunakan secara meluas di kalangan bayi pramatang, terutamanya untuk menambah baik pernafasan dan mengurangkan serangan apnea (iaitu pemberhentian pernafasan sementara) dan keperluan untuk mesin pernafasan.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada dos tinggi kafein adalah lebih baik daripada dos lazim kafein bagi bayi yang dilahirkan terlalu awal untuk menambah baik:

• kematian sebelum discaj dari hospital;

• perkembangan jangka panjang pada umur 18 hingga 24 bulan dan 3 hingga 5 tahun.

Kami juga ingin mengetahui sama ada dos tinggi kafein berkait dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyelidik dos kafein yang tinggi berbanding dengan dos lazim kafein di kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami dapati?

Kami sertakan tujuh kajian dalam ulasan kami, pada sejumlah 894 bayi baru lahir yang pramatang. Dua kajian menilai penggunaan kafein untuk pencegahan apnea, tiga kajian menilai penggunaannya untuk rawatan apnea; satu untuk pengurusan ekstubasi (iaitu mengeluarkan tiub yang diletakkan di dalam kerongkong); dan satu kajian menilai kafein yang digunakan sama ada untuk merawat apnea atau membantu ekstubasi.

Dalam kumpulan dos tinggi, dos pemuatan (iaitu dos pertama) adalah antara 30 mg/kg hingga 80 mg/kg; dos pengendalian (iaitu dos tetap harian) kafein adalah antara 12 mg/kg hingga 30 mg/kg.

Strategi kafein dos tinggi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian sebelum discaj dari hospital dan kesan sampingan yang tidak diingini.

Adalah tidak jelas sama ada strategi kafein dos tinggi mengurangkan kematian sebelum discaj dari hospital, tempoh tinggal di hospital atau sawan; hanya satu kajian kecil yang melaporkan tentang perkembangan jangka panjang.

Tiada kajian yang melaporkan tentang akibat "kematian atau perkembangan jangka panjang" pada kanak-kanak berumur 18 hingga 24 bulan dan 3 hingga 5 tahun.

Strategi kafein dos tinggi berkemungkinan mengurangkan kadar penyakit paru-paru kronik.

Terdapat tiga kajian yang sedang berlangsung.

Apakah batasan bukti?

Kami sederhana yakin dengan bukti mengenai penyakit paru-paru kronik kerana kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang berkemungkinan menimbulkan kesilapan dalam keputusan. Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti terhadap kematian dan kesan yang tidak diingini disebabkan oleh cara kajian dijalankan dan tidak terdapat kajian yang mencukupi untuk memberikan kepastian tentang hasil keputusan kami. Kami tidak yakin dengan bukti tentang perkembangan jangka panjang kerana sebab-sebab yang disebutkan di atas dan kerana hanya satu kajian kecil yang melaporkan maklumat. Keseluruhannya, keputusan kajian tidak mungkin menggambarkan keputusan semua kajian yang telah dijalankan dalam bidang ini, yang sebahagiannya masih belum mendedahkankan keputusan mereka kepada umum.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information