Senaman fizikal untuk penghidap penyakit Parkinson: apakah jenis senaman yang paling berkesan?

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Penyakit Parkinson (PD) adalah gangguan progresif sistem saraf yang kebanyakannya berlaku kepada orang yang berusia 60 tahun ke atas. Gejala bermula secara beransur-ansur dan simptomnya termasuklah masalah pergerakan, seperti menggeletar, kekakuan, pergerakan dan keseimbangan yang perlahan, dan masalah koordinasi. Orang yang mempunyai PD juga boleh mengalami masalah emosi dan mood, keletihan, masalah tidur dan kesukaran berfikir. Keadaan ini tidak dapat disembuhkan, tetapi simptom-simptom boleh dikurangkan, contohnya, dengan ubat ataupun pembedahan. Selain itu, penghidap PD mungkin mendapat manfaat daripada fisioterapi atau bentuk senaman fizikal yang lain, seperti menari. Namun demikian, masih tidak jelas jika sesetengah jenis senaman ini memberi kesan yang lebih baik berbanding dengan jenis yang lain.

Apakah matlamat kami?

Kami ingin mengetahui jenis senaman fizikal yang paling berkesan untuk meningkatkan pergerakan dan kualiti hidup bagi penghidap PD. Kami juga ingin mengetahui jenis senaman yang menyebabkan kesan yang paling tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan senaman fizikal dengan tanpa senaman fizikal atau dengan jenis senaman fizikal yang lain. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan jangka pendek kajian-kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi kajian dan bilangan orang yang disertakan. Kami hanya mengkaji keputusan jangka pendek.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 156 kajian tentang jenis senaman fizikal yang berbeza untuk orang yang mempunyai PD. Kajian-kajian tersebut melibatkan seramai 7939 orang. Kajian terkecil melibatkan hanya 10 orang dan yang terbesar melibatkan sejumlah 474 orang. Purata umur peserta adalah diantara 60 dan 74 tahun. Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, dengan bilangan tertinggi (34) di Amerika Syarikat. Daripada kajian yang disertakan, 71 (3196 orang) memberikan maklumat mengenai pergerakan; 55 (3283 orang) memberikan maklumat tentang kualiti hidup, dan 85 (5192 orang) memberikan maklumat tentang kesan yang tidak diingini.

Apakah keputusan utama?

Banyak jenis senaman fizikal bermanfaat untuk penghidap PD berbanding tanpa senaman fizikal.

Tarian mempunyai kesan berfaedah yang sederhana pada pergerakan. Latihan berasaskan air, latihan berjalan/imbangan/latihan fungsi dan latihan yang terdiri daripada beberapa jenis senaman (cth. latihan berbilang domain) mungkin mempunyai kesan berfaedah yang sederhana pada pergerakan. Senaman minda-badan (cth. tai chi atau yoga) dan latihan ketahanan mungkin mempunyai kesan berfaedah yang kecil pada pergerakan. Latihan fleksibiliti mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada pergerakan. Kami sangat tidak pasti tentang kesan latihan kekuatan/rintangan dan terapi fizikal khusus PD "Latihan Suara Lee Silverman BIG" (LSVT BIG) pada pergerakan.

Latihan berasaskan air mungkin mempunyai kesan bermanfaat yang besar terhadap kualiti hidup. Latihan ketahanan mungkin mempunyai kesan berfaedah yang sederhana, dan latihan berjalan/keseimbangan/berfungsi dan berbilang domain mungkin mempunyai kesan berfaedah yang kecil terhadap kualiti hidup. Kami sangat tidak pasti tentang kesan latihan minda badan, permainan, latihan kekuatan/rintangan, tarian, LSVT BIG dan latihan fleksibiliti terhadap kualiti hidup.

Keyakinan kami terhadap kesan-kesan yang diperolehi adalah dari tinggi hingga sangat rendah. Apabila keyakinan kita berkurangan, selalunya kerana dua sebab. Pertama, tidak semua kajian memberikan maklumat mengenai pergerakan atau kualiti hidup semua orang yang mengambil bahagian dalam kajian. Kedua, saiz kajian adalah sangat kecil.

Hanya 85 kajian memberikan beberapa maklumat tentang kesan yang tidak diingini, dan kebanyakannya hanya untuk kumpulan senaman fizikal, bukan kumpulan yang tidak melakukan senaman. Tiada kesan yang tidak diingini dilaporkan dalam 40 kajian. Tiada kesan tidak diingini yang serius dilaporkan dalam empat kajian. Kesan yang tidak diingini telah dilaporkan dalam 28 kajian. Kesan tidak diingini yang paling kerap dilaporkan adalah terjatuh (18 kajian) dan kesakitan (10 kajian). Kami tidak dapat menyatakan jenis senaman menyebabkan kesan tidak diingini yang paling sedikit kerana kajian-kajian tidak memberikan maklumat tentang semua yang kami perlukan. Itulah sebabnya kami sangat tidak pasti tentang keputusan kesan yang tidak diingini.

Apakah maksud keputusan kajian-kajian ini?

Kami mendapati bahawa banyak jenis senaman fizikal boleh membantu meningkatkan pergerakan dan kualiti hidup bagi penghidap PD. Kami menemui sedikit bukti bahawa jenis senaman tertentu berfungsi lebih baik daripada yang lain. Oleh itu, untuk pergerakan dan kualiti hidup, kami berpendapat senaman fizikal adalah penting, tetapi jenis senaman yang paling tepat mungkin kurang penting untuk diketahui. Namun, ada kemungkinan bahawa beberapa simptom boleh dilegakan sebaik-baiknya dengan jenis latihan khusus yang dibuat untuk penghidap PD. Jenis latihan yang kami sertakan nampaknya agak selamat.

Kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti. Selain itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami ciri-ciri yang mempengaruhi kesan senaman. Lebih banyak kajian yang melibatkan orang yang mengalami simptom yang lebih teruk boleh membantu memanjangkan keputusan kepada lebih ramai orang dengan PD.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my