Mesej utama
• Rawatan pesakit pembedahan jantung dengan ubat 'levosimendan' sebelum pembedahan mungkin boleh memberi manfaat.
• Walau bagaimanapun, bukti semasa adalah terhad, dan lebih banyak kajian diperlukan sebelum cadangan yang tuntas dapat dibuat.
Rasional
Fungsi jantung yang berkurang adalah komplikasi yang berpotensi membawa maut selepas pembedahan jantung. Pendekatan yang mungkin untuk mencegah komplikasi ini adalah rawatan dengan ubat-ubatan yang merangsang pengecutan jantung (yang disebut sebagai agen inotropik).
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami menilai sama ada penggunaan agen inotropik sebelum atau semasa prosedur pembedahan menghalang pengurangan fungsi jantung dan kematian dalam kalangan orang dewasa selepas pembedahan jantung.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data literatur perubatan dan daftar kajian yang berbeza yang mengumpul maklumat mengenai kajian klinikal yang dirancang, berterusan, dan selesai. Kami mempertimbangkan kajian-kajian yang mana satu kumpulan telah menerima agen inotropik dan kumpulan kedua telah menerima ubat inotropik lain atau ubat palsu atau penjagaan standard. Dua penulis kajian telah menyaring dan mengumpul data secara berasingan.
Apakah yang kami temui?
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 29 kajian yang mempunyai sejumlah 3307 pesakit dewasa lelaki dan wanita yang menjalani pembedahan jantung. Kajian-kajian ini dijalankan di hospital yang berbeza di Eropah, Israel, Jepun, Korea, Turkiye, Kanada, dan Amerika Syarikat. Sembilan kajian dibiayai oleh pengeluar ubat yang dikaji. Dalam 10 kajian, hubungan dengan industri farmasi tidak ditentukan. Apabila kami meminta maklumat tambahan daripada semua penulis kajian mengenai kajian mereka, hanya satu penulis yang memberi maklumbalas.
Majoriti kajian (24 secara keseluruhan) menggunakan ubat inotropik levosimendan. Oleh itu, data yang tersedia tidak membenarkan kami untuk menilai ejen selain levosimendan. Para peserta diberi ubat sebelum, semasa, atau sejurus selepas pembedahan jantung. Mereka dipantau sehingga 30 hari.
Keputusan utama
Pesakit yang dirawat dengan levosimendan sebelum pembedahan jantung mungkin mempunyai risiko pengurangan fungsi jantung dan kematian yang lebih rendah, dan mungkin menjalani masa yang lebih singkat dalam penjagaan intensif berbanding pesakit yang menerima ubat palsu. Walau bagaimanapun, data yang tersedia menunjukkan tiada perbezaan yang jelas antara levosimendan dan penjagaan standard atau rawatan dengan ubat inotropik lain dalam mencegah penurunan fungsi jantung dan kematian dan mengurangkan masa yang dihabiskan untuk rawatan intensif selepas pembedahan jantung. Data yang tersedia juga tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pencegahan kesan sampingan antara levosimendan dan rawatan perbandingan.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti, terutamanya kerana bilangan peserta yang terlibat kecil (hasilnya sangat tidak tepat). Oleh itu, kebanyakan hasil ulasan ini mesti dilihat dengan berhati-hati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).