Mesej utama
•
Pesakit yang menjalani pembedahan pembuangan buah pinggang selepas menerima imunoterapi interferon (ubat yang membantu sistem imun melawan kanser) mungkin mempunyai jangka hayat yang lebih lama daripada mereka yang menerima rawatan imunoterapi interferon tanpa pembedahan pembuangan buah pinggang .
•
Pesakit yang menjalani pembedahan segera pembuangan buah pinggang kemudiannya menerima terapi perencat tyrosine kinase (ubat yang mengenalpasti serta menyerang jenis sel kanser tertentu) mungkin mempunyai jangka hayat yang lebih pendek jika dibandingkan dengan pesakit yang menerima terapi perencat tyrosine kinase sebelum menjalani pembedahan pembuangan buah pinggang .
•
Mutu kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah terhad, jadi kami kurang yakin terhadap kebanyakan hasil penemuan kami.
Apakah itu karsinoma sel renal metastatik?
Karsinoma sel renal merupakan sejenis kanser yang berasal dari buah pinggang. Metastatik bermakna kanser telah merebak dari buah pinggang ke bahagian badan yang lain.
Apakah itu nefrektomi sitoreduktif?
Nefroktomi sitoreduktif merupakan pembedahan untuk membuang salah satu buah pinggang yang mengalami kanser. 'Cyto' bererti sel, 'reduktif' bererti mengurangkan, dan 'nephrectomy' adalah istilah untuk mengeluarkan buah pinggang. Matlamat pembedahan ini adalah untuk membantu menyingkirkan sebahagian daripada sel-sel kanser dan meningkatkan keberkesanan rawatan lain.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Soalan ulasan kami ialah 'Sejauh manakah keberkesanan penyingkiran buah pinggang apabila digabungkan dengan ubat-ubatan untuk penghidap kanser buah pinggang yang telah merebak ke bahagian badan yang lain (di luar buah pinggang) jika dibandingkan dengan ubat-ubatan sahaja?' Kami lebih tertumpu terhadap kesan rawatan terhadap jangka hayat pesakit dan kualiti hidup mereka.
Apakah yang kami lakukan?
Kami hanya memasukkan kajian-kajian yang memperuntukkan peserta secara rawak kepada salah satu daripada kumpulan rawatan (gabungan nefrektomi sitoreduktif dan ubatan, atau ubatan sahaja). Kebanyakan kajian menyelidik kesan rawatan terhadap jangka hayat pesakit.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui empat kajian yang menjawab persoalan ulasan kami. Peserta yang dimasukkan dalam kajian ini menghidap kanser buah pinggang metastatik yang tidak dapat dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan, tetapi mereka layak untuk nefrektomi sitoreduktif. Kami melaporkan bukti yang paling penting kepada doktor dan pesakit.
Kami menemui pesakit yang menjalani nefrektomi sitoreduktif selepas menerima imunoterapi interferon (ubat yang membantu sistem imun melawan kanser) mungkin mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding pesakit yang menerima imunoterapi interferon tanpa nefrektomi sitoreduktif. Kami sangat tidak pasti tentang kesan nefrektomi sitoreduktif digabungkan dengan terapi perencat tyrosine kinase (TKI) (ubat yang mengenalpasti dan menyerang jenis sel kanser yang tertentu) berbanding dengan terapi TKI sahaja terhadap kelangsungan hidup. Akhir sekali, pembedahan segera disusuli terapi TKI berbanding pembedahan tertangguh selepas terapi TKI mungkin menerukkan kelangsungan hidup. Kami tidak menemui maklumat berkenaan kualiti hidup untuk mana-mana tiga perbandingan ini.
Kami tidak menemui kajian tentang gabungan pembedahan dengan ubatan imunoterapi (iaitu reseptor kematian 1/terprogram 1 perencat titik semakan imun), yang kini merupakan ubat utama yang digunakan untuk merawat penghidap karsinoma sel renal metastatik.
Apakah batasan bukti?
Kami kurang yakin dengan bukti kerana peserta kajian telah mengetahui rawatan yang diterima, dan kerana beberapa keputusan mencadangkan bahawa nefrektomi sitoreduktif boleh jadi bermanfaat ataupun berbahaya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 1 Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).