Adakah teknologi pengesanan kontak digital berkesan semasa wabak penyakit berjangkit?

Mengapakah soalan ini penting?

Pandemik COVID-19 global menekankan pentingnya pengesanan kontak yang tepat dan tepat pada masanya. Pengesanan kontak memberitahu orang mereka mungkin berada dekat seseorang dengan - atau menunjukkan gejala - penyakit berjangkit, yang membolehkan mereka mengasingkan diri dan membantu menghentikan penyebaran jangkitan. Secara tradisional, pengesanan kontak bermula dengan pemberitahuan seseorang mempunyai penyakit berjangkit. Mereka diminta untuk mengingat kembali kontak mereka, sehingga dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula. Ini memakan masa dan mungkin tidak selalu memberi gambaran lengkap, oleh itu bantuan digital dapat membantu pengesan kontak.

Pengesanan kontak digital menggunakan teknologi untuk menjejaki dan mengesan kontak. Individu memuat turun aplikasi ke telefon pintar mereka dan merekod lokasi dan maklumat gejala, atau peranti mereka mungkin menggunakan teknologi mencari lokasi, seperti Bluetooth atau GPS (sistem kedudukan global). Sekiranya pengguna dijangkiti, teknologi mengenal pasti kontak rapat dan/atau jangkitan sekunder (orang yang mereka jangkiti penyakit ini), dan memaklumkan orang yang telah mereka dekati. Teknologi ini mengenal pasti di mana jangkitan ditularkan dan tempohnya (konteks).

Walau bagaimanapun, masalah mungkin berlaku di mana akses kepada teknologi adalah terhad, dalam persekitaran berpendapatan rendah atau untuk orang tua, misalnya. Juga, sesetengah orang melihatnya sebagai pencerobohan privasi dan mencurigai bagaimana data mereka akan digunakan.

Kami ingin tahu sama ada pengesanan kontak digitall, berbanding pengesanan kontak manual, berkesan dalam mengurangkan penyebaran jangkitan, seperti yang diukur oleh jangkitan sekunder, mengenal pasti kontak rapat, mengesan set kontak yang lengkap, dan mengenal pasti konteks jangkitan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang menilai pengesanan kontak digital. Kami lebih suka kajian-kajian yang dibuat semasa wabak penyakit berjangkit, yang menilai orang sebenar dalam masa nyata, tetapi kami masukkan kajian-kajian dalam sebarang persekitaran dan reka bentuk.

Untuk menjawab soalan kami dengan cepat, kami memendekkan beberapa langkah proses ulasan Cochrane, walau bagaimanapun, kami meyakini kesimpulan kami.

Apa yang kami temui

Kami menemui 12 kajian yang relevan. Enam menilai keberkesanan pengesanan kontak digital kumpulan orang tertentu (kohort): tiga semasa wabak (Ebola di Sierra Leone; tuberkulosis di Botswana; dan batuk rejan (pertusis) di AS); dan tiga mereplikasi wabak di sekolah-sekolah untuk menilai sistem mengenal pasti kontak rapat peserta. Enam lagi adalah kajian pemodelan, yang mensimulasi pengesanan kontak digitall.

Keputusan utama

Pengesanan kontak digital dengan pengasingan diri mungkin mengurangkan bilangan jangkitan sekunder, tetapi tidak sebanyak pengesanan kontak manual dengan pengasingan diri (2 kajian pemodelan).

Pengesanan kontak digital mendapati lebih ramai kontak rapat dalam dua wabak berbanding manual (2 kajian di AS dan Sierra Leone). Peranti di persekitaran bukan wabak dapat mengenal pasti lebih kontak rapat berbanding buku harian lapor sendiri atau tinjauan .

Aplikasi mungkin mengurangkan masa untuk menyelesaikan sekumpulan kontak rapat (1 kajian). Sistem digital lebih cepat diguna berbanding sistem kertas untuk merekod kontak baharu dan memantau kontak yang diketahui, dan memungkinan kurang kehilangan data.

Masalah dengan akses sistem (2 kajian) meliputi liputan rangkaian yang tidak sempurna, kekurangan data, masalah teknikal dan keperluan latihan staf yang lebih tinggi. Perbelanjaan peribadi pengesan kontak meningkat (1 kajian) kerana perjalanan dan pengecasan semula bateri telefon. Semua peranti dilihat melindungi pengguna yang didiagnos daripada kontak, pengintip dan pihak berkuasa tetapi pengguna satu aplikasi adalah anggota agensi kesihatan awam. Kajian mencatatkan perkakasan yang dicuri (telefon bimbit terpakai); melaporkan bentuk kertas "sering hilang", dan data digital dilindungi kata laluan (2 kajian) dan tersulit (1 kajian).

Kami tidak menemui bukti tentang maklumat dan kebolehterimaan kontekstual.

Apakah maksudnya

Tidak mungkin teknologi digital menjadi kaedah tunggal pengesanan kontak semasa wabak; ia mungkin akan diguna bersama kaedah-kaedah manual. Malangnya, sebahagian besar teknologi ini tidak terbukti dalam persekitaran wabak dunia nyata dan tiada kajian yang kami sertakan menilai pengesanan kontak digital dan manual dengan pengesanan kontak digital sahaja. Kajian yang disertakan menilai pelbagai teknologi dan mengguna pelbagai kaedah di antara satu sama lain, oleh itu kami tidak pasti tentang buktinya.

Kerajaan yang melaksanakan pengesanan kontak digital harus memastikan populasi berisiko tidak terpinggir dan mempertimbangkan masalah privasi.

Ulasan ini adalah terkini sehingga Mei 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save