Intervensi sedia ada semasa pandemik untuk perdarahan haid yang berlebihant: gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan dan keselamatan rawatan yang lazim terdapat semasa pandemik untuk perdarahan haid yang berlebihan?

Latar belakang

Perdarahan haid yang berlebihan adalah keadaan ginekologi yang lazim. Rawatan yang boleh diteruskan semasa pandemik termasuk:

1. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), misalnya asid mefenemik atau naproxen: ini berfungsi dengan mengurangkan paras prostaglandin, yang mengurangkan perdarahan dari lapisan rahim. NSAID boleh diambil sebagai tablet.

2. Antifibrinolitik, misalnya asid tranexamic: ini berfungsi untuk mengurangkan perdarahan dengan merencatkan enzim yang melarutkan klot di lapisan rahim. NSAID boleh diambil sebagai tablet.

3. Kontraseptif hormon gabungan, contohnya pil kontraseptif oral gabungan: ini berfungsi menipiskan lapisan rahim yang diluruhkan semasa haid. Kontraseptif hormon gabungan boleh diambil sebagai tablet, atau boleh diberi melalui vagina, menggunakan cincin vagina.

4. Progestogen, contohnya norethisterone: ini berfungsi menipiskan lapisan rahim yang diluruhkan semasa haid. Progestogen adalah tablet, yang boleh diambil selama 10 hari kitaran haid (kitaran pendek), atau selama tiga hingga empat minggu kitaran haid (kitaran panjang).

Kami ingin meringkaskan bukti terbaik tentang keberkesanan dan keselamatannya.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat Ulasan Cochrane (44 kajian rawak terkawal, 3196 wanita), hingga Jun 2020. Kami mengenal pasti 11 perbandingan, termasuk NSAID berbanding plasebo (tablet kawalan yang tiada kesan), antifibrinolitik berbanding plasebo, dan gabungan kontraseptif oral hormon berbanding plasebo. Semua ulasan melaporkan perdarahan haid, kualiti hidup, kepuasan pesakit, kesan sampingan, dan peristiwa buruk yang serius. Kami menilai semua ulasan adalah berkualiti tinggi.

Keputusan utama

Antifibrinolitik dan kontraseptif hormon gabungan mungkin berkesan mengurangkan perdarahan haid berlebihan berbanding plasebo. Dari 1000 wanita dengan pendarahan haid berlebihan, 109 akan melaporkan pembaikan dengan plasebo, dan 363 (antara 200 hingga 662) dengan antifibrinolitik. Dari 1000 wanita dengan perdarahan haid berlebihan, 29 akan merasa perdarahan haid mereka kembali normal dengan plasebo, dan 401 (antara 118 hingga 771) dengan gabungan kontraseptif oral. NSAID mungkin berkesan mengurangkan perdarahan haid berlebihan berbanding plasebo. Dari 1000 wanita dengan pendarahan haid yang berlebihan, 200 akan melaporkan peningkatan dengan plasebo, dan 766 (antara 578 hingga 887) dengan NSAID. Antifibrinolitik mungkin lebih berkesan mengurangkan perdarahan haid berlebihan berbanding NSAID dan progestogen kitaran pendek, tetapi kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan antifibrinolitik berbanding progestogen kitaran panjang.

Terdapat pelaporan hasil sampingan yang lemah, termasuk kualiti hidup, dan kepuasan wanita terhadap rawatan. Kajian ini tidak punyai cukup wanita yang mengambil bahagian untuk mengesan peristiwa buruk yang serius. Walaupun terdapat bukti jelas risiko kejadian tromboemboli sangat rendah dalam populasi umum, ia meningkat dengan kontraseptif oral.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk perbandingan dan hasil yang berbeza adalah dari sangat rendah hingga sederhana. Terdapat batasan yang signifikan dalam kajian-kajian penyelidikan primer, ketidakkonsistenan keputusan antara kajian penyelidikan primer, dan ketidaktepatan dalam penemuan ulasan.

Nota terjemahan: 

Di terjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information