Patutkah kita melakukan RALP penyelamatan Retzius atau RALP standard untuk kanser prostat setempat klinikal?

Soalan ulasan

Dalam lelaki dengan kanser prostat dengan prostat yang dibuang menggunakan pembedahan dibantu alat robotik (dipanggil prostatektomi laparoskopik berbantuan robotik atau RALP), bagaimanakah pendekatan yang meninggalkan tisu sambungan antara bahagian hadapan pundi kencing ke belakang dinding abdomen utuh (dipanggil RALP penyelamatan Retzius) berbanding pembedahan yang mana sambungan ini dipotong (RALP standard).

Latar belakang

Ahli urologi sering menggunakan robot untuk membuang prostat dalam lelaki dengan kanser prostat. Selepas pembedahan, lelaki mempunyai tiub yang mengalirkan air kencing dari pundi kencing mereka. Apabila ini dikeluarkan, kebanyakan lelaki mengalami kebocoran air kencing selama beberapa waktu. Masalah ini dipanggil inkontinens dan biasanya bertambah baik dalam tempoh enam ke 12 bulan dalam kebanyakan lelaki. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sangat menyusahkan pada masa ini.

CIri-ciri kajian

Kami menyertakan lima kajian yang mana peluang menentukan sama ada lelaki menerima RALP penyelamatan Retzius atau RALP standard. Kajian-kajian ini menyertakan 571 lelaki dengan purata usia sekitar 65 tahun. Purata tahap antigen prostat spesifik (PSA; tahap yang lebih tinggi boleh menandakan lelaki tersebut mempunyai kanser prostat) adalah 6.9 ng/mL dan sedikit lebih dari separuh (54.2%) mempunyai kanser prostat yang ditemui berdasarkan tahap PSA tetapi tidak dapat dirasa pada ujian rektum. Dalam 233/331 (70.4%) lelaki, mereka cuba untuk menyelamatkan saraf-saraf berkaitan ereksi.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa RALP penyelamatan Retzius mungkin memperbaik kontinens dalam tempoh seminggu selepas tiub dikeluarkan. Ia juga mungkin memperbaik kontinens tiga bulan selepas pembedahan. Kami sangat tidak pasti bagaimana kesan-kesan tidak diingini yang serius dibandingkan antara dua cara melakukan pembedahan ini.

Kontinens selepas RALP penyelamatan Retzius mungkin lebih baik selepas enam bulan. Pada 12 bulan, kontinens mungkin serupa.

Lelaki yang mendapat RALP penyelamatan Retzius mungkin lebih cenderung untuk mempunyai margin pembedahan yang positif, bermakna mereka masih mempunyai sel-sel kanser di pinggir prostat yang dipotong apabila dilihat di bawah mikroskop. Ini mungkin menjadikannya lebih cenderung kanser itu akan kembali. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan RALP penyelamatan Retzius terhadap tahap PSA yang meningkat dalam tempoh 12 bulan selepas pembedahan, yang menunjukkan terdapat kanser yang tertinggal. Kualiti hidup air kencing pada tiga bulan mungkin serupa bagi kedua-dua jenis pembedahan. Kami sangat tidak pasti bagaimana RALP penyelamatan Retzius mempengaruhi keupayaan untuk mencapai ereksi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti antara sederhana ke sangat rendah bergantung kepada hasil, bermakna kami mempunyai keyakinan sederhana ke sangat rendah dalam dapatan tersebut.

Nota terjemahan: 

DIterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information