Prebiotik (serat pemakanan), probiotik (bakteria baik) atau sinbiotik (campuran prebiotik dan probiotik) untuk penghidap penyakit buah pinggang kronik

Mesej utama

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah masalah kesihatan yang serius yang telah menjejaskan lebih 850 juta orang di seluruh dunia. Penghidap penyakit buah pinggang mempunyai keseimbangan yang tidak sihat di antara bakteria baik dan bakteria buruk di dalam usus mereka, yang mana dipanggil sebagai 'disbiosis usus'. Ketidakseimbangan ini terjadi disebabkan oleh fungsi buah pinggang yang merosot (produk sisa toksik yang terkumpul, penakungan cecair yang menyebabkan dinding usus membengkak), ubat-ubatan yang kerap digunakan kepada penghidap CKD (terutamanya antibiotik), dan sekatan pemakanan yang dikenakan ke atas penghidap CKD.

Disbiosis usus ini seterusnya menyebabkan atau memburukkan tahap CKD kerana bakteria boleh menghasilkan toksin yang boleh menembusi dinding usus dan merosakkan buah pinggang. Disbiosis usus juga boleh menyebabkan masalah perut (seperti kembung perut, kekejangan, sembelit dan cirit-birit) dan mengurangkan kualiti hidup.

Untuk memperbaiki keseimbangan flora usus, bakteria baik boleh diambil dalam bentuk tablet yang mempunyai prebiotik dan probiotik pada kadar tinggi. Prebiotik, atau serat tumbuhan yang tidak boleh dicernakan, boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria baik. Sinbiotik terdiri daripada gabungan prebiotik dan probiotik. Sesetengah penyelidikan mencadangkan bahawa pengambilan bakteria baik dalam kadar yang tinggi boleh mengimbangi semula bakteria baik dalam usus manusia, dengan itu, memperbaiki gejala usus dan keadaan yang membawa kepada kemerosotan CKD.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami menyemak semua bukti tentang sinbiotik, prebiotik dan probiotik untuk melihat sama ada ia boleh meningkatkan kesihatan pada penghidap CKD (kesemua peringkat CKD dari tahap 1 sehingga tahap 5).

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati 45 kajian secara rawak yang melibatkan 2266 peserta. Separuh daripada ini melihat peserta yang menerima dialisis (kebanyakannya hemodialisis), dan separuh lagi tidak menerima dialisis. Separuh juga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Kami tidak pasti sama ada sinbiotik, prebiotik atau probiotik menambahbaik kesihatan usus, kualiti hidup, tahap toksin atau fungsi buah pinggang.

Bukti yang kami temui didapati berkualiti rendah dan mempunyai kepastian yang sangat rendah. Semua kajian telah dijalankan dengan menggunakan kaedah yang berkualiti sederhana sehingga rendah dengan melibatkan bilangan pesakit yang terlalu sedikit.

Ringkasan

Pada masa ini, kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi daripada kajian-kajian untuk mengetahui sama ada sinbiotik, prebiotik atau probiotik berkesan untuk memperbaiki gejala usus, kualiti hidup, tahap toksin atau fungsi buah pinggang di kalangan penghidap CKD. Sepuluh kajian yang masih dijalankan; oleh itu, terdapat kemungkinan penemuan baru mungkin berubah dengan kemasukan kajian-kajian ini dalam kemas kini pada masa hadapan.

Bukti yang tersedia adalah yang terbaru sehingga 9 Oktober 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Muhamad Aizuddin Bin Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information