Kehadiran keluarga semasa resusitasi

Mengapakah soalan ini penting?

Pesakit dan saudara-mara mereka semakin mengharapkan untuk terlibat secara aktif dalam keputusan rawatan. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan di mana kehadiran keluarga semasa resusitasi (FPDR) boleh membawa kepada gejala berkaitan dengan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dalam kalangan saudara-mara, atau mempunyai kesan negatif terhadap prestasi para penjaga kesihatan profesional, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan kritikal. Terdapat juga kebimbangan bahawa kerahsiaan pesakit akan dilanggar, kerana pemikiran dan keutamaan pesakit tidak dinyatakan dalam situasi tersebut. Keperluan semua individu yang mengambil bahagian mesti seimbang, kerana tindakan yang melibatkan pesakit, saudara mara, dan profesional penjagaan kesihatan dilihat sebagai hubungan segi tiga yang mungkin memberi kesan antara satu sama lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin meneliti bukti yang sedia ada untuk kesan FPDR, termasuk serangan jantung, trauma, dan rawatan medikal akut.

Tujuan utama ulasan ini adalah untuk menyiasat bagaimana penawaran kehadiran saudara mara semasa serangan jantung, trauma atau rawatan medikal akut orang yang mereka sayangi dapat mempengaruhi berlakunya gejala berkaitan PTSD dalam saudara-mara.

Tujuan kedua adalah untuk menyelidik bagaimana penawaran FPDR mempengaruhi kejadian kemurungan, kebimbangan dan kesedihan dalam kalangan saudara-mara, dan apakah kesan FPDR terhadap tempoh masa rawatan medikal, bagaimana penjaga kesihatan profesional terjejas, kualiti rawatan medikal, dan peluang pesakit untuk terus hidup.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan pada 22 Mac 2022 tanpa sebarang had bahasa. Kami menyemak rujukan dan menghubungi pengarang kajian untuk mengenal pasti kajian tambahan. Kami menyertakan kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta menyertai satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) orang dewasa yang hadir semasa resusitasi saudara mereka.

Apa yang kami temui

Kami menyertakan 2 kajian (3 kertas) yang melibatkan seramai 595 peserta dalam lingkungan umur 19 hingga 78 tahun. Satu kajian yang melibatkan 15 unit perkhidmatan perubatan pra-hospital di Perancis, menyiasat FPDR kepada pesakit yang mengalami serangan jantung. Kajian ini mempunyai penilaian selama setahun yang telah kami sertakan dalam ulasan. Kajian yang lain melibatkan kajian perintis kecil terhadap FPDR kepada pesakit yang mengalami serangan jantung atau trauma di jabatan kecemasan di UK.

Keputusan utama

Tiada bukti yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan yang kukuh mengenai kesan FPDR pada mana-mana hasil yang dikaji. Secara keseluruhan, didapati FPDR mengurangkan PTSD, kebimbangan dan kemurungan, dan kesedihan; walau bagaimanapun, memandangkan kajian adalah sangat sedikit dan berisiko tinggi berat sebelah, kesan ini sangat tidak pasti. Salah satu kajian yang disertakan juga mengukur tempoh resusitasi pesakit dan tekanan peribadi dalam profesional penjagaan kesihatan semasa FPDR dan mendapati tiada perbezaan antara kumpulan kajian.

Sejauh mana keputuan ini boleh dipercayai?

Keyakinan (kepastian) kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Terdapat terlalu sedikit bukti untuk membuat sebarang kesimpulan yang kukuh tentang kesan FPDR ke atas psikologi saudara-mara atau mana-mana hasil yang dikaji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Fatin Aqilah binti Suharnizam (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu

Tools
Information