Plasma dari individu yang sudah pulih dari COVID-19 untuk merawat individu dengan COVID-19

Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) adalah penyakit pernafasan sangat berjangkit yang disebabkan oleh jenis coronavirus yang baru dikenali. Sesetengah orang yang dijangkiti virus ini mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit, tetapi sesetengah lain akan mengalami simptom-simptom, termasuklah demam, batuk, sesak nafas dan sakit tekak. Dalam sesetengah orang, jangkitan tersebut adalah lebih serius dan boleh menyebabkan kesesakan nafas, lalu menyebabkan kemasukan ke hospital, rawatan intensif atau kematian. Pada masa kini, tiada vaksin atau rawatan khusus yang ada.

Orang yang telah pulih dari COVID-19 mendapat pertahanan semulajadi terhadap penyakit tersebut dalam darah mereka (antibodi). Antibodi dijumpai dalam bahagian darah yang dikenali sebagai plasma. Plasma dari darah penderma yang telah pulih, mengandungi antibodi COVID-19, dapat digunakan untuk menghasilkan dua persiapan. Pertama, plasma pemulih, iaitu plasma yang mengandungi antibodi ini. Kedua, imunoglobulin hipermun, yang lebih pekat, yang mengandungi lebih banyak antibodi.

Plasma berpulih dan imunoglobulin hiperimun telah berjaya digunakan untuk merawat virus pernafasan lain. Rawatan-rawatan ini (diberi secara titisan atau suntikan) umumnya diterima dengan baik oleh pesakit, tetapi terdapat juga kesan buruk yang mungkin berlaku.

Apakah yang ingin kami temui?

Kami ingin mengetahui sama ada plasma daripada orang yang telah pulih dari COVID-19 adalah rawatan yang berkesan bagi pesakit COVID-19, dan jika rawatan ini menyebabkan kesan buruk. Kami terus mengemas kini ulasan ini kerana terdapat lebih banyak bukti.

Kaedah-kaedah kami

Pada 4 Jun kami telah mencari pangkalan data perubatan utama untuk mencari kajian klinikal yang melibat rawatan dengan plasma pemulih atau imunoglobulin hiperimun untuk penyakit COVID-19. Kajian boleh dilaksanakan di mana-mana di seluruh dunia dan merangkumi peserta dari segenap umur, jantina, etnik, dengan penyakit COVID-19 ringan, sederhana atau teruk.

Keputusan utama

Kami memasukkan 20 kajian yang sudah selesai, dengan 5443 orang peserta, 5211 orang peserta menerima plasma pemulih. Kami menjumpai satu kajian rawak terkawal ((RCT) dengan 103 peserta; 52 peserta menerima plasma pemulihan). RCT adalah kajian klinikal di mana individu diperuntukkan secara rawak untuk menerima rawatan (kumpulan intervensi) atau untuk menerima rawatan yang berbeza atau tanpa rawatan (kumpulan kawalan). RCT menghasilkan bukti terbaik. Kami menemui tiga kajian intervensi tidak rawak terkawal ((NRSI terkawal) dengan 236 peserta; 55 peserta menerima plasma pemulihan). NRSI terkawal ini tidak memperuntukkan peserta secara rawak tetapi melibatkan kumpulan kawalan peserta yang tidak menerima plasma pemulihan. 16 kajian selebihnya (5201 peserta) tidak secara rawak dan tidak melibatkan kumpulan kawalan (NRSI tidak terkawal) tetapi memberikan maklumat mengenai kesan yang tidak diingini daripada plasma pemulihan.

Untuk menilai sama ada plasma pemulihan adalah rawatan yang berkesan untuk COVID-19, kami menilai hasil dari RCT dan tiga NRSI terkawal. Kumpulan kawalan mendapat rawatan standard semasa rawatan tanpa plasma pemulihan. Tidak ada bukti yang cukup untuk menentukan sama ada plasma penyembuhan mempengaruhi atau tidak risiko kematian disebabkan discaj di hospital, waktu hingga kematian, atau memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk menilai sama ada penyembuhan plasma menyebabkan kesan yang tidak diingini, kami juga menilai 16 NRSI yang tidak terkawal (5201 peserta). Kami mengenal pasti beberapa kesan yang tidak diingini yang serius, yang mungkin berkaitan dengan penyembuhan plasma, termasuk kematian, reaksi alergi atau komplikasi pernafasan. Kami sangat tidak pasti sama ada plasma penyembuhan mempengaruhi atau tidaknya jumlah kejadian serius yang tidak diingini.

Tidak ada kajian yang dimasukkan yang melaporkan kesan kualiti kehidupan.

Kepastian bukti

Kepastian kami (keyakinan) kami terhadap bukti amat terhad kerana hanya ada satu kajian rawak dan kebanyakkan kajian tidak mengguna kaedah khusus untuk menilai dapatannya. Tambahan pula, peserta menerima beberapa jenis rawatan lain di samping plasma pemulih, dan sebahagian peserta menghidap masalah kesihatan yang lain.

Kesimpulan

Kami sangat tidak pasti sama ada plasma daripada individu yang sudah pulih dari COVID-19 adalah rawatan yang berkesan untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana COVID-19. Kami sangat tidak pasti sama ada plasma penyembuhan mempengaruhi bilangan bahaya serius atau tidak. Penemuan ini mungkin berkualiti rendah dan dapatannya boleh disebabkan oleh perkembangan semulajadi penyakit, rawatan lain yang diterima peserta, atau plasma pemulih. Hasil carian kami mendapati 98 kajian berterusan yang menilai plasma pemulihan dan imunoglobulin hiperimun, 50 di antaranya secara rawak. Ini adalah kemas kini pertama ulasan kami, dan kami akan terus mengemas kini ulasan ini dengan hasil kajian yang telah selesai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save