Adakah plasma daripada darah orang yang telah pulih daripada COVID-19 merupakan rawatan yang berkesan untuk orang lain yang menghidap COVID-19?

Mesej utama

• Kami sangat yakin bahawa plasma daripada darah orang yang telah pulih daripada COVID-19 (plasma pemulihan) tidak mempunyai faedah untuk rawatan mereka yang mempunyai COVID-19 sederhana hingga teruk.

• Plasma pemulihan mungkin mempunyai sedikit atau tiada faedah untuk merawat orang yang mempunyai COVID-19 ringan.

• Kami menemui 49 kajian berterusan dan 33 kajian tamat dengan keputusan yang tidak diterbitkan. Kami akan mengemas kini ulasan kami dengan bukti dari kajian ini secepat mungkin. Bukti baharu mungkin menjawab soalan kami yang tinggal, terutamanya bagi mereka yang mempunyai COVID-19 ringan atau yang tidak mempunyai simptom.

Apa itu plasma pemulihan?

Tubuh menghasilkan antibodi sebagai salah satu pertahanannya terhadap jangkitan. Antibodi dijumpai dalam bahagian darah yang dikenali sebagai plasma. Plasma daripada orang yang telah pulih daripada virus COVID-19 mengandungi antibodi COVID-19, dan ia boleh digunakan untuk membuat plasma pemulihan, iaitu plasma yang mengandungi antibodi ini.

Plasma pemulihan telah berjaya digunakan untuk merawat beberapa virus. Rawatan ini (diberi secara titisan atau suntikan) umumnya diterima dengan baik oleh pesakit, tetapi boleh menyebabkan kesan buruk yang tidak diingini.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada plasma pemulihan adalah rawatan yang berkesan untuk orang yang disahkan COVID-19. Kami melihat:

• kematian dari sebarang sebab selepas rawatan dengan plasma pemulihan;

• keadaan pesakit bertambah buruk, diukur dengan bilangan orang yang memerlukan sokongan daripada ventilator (mesin yang membantu orang bernafas jika mereka tidak boleh bernafas sendiri) atau meninggal dunia; dan penambahbaikan keadaan pesakit, diukur oleh peserta yang keluar dari hospital;

• kualiti hidup; dan

• Kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat plasma pemulihan untuk merawat orang dengan COVID-19. Kajian boleh dilaksanakan di mana-mana di seluruh dunia dan merangkumi orang dari pelbagai umur, jantina, etnik, dengan penyakit COVID-19 ringan, sederhana atau teruk.

Jika boleh, kami mengumpulkan (menambah) keputusan kajian untuk menganalisisnya. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 33 kajian dengan 24,861 peserta yang mengkaji plasma pemulihan. Antaranya, 29 kajian menyertakan orang yang mengalami COVID-19 sederhana hingga teruk dan empat kajian menyertakan orang yang mengalami COVID-19 ringan. Kajian dilakukan terutamanya di hospital, di negara-negara di seluruh dunia. Penemuan berikut digunakan untuk plasma pemulihan berbanding dengan plasebo (rawatan yang sama tetapi tanpa bahan aktif) atau penjagaan standard.

Orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk

• Plasma pemulihan tidak memberi perbezaan kepada kematian akibat sebarang sebab sehingga 28 hari selepas rawatan, kira-kira 225 dalam 1000 orang meninggal dunia, berbanding 220 dalam 1000 orang yang telah diberi plasma pemulihan (21 kajian, 19,021 orang).

• Plasma pemulihan membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk keperluan pengudaraan mekanikal invasif atau kematian. Kira-kira 287 dalam 1000 orang memerlukan sokongan pengudaraan mekanikal invasif atau meninggal dunia, berbanding 296 dalam 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (6 kajian, 14,477 orang). Tidak ada bezanya kepada peserta yang keluar dari hospital. Kira-kira 665 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau rawatan standard meninggal dunia, berbanding 665 daripada 1000 orang yang telah diberi plasma pemulihan (6 kajian, 12,721 orang).

• Plasma pemulihan mungkin tiada bezanya dengan kesan tidak diingini yang serius, kira-kira 118 dalam 1000 orang mungkin berisiko mendapat kesan tidak diingini yang serius berbanding 133 dalam 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (6 kajian, 4901 orang).

• Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan dalam kualiti hidup (1 kajian, 483 orang).

Orang yang mempunyai COVID-19 ringan
• Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan kematian daripada sebarang sebab sehingga 28 hari selepas rawatan. Kira-kira 22 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau rawatan standard meninggal dunia, berbanding 9 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (2 kajian, 536 orang).

• Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan dengan kemasukan ke hospital atau kematian dalam tempoh 28 hari selepas rawatan. Kira-kira 112 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau rawatan standard dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia, berbanding 117 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (1 kajian, 376 orang).

• Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan dalam masa sehingga gejala COVID-19 diselesaikan (1 kajian, 376 orang).

• Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan kepada kesan yang tidak diingini yang serius.

Apakah batasan bukti?

• Kami sangat yakin dengan bukti kematian akibat sebarang sebab, dan keadaan pesakit yang semakin teruk dan bertambah baik pada orang yang mengalami COVID-19 sederhana hingga teruk, kerana keputusannya adalah konsisten dan adalah daripada banyak kajian berkualiti tinggi.

• Keyakinan kami terhadap bukti lain untuk penghidap COVID-19 sederhana dan teruk, dan ringan masih terhad, kerana kami tidak dapat mengenal pasti keputusan yang cukup konsisten daripada banyak kajian.

• Kami masih mempunyai sedikit bukti tentang kualiti hidup dan untuk orang yang mempunyai penyakit ringan, dan tiada bukti untuk orang yang tidak mempunyai simptom COVID-19.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah versi kelima ulasan kami. Bukti adalah terkini sehingga 03 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Dikemaskini oleh Gurmeet Albail Singh. Di terjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information