Adakah chloroquine atau hydroxychloroquine berguna dalam merawat orang dengan COVID-19, atau dalam mencegah jangkitan dalam individu yang telah terdedah kepada virus tersebut?

Apakah tujuan ulasan ini?

COVID-19 adalah penyakit pernafasan berjangkit yang disebabkan oleh coronavirus yang disebut sebagai SARS-CoV-2. Sekiranya jangkitan tersebut menjadi teruk, pesakit mungkin memerlukan rawatan dan sokongan intensif di hospital, termasuk pernafasan mekanikal.

Ubat-ubatan yang digunakan untuk penyakit-penyakit lain telah dicuba dalam COVID-19, dan ini termasuk chloroquine, yang digunakan untuk malaria; dan hydroxychloroquine yang digunakan untuk penyakit rheumatic, seperti rheumatoid arthritis atau systemic lupus erythematosus. Kami telah mencari bukti tentang keberkesanan ubat-ubatan tersebut dalam merawat pesakit dengan penyakit ini; dalam mencegah penyakit tersebut pada orang yang berisiko mendapat penyakit tersebut, seperti para pekerja kesihatan; serta orang yang telah terdedah kepada virus penyakit ini.

Mesej-mesej utama

Hydroxychloroquine tidak mengurangkan kematian akibat COVID-19, dan mungkin tidak mengurangkan bilangan orang yang memerlukan penafasan mekanikal.

Hydroxychloroquine menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini daripada rawatan plasebo, walaupun nampaknya ia tidak meningkatkan jumlah kesan serius yang tidak diingini.

Kami tidak menganggap kajian baru hydroxychloroquine harus dimulakan sebagai rawatan untuk COVID-19.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada pemberian chloroquine dan hydroxychloroquine untuk orang dengan COVID-19; individu yang berisiko terdedah kepada virus; serta orang yang pernah terdedah kepada virus tersebut.

Kami menemui 14 kajian yang relevan: 12 kajian chloroquine atau hydroxychloroquine yang digunakan untuk merawat COVID-19 pada 8569 orang dewasa; dua kajian hydroxychloroquine untuk menghentikan COVID-19 pada 3346 orang dewasa yang pernah terdedah kepada virus tetapi tidak mempunyai gejala jangkitan. Kami tidak menemui kajian yang lengkap mengenai ubat-ubatan ini untuk menghentikan COVID-19 dari individu yang berisiko untuk terdedah kepada virus; beberapa kajian masih sedang dijalankan.

Kajian-kajian tersebut berlaku di China, Brazil, Mesir, Iran, Taiwan, Amerika Utara dan Eropah; satu kajian melibatkan seluruh dunia. Sebilangan kajian dibiayai sebahagiannya oleh syarikat farmaseutikal yang menghasilkan hydroxychloroquine.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Merawat COVID-19

Berbanding dengan rawatan biasa atau plasebo, hydroxychloroquine:

· jelas tidak mempengaruhi bilangan kematian orang (kerana sebarang sebab; 9 kajian pada 8208 orang);

· berkemungkinan tidak mempengaruhi bilangan orang yang memerlukan pernafasan mekanikal (3 kajian; 4521 orang);

· kemungkinan tidak mempengaruhi bilangan orang yang diuji masih positif virus selepas 14 hari (3 kajian; 213 orang).

Kami tidak pasti sama ada hydroxychloroquine akan mempengaruhi jumlah orang yang gejalanya bertambah baik selepas 28 hari.

Berbanding dengan rawatan antivirus lain (lopinavir ditambah ritonavir), chloroquine menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan terhadap masa yang diperlukan untuk gejala bertambah baik (1 kajian; 22 orang).

Berbanding dengan rawatan biasa dalam satu kajian dengan 444 orang, hydroxychloroquine diberikan dengan azithromycin (antibiotik) tidak memberi perbezaan kepada:

· bilangan orang yang mati;

· bilangan orang yang memerlukan pernafasan mekanikal; atau

· tempoh berada di hospital.

Berbanding dengan febuxostat (ubat untuk merawat gout), hydroxychloroquine tidak memberi perbezaan dalam bilangan orang dimasukkan ke hospital atau perbezaan dilihat pada imej paru-paru; tidak ada kematian yang dilaporkan (1 kajian; 60 orang).

Mencegah COVID-19 pada orang yang terdedah kepadanya

Kami tidak pasti sama ada hydroxychloroquine mempengaruhi jumlah orang menghidap COVID-19, atau jumlah orang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, berbanding dengan mereka yang menerima rawatan plasebo (1 kajian; 821 orang).

Berbanding dengan rawatan biasa, hydroxychloroquine tidak memberi perbezaan dalam risiko menghidap COVID-19, atau antibodi terhadap virus, pada orang yang terdedah kepadanya (1 kajian; 2525 orang).

Kesan yang tidak diingini

Apabila digunakan untuk merawat COVID-19, berbanding dengan rawatan biasa atau plasebo, hydroxychloroquine:

· mungkin meningkatkan risiko kesan ringan yang tidak diingini (6 kajian; 1394 orang);

· mungkin tidak meningkatkan risiko kesan serius yang berbahaya (6 kajian; 1004 orang).

Apabila diberi bersama dengan azithromycin, hydroxychloroquine meningkatkan risiko kesan-kesan yang tidak diingini, tetapi tidak memberi perbezaan pada risiko kesan serius yang tidak diingini (1 kajian; 444 orang).

Berbanding dengan lopinavir ditambah ritonavir, chloroquine menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan pada risiko kesan yang tidak diingini (1 kajian; 22 orang).

Apabila digunakan untuk mencegah COVID-19, hydroxychloroquine mungkin menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini daripada plasebo, tetapi mungkin tidak meningkatkan risiko kesan serius, berbahaya yang tidak diingini (1 kajian; 700 orang).

Seberapa yakinkah kami terhadap hasil kami?

Kami yakin dengan hasil kami tentang bilangan kematian orang serta cukup yakin tentang bilangan orang yang memerlukan pernafasan mekanikal. Kami cukup yakin tentang kesan tidak diingini hydroxychloroquine, tetapi kurang yakin terhadap hasil kami tentang kesan serius yang tidak diingini; hasil ini mungkin akan berubah dengan bukti yang lebih lanjut.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Kami menyertakan bukti yang telah diterbitkan sehingga 15 September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save