Adakah kuarantin secara bersendirian atau gabungan dengan langkah kesihatan awam yang lain mengawal coronavirus (COVID 19)?

Latar belakang

Penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) adalah diakibatkan oleh virus baru yang telah merebak dengan pantas ke seluruh dunia. esakit-pesakit yang dijangkiti olehnya kebanyakannya tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan, seperti selesema tetapi ada juga yang sakit parah dan mempunyai mungkin meninggal dunia.

Tiada vaksin yang berkesan (ubat yang menghalang individu berjangkit dengan penyakit tertentu) untuk COVID-19, jadi cara lain untuk melambatkan penyebaran penyakit adalah perlu. Salah satu cara untuk mengawal penyakit ini adalah kuarantin. Ini bermaksud memisahkan orang yang sihat dari orang lain yang sihat, yang mungkin mempunyai virus setelah berhubungan rapat dengan orang yang dijangkiti, atau kerana mereka telah kembali dari kawasan yang mempunyai kadar jangkitan tinggi. Cadangan-cadangan yang serupa termasuk pengasingan (seperti kuarantin, tetapi untuk individu yang diuji positif untuk COVID-19) dan penjarakan fizikal (individu tanpa gejala menjauhkan jarak antara satu sama lain).

Apakah yang ingin kami kenal pasti?

Kami ingin mengenal pasti sama ada kuarantin merawat, ataupun jika tidak, tahap keberkesanan kuarantin untuk memberhentikan penyebaran COVID-19 dan jika langkah ini dapat mengurangkan kadar kematian. Kami ingin mengetahui jika langkah ini lebih berkesan apabila digabungkan dengan langkah lain, dan berapa harganya..

Ciri-ciri kajian

COVID-19 merebak dengan pantas, maka kami perlu menjawab soalan ini secepat mungkin. Ini bermakna kami telah memendekkan beberapa langkah proses normal semakan Cochrane. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa perubahan ini tidak menjejaskan kesimpulan keseluruhan kami.

Kami telah mencari kajian-kajian yang menilai kesan daripada apa-apa jenis kuarantin, di mana-mana sahaja, mengenai penyebaran dan keterukan COVID-19. Kami juga telah mencari kajian-kajian yang menilai kuarantin apabila digabungkan dengan langkah lain, seperti pengasingan, penjarakan fizikal atau penutupan sekolah. COVID-19 adalah satu penyakit baru, maka, untuk mencari bukti sebanyak mungkin, kami juga telah mencari kajian-kajian mengenai virus yang serupa, seperti SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah).

Kajian-kajian tersebut telah mengukur bilangan kes COVID-19, SARS atau MERS, berapa pesakit yang dijangkiti, seberapa cepat virus itu tersebar, berapa ramai orang yang meninggal dunia, dan kos daripada kuarantin.

Keputusan utama

Kami telah memasukkan 51 kajian. Tiga puluh dua kajian tertumpu terhadap COVID-19, 14 mengenai SARS, tiga pada SARS ditambah dengan virus lain, dan dua lagi pada MERS. Kebanyakan kajian menggabungkan data yang sedia ada dari pelbagai sumber dan andaian untuk mencipta satu model (simulasi) untuk meramal bagaimana peristiwa boleh berlaku dari semasa ke semasa, bagi situasi yang berlainan (dipanggil kajian pemodelan). Empat kajian COVID-19 memerhatikan kesan kuarantin (kajian pemerhatian) terhadap 6064 individu di China, Yunani dan Singapura. Dua puluh lapan kajian COVID-19 mensimulasikan wabak di Algeria, China, Kanada, Itali, Kazakhstan, Nepal, UK, Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, di kapal pesiar Diamond Princess, dan pada populasi umum. Empat kajian telah melihat kembali kesan kuarantin pada 178,122 orang yang terlibat dalam wabak SARS dan MERS. 15 kajian yang selebihnya membuat model wabak SARS dan MERS.


Kajian pemodelan telah mendapati bahawa langkah kuarantin yang telah disimulasi tersebut mengurangkan orang dengan COVID-19 dan bilangan kematian. Dengan kuarantin, anggaran menunjukkan pengurangan minimum dalam bilangan individu dengan COVID-19 sebanyak 44%, dan penurunan maksimum 96%. Begitu juga, dengan kuarantin, anggaran bilangan kematian menunjukkan penurunan minimum sebnyak 31%, dan penurunan maksimum 76%. Menggabungkan kuarantin dengan langkah-langkah lain, seperti penutupan sekolah atau penjarakan fizikal, mungkin lebih berkesan dalam mengurangkan penyebaran COVID-19 berbanding langkah kuarantin sahaja. Kajian SARS dan MERS telah bersetuju dengan kajian COVID-19.

Dua kajian pemodelan SARS telah dilakukan untuk penaksiran kos. Mereka telah mendapati bahawa kos mungkin lebih rendah apabila langkah kuarantin mula lebih awal.

Kebolehpercayaan bukti

Kami tidak yakin tentang bukti yang kami dapati atas beberapa sebab. Kajian pemerhatian terhadap COVID-19 tidak termasuk kumpulan perbandingan tanpa kuarantin. Kajian COVID-19 berasaskan model mereka pada data yang terhad dan andaian yang berbeza telah dihasilkan tentang virus tersebut (e.g. berapa cepat penyakit ini akan menyebar). Kajian lain menyiasat SARS dan MERS sehingga mereka hanya memberikan bukti tidak langsung.

Kesimpulan

Walaupun bukti terhad, semua kajian mendapati kuarantin adalah langkah penting dalam mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti dan bilangan kematian.Walaupun bukti terhad, semua kajian mendapati kuarantin adalah langkah penting dalam mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti dan bilangan kematian. Keputusan-keputusan kajian mencadangkan bahawa kuarantin adalah paling berkesan, dan kosnya rendah, apabila dimula lebih awal. Menggabungkan kuarantin dengan langkah pencegahan dan kawalan yang lain mempunyai kesan yang lebih besar daripada kuarantin sahaja.

Tinjauan semula ini merangkumkan semua kajian yang diterbitkan sehingga 23 Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save