Apakah ubat yang terbaik untuk mereka yang mengalami penyempitan arteri karotid (salur darah yang menghantar darah beroksigen dari jantung ke otak)?

Mesej-mesej utama

Berbanding dengan plasebo (ubat tidak aktif):
- warfarin, antikoagulan (ubat penipisan darah), boleh mengurangkan risiko kesan sampingan sebanyak 11%;
- chlorthalidone, antihipertensi (ubat untuk menurunkan tekanan darah tinggi), boleh melambatkan perkembangan stenosis karotid (penyempitan arteri karotid) sebanyak 55%.

Kajian dengan lebih ramai peserta dan dengan susulan jangka panjang diperlukan untuk menentukan rawatan perubatan terbaik untuk faktor risiko yang boleh diubahsuai pada orang yang tiada gejala penyempitan karotid.

Apakah stenosis karotid tanpa gejala?

Stenosis arteri karotid adalah penyempitan arteri karotid, iaitu saluran darah utama yang menyediakan bekalan darah otak. 'Asymptomatic carotid stenosis' ialah apabila penyempitan ini berlaku pada orang tanpa gejala penyakit ini. Ia disebabkan oleh aterosklerosis: pengumpulan lemak, kolesterol (lemak darah tinggi), dan bahan lain di dalam dan pada dinding saluran darah. Penyempitan arteri karotid boleh berlaku tanpa gejala, jadi gejala pertamanya boleh menjadi strok yang membawa maut atau melumpuhkan.

Bagaimanakah stenosis karotid tanpa gejala dirawat?

Risiko mendapat strok mungkin dikurangkan dengan mengawal faktor risiko aterosklerosis yang boleh diubahsuai, seperti tekanan darah tinggi, merokok, kolesterol dan diabetes. Terdapat pelbagai ubat yang digunakan untuk tujuan ini, antaranya termasuk:

- ubat antihipertensi (yang menurunkan tekanan darah tinggi);
- ubat penurun kolesterol atau lipid (ubat yang menurunkan paras kolesterol tinggi);
- antikoagulan (juga dipanggil 'pencair darah'); atau
- ubat antiplatelet (ubat yang menghalang pembekuan darah daripada terbentuk).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui ubat untuk stenosis karotid tanpa gejala yang terbaik untuk mencegah: kerosakan pada otak, strok, kematian, pendarahan besar, dan perkembangan penyempitan arteri karotid.

Kami juga ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan ini memberi sebarang perbezaan kepada kualiti hidup orang dan sama ada ia dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan satu jenis ubat dengan jenis ubat lain, plasebo (ubat tidak aktif), atau tiada rawatan, pada orang dari sebarang umur dengan penyempitan karotid tanpa gejala.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami menjumpai 34 kajian yang mengkaji ubat-ubatan yang kami minati. Kajian itu melibatkan sejumlah 11,571 orang dengan stenosis karotid tanpa gejala. Umur purata peserta adalah 61 tahun (julat = 18 hingga 100 tahun), dan hampir dua pertiga peserta ialah lelaki. Kajian-kajian telah dijalankan dalam tetapan perubatan pesakit luar di seluruh dunia. Purata tempoh susulan adalah kurang daripada tiga tahun.

Daripada 34 kajian ini, hanya 22 menilai hasil minat kami dan dimasukkan dalam analisis kami. 22 kajian ini melibatkan sejumlah 6887 orang dengan stenosis karotid tanpa gejala.

Tiada kajian menaksir peserta untuk kerosakan neurologi (iaitu otak), dan tidak ada yang mengukur perubahan dalam kualiti hidup manusia.

Keputusan utama

Antiplatelet (aspirin) berbanding plasebo

Aspirin (1 kajian; 372 peserta) mungkin tidak menghalang strok, kematian berkaitan strok, perkembangan penyempitan karotid, atau meningkatkan kesan sampingan berbanding dengan plasebo. Kami sangat tidak pasti tentang kesan aspirin pada peristiwa pendarahan besar.

Ubat antihipertensi (metoprolol dan chlorthalidone) berbanding plasebo

Tidak pasti jika metoprolol (1 kajian, 793 peserta) boleh mencegah strok atau kematian berkaitan strok. Walau bagaimanapun, chlorthalidone (1 kajian, 129 peserta) mungkin memperlahankan perkembangan penyempitan karotid berbanding plasebo. Tiada kajian mengukur peristiwa pendarahan besar atau kesan sampingan.

Ubat antikoagulan (warfarin) berbanding dengan plasebo

Tidak pasti sama ada warfarin (1 kajian, 919 peserta) meningkatkan kejadian pendarahan yang besar berbanding plasebo. Walaubagaimanapun, ia boleh menyebabkan kesan sampingan berbanding dengan plasebo. Kajian tidak mengukur strok, kematian berkaitan strok, atau perkembangan stenosis karotid.

Ubat penurun kolesterol (atorvastatin, fluvastatin, lovastatin, pravastatin, rosuvastatin, dan probucol) berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan

Tidak jelas sama ada ubat penurun kolesterol menghalang strok (5 kajian, 2235 peserta), kematian berkaitan strok (2 kajian, 1366 peserta), atau meningkatkan kesan sampingan (7 kajian, 3726 peserta) berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan. Kajian tidak mengukur peristiwa pendarahan besar atau perkembangan stenosis karotid.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan terhad terhadap bukti untuk pencegahan strok, kematian, perkembangan penyempitan karotid, kesan sampingan, dan peristiwa pendarahan besar. Sesetengah kajian mempunyai masalah metodologi atau reka bentuk kajian yang tidak dilaporkan dengan baik. Secara keseluruhannya, terdapat bukti terhad untuk memaklumkan pembuatan keputusan tentang penggunaan ubat untuk stenosis arteri karotid tanpa gejala.

Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?

Bukti adalah terkini setakat Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Jing Yu Wee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information