Faktor-faktor yang mempengaruhi aktiviti fizikal dalam gangguan bipolar

Mesej utama

Kami menemui beberapa kajian yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan dalam aktiviti fizikal untuk pesakit dengan gangguan bipolar. Kajian-kajian yang kami temui mencadangkan bahawa kerap beraktiviti fizikal boleh memberi manfaat kepada pesakit dengan gangguan bipolar, tetapi terdapat beberapa halangan dan cabaran serta cara yang berkesan untuk menggalakkan mereka menjadi aktif.

Apakah tujuan sintesis ini?

Tujuan sintesis bukti kualitatif ini adalah untuk mencari faktor-faktor yang menggalakkan aktiviti fizikal bagi pesakit dengan gangguan bipolar. Kami mencari dan menganalisis kajian kualitatif tentang pandangan dan pengalaman pesakit dengan gangguan bipolar, professional kesihatan, dan perspektif keluarga/penjaga. Kami menyertakan 12 kajian yang melibatkan sejumlah 592 peserta (422 peserta yang menyumbang data kualitatif kepada tinjauan dalam talian, 170 peserta daripada kajian kualitatif).

Apakah yang dikaji dalam sintesis ini?

Ramai pesakit dengan gangguan bipolar mempunyai masalah kesihatan fizikal, dan meningkatkan aktiviti fizikal boleh membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka. Kami mengkaji penyelidikan kualitatif (penyelidikan yang mengumpulkan pengalaman, kepercayaan dan tingkah laku peserta) yang bertujuan untuk menggalakkan aktiviti fizikal bagi gangguan bipolar dan mendapatkan pandangan daripada pengguna perkhidmatan, profesional kesihatan dan keluarga/penjaga. Penulis ulasan ini, iaitu penyelidik dan/atau profesional kesihatan yang bekerja dalam bidang kesihatan mental dan aktiviti fizikal, mengenal pasti topik ulasan ini kerana penerbitan penyelidikan berkaitan topik ini adalah terhad.

Apakah penemuan utama sintesis ini?

Kami menyertakan 12 kajian yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, dan Australia. Sebelas kajian adalah berpusat di negara berpendapatan tinggi (Australia, Belgium, Kanada, Sepanyol, UK dan USA), dan satu daripada negara berpendapatan sederhana (Brazil). Kebanyakan kajian mengkaji pandangan dan pengalaman aktiviti fizikal pada pesakit dengan gangguan bipolar. Terdapat lebih ramai perempuan berbanding lelaki dalam penyelidikan ini, dan peserta yang terlibat digambarkan sebagai stabil berkaitan penyakit mereka dan berminat untuk membuat perubahan gaya hidup bagi meningkatkan kesihatan mereka.

Kami menurunkan keyakinan kami daripada keyakinan tinggi kepada sederhana atau rendah kerana beberapa penemuan adalah berdasarkan jumlah data yang kecil atau kajian dari beberapa negara sahaja, mempersoalkan sejauh mana penemuan ini boleh digunakan pada ketetapan yang lain. Terdapat juga sangat sedikit perspektif daripada ahli keluarga, penjaga yang lain, atau profesional kesihatan. Tiada penemuan daripada pembekal perkhidmatan.

Secara umum, mereka mempunyai pengetahuan yang terhad tentang faedah aktiviti fizikal untuk menguruskan gejala kesihatan mental dan keperluan kesihatan fizikal mereka. Ramai orang berasa malu dan stigma tentang kesihatan fizikal dan mental mereka, yang menyumbang kepada kebimbangan dan malu dan cara menangani yang negatif, seperti pengasingan sosial. Mengambil ubat, berat badan berlebihan, merokok, dan tidur adalah cabaran untuk menjadi lebih aktif. Kekurangan masa dan wang, cuaca buruk, ketiadaan pengangkutan dan kebimbangan akan keselamatan diri turut diketengahkan sebagai masalah. Menangani pengurangan mendadak dalam tahap aktiviti apabila golongan muda meninggalkan pendidikan merupakan isu kesihatan awam yang ketara, terutamanya untuk wanita muda.

Skim tempat kerja atau penjagaan kesihatan dianggap bermanfaat. Bersedia secara psikologi untuk aktif dan mendapat sokongan sosial dan galakan adalah membantu. Pesakit seronok berhubung dengan alam semula jadi dan membuat hubungan sosial, dan melaporkan faedah yang lain termasuk penurunan berat badan, kualiti hidup bertambah baik, dan aturan mood yang lebih baik. Mencari aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan menjadikannya sebahagian daripada rutin biasa pada tahap dan intensiti yang betul menyumbang kepada pengurusan mood dan penambahbaikan kesejahteraan. Menawarkan peluang yang selamat, boleh diakses, inklusif dan berkos rendah untuk menjadi aktif boleh membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan aktiviti fizikal dan hubungan sosial.

Garis panduan yang lebih jelas tentang manfaat aktiviti fizikal seharusnya memberitahu pelan rawatan kesihatan dan penjagaan, dan melibatkan ahli dari pelbagai bidang kepakaran dengan pengetahuan dan pengalaman dalam gangguan bipolar bagi membantu memberi sokongan kepada pesakit untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal. Pelarasan dan sokongan seharusnya dibuat untuk mewujudkan program aktiviti yang berfaedah dan rutin yang seimbang. Intervensi yang mengambil pendekatan berperingkat, langkah demi langkah untuk memperkenalkan perubahan gaya hidup, contohnya meningkatkan aktiviti fizikal, pemakanan sihat, dan mengurangkan tingkah laku berisiko (cth. berhenti merokok), adalah praktikal dan berkesan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melibatkan pandangan dan pengalaman ahli keluarga dan penjaga serta profesional penjagaan kesihatan, serta orang yang rasa tidak bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information