Intervensi untuk merawat jangkitan aliran darah berkaitan kateter pada orang yang menerima hemodialisis pengawalan

Apakah isunya?

Pesakit dengan kegagalan buah pinggang memerlukan terapi penggantian buah pinggang (kidney replacement therapy, KRT) untuk kelangsungan hidup. Antara pilihan KRT, hemodialisis (HD) adalah kaedah utama dialisis. Pesakit yang menerima HD melalui kateter yang di pasang dalam tubuh mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan saluran darah. Terdapat beberapa pilihan untuk merawat jangkitan aliran darah tersebut. Ini termasuk cecair terkunci (infusi antibiotik dos tinggi di dalam setiap port kateter antara sesi dialisis), penyingkiran kateter diikuti dengan pemasukan yang baru selepas penambahbaikan klinikal awal, pertukaran kateter dengan yang baru dengan wayar panduan (dimasukkan melalui salah satu port kateter ke dalam vena yang sama, membolehkan pemeliharaan tempat vena), dan penggunaan antibiotik sistemik (digunakan sejenis atau digabungkan dengan rawatan lain). Setiap rawatan mempunyai risiko tersendiri.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari Daftar Khusus Buah Pinggang dan Pemindahan Cochrane sehingga 21 Disember 2021 dan melakukan semakan sistematik terhadap kajian yang menyiasat pilihan rawatan untuk jangkitan aliran darah berkaitan kateter pada pesakit yang menjalani HD.

Apa yang kami temui?

Kami menjumpai tiga kajian mendaftarkan 760 peserta yang membandingkan pelbagai jenis rawatan untuk jangkitan aliran darah berkaitan kateter. Tiada kajian yang membandingkan strategi rawatan yang serupa atau menelitikan hasil yang serupa, dan oleh itu kami tidak dapat menggabungkan data dalam analisis meta kami. Perbandingan itu termasuk antibiotik sistemik dengan dua cecair terkunci yang berbeza, antibiotik sistemik sahaja berbanding antibiotik sistemik digabung dengan cecair terkunci etanol, dan antibiotik sistemik digabung dengan penyingkiran kateter berbanding antibiotik sistemik digabung dengan pertukaran kateter.

Satu kajian melaporkan kadar kejayaan yang lebih tinggi untuk merawat jangkitan dengan antibiotik sistemik digabungkan dengan rawatan penguncian etanol daripada antibiotik sistemik sahaja. Kajian lain melaporkan tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan rawatan. Hasil seperti stenosis vena dan/atau trombosis, rintangan antibiotik, kematian, dan kejadian buruk tidak dilaporkan.

Kesimpulan

Kajian rawak lanjut untuk mengenal pasti faedah dan kemudaratan rawatan jangkitan saluran darah berkaitan kateter diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information