Mesej utama
•Intervensi keluarga boleh mengurangkan relaps dalam kalangan individu dengan skizofrenia.
• Intervensi keluarga mungkin mengurangkan beban penjaga dan memperbaik ekspresi emosi (iaitu persekitaran keluarga yang buruk termasuk hubungan keluarga dan pola interaksi) dalam keluarga individu dengan skizofrenia.
• Kajian tambahan diperlukan untuk membolehkan sebarang kesimpulan kukuh tentang intervensi keluarga untuk orang dengan skizofrenia dan keluarga mereka.
Apakah itu skizofrenia dan bagaimana ia mempengaruhi keluarga?
Skizofrenia adalah gangguan mental berpanjangan yang serius . Orang dengan skizofrenia boleh mengalami khayalan, halusinasi, ucapan tidak teratur dan penurunan fungsi dan penjagaan diri, atau gabungan gejala-gejala ini. Mereka sering pulih kemudian menjadi sakit lagi (relaps). Rawatan biasanya berjangka panjang dan terdiri daripada ubat dan intervensi 'psikososial', seperti latihan kemahiran sosial, dan terapi bercakap dan tingkah laku, yang membantu pesakit pulih dan mengawal gejala mereka. Keluarga memainkan peranan penting bagi menjaga saudara-mara yang sakit, yang seterusnya menyumbang kepada tahap tekanan dan beban yang tinggi bagi keluarga, yang berpotensi meningkatkan risiko relaps dalam kalangan pesakit. Intervensi keluarga memberi tumpuan kepada memperbaik pengetahuan, emosi, tingkah laku, dan persekitaran keluarga secara keseluruhan, dengan itu memberi manfaat kepada kesejahteraan keluarga dan pengurusan gejala pesakit. Walaupun kebimbangan tentang privasi dan membebankan keluarga mereka, kebanyakan orang dengan skizofrenia bersetuju untuk melibatkan keluarga dalam penjagaan mereka.
Apa yang kami ingin tahu?
Beberapa garis panduan mengesyorkan intervensi keluarga tetapi bukti keberkesanannya terhadap orang dengan skizofrenia dan keluarga mereka pada masa ini tidak konsisten dan tidak kukuh. Kami bertujuan menilai kesan intervensi berasaskan keluarga untuk orang dengan skizofrenia atau gangguan seperti skizofrenia dan keluarga mereka berbanding penjagaan standard.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat intervensi berasaskan keluarga untuk orang dengan skizofrenia dan keluarga mereka. Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apa yang kami temui?
Kami temui 26 kajian; 1985 orang dengan skizofrenia dan 2056 ahli keluarga. Para pesakit yang disertakan kebanyakannya berusia 26 hingga 38 tahun dan mengalami skizofrenia selama 2.5 hingga 13 tahun. Umur ahli keluarga adalah antara 36 hingga 56 tahun. Kajian-kajian ini dijalankan di 12 negara.
Berbanding penjagaan standard, intervensi keluarga:
• boleh mengurangkan relaps sehingga satu bulan selepas rawatan (4 kajian, 229 orang);
• mungkin mengurangkan beban penjaga sehingga satu bulan selepas rawatan (8 kajian, 563 orang);
• mungkin mengakibatkan lebih banyak keluarga berubah dari emosi ekspresi yang tinggi ke rendah (iaitu persekitaran keluarga yang buruk) di akhir kajian (2 kajian, 72 orang);
• mungkin tidak banyak perbezaan dalam kematian pesakit semasa kajian (6 kajian, 304 orang); dan
• mungkin tidak banyak perbezaan dalam kemasukan pesakit ke hospital sehingga satu bulan selepas rawatan (2 kajian, 153 orang).
Kami sangat tidak pasti sama ada intervensi keluarga membantu pesakit untuk terus mengambil ubat mereka atau memperbaik kualiti hidup mereka.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan terhad terhadap bukti atas beberapa sebab. Kebanyakan kajian hanya ada sebilangan kecil orang (dan mereka mungkin tahu kumpulan rawatan mereka, yang mungkin mengubah tingkah laku mereka), kami mendapati sangat sedikit maklumat tentang kebanyakan kajian, dan sebilangan kecil kajian memberi maklumat tentang perkara utama yang kami minati (termasuk emosi ekspresi keluarga, pematuhan pesakit terhadap ubat, dan kualiti hidup). Kajian-kajian mengguna pelbagai intervensi dan menyampaikan dan mengukurnya secara berbeza, oleh itu sukar untuk membandingkan keputusannya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang terakhir dikemaskini pada 2011. Bukti adalah terkini sehingga April 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).