Intervensi penjagaan kulit untuk mencegah ekzema dan alahan makanan

Adakah melembabkan kulit bayi dapat mencegah ekzema atau alahan makanan?

Mesej utama

Rawatan penjagaan kulit pada bayi, seperti menggunakan pelembap pada kulit pada tahun pertama kehidupan, mungkin tidak menghalang mereka daripada mengalami ekzema, dan mungkin meningkatkan kemungkinan jangkitan kulit.

Kami tidak pasti bagaimana rawatan penjagaan kulit dapat mempengaruhi kemungkinan berlakunya alahan makanan. Kami memerlukan bukti dari kajian yang dijalankan dengan baik untuk menentukan kesan penjagaan kulit terhadap alahan makanan dalam bayi.

Apa itu alahan?

Tindak balas imun adalah bagaimana tubuh mengenali dan mempertahankan diri daripada bahan yang kelihatan berbahaya. Alahan adalah reaksi sistem pertahanan badan terhadap makanan atau bahan tertentu (alergen) yang biasanya tidak berbahaya. Alahan yang berbeza mempengaruhi bahagian tubuh yang berlainan, dan kesannya boleh jadi ringan atau serius.

Alahan makanan dan ekzema

Ekzema adalah alahan biasa pada kulit yang menyebabkan kulit kering, gatal, retak. Ekzema biasa berlaku pada kanak-kanak, sering timbul sebelum ulang tahun pertama mereka. Kadang-kadang ia adalah keadaan yang bertahan lama, tetapi ia mungkin bertambah baik atau hilang ketika kanak-kanak semakin membesar.

Alahan terhadap makanan boleh menyebabkan gatal-gatal di mulut, ruam timbul yang merah gatal, muka membengkak, gejala perut atau kesukaran bernafas. Ia selalunya berlaku dalam 2 jam selepas makanan dimakan.

Orang yang mempunyai alahan makanan sering mengalami keadaan alahan lain, seperti asma, demam, dan ekzema.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui bagaimana penjagaan kulit mempengaruhi risiko bayi mengalami ekzema atau alahan makanan. Rawatan penjagaan kulit termasuk:

• meletakkan pelembap pada kulit bayi;

• memandikan bayi dengan air yang mengandungi pelembap atau minyak pelembap;

• menasihati ibu bapa untuk menggunakan kurang sabun, atau jarang memandikan anak mereka; dan

• menggunakan pelembut air.

Kami juga ingin mengetahui apakah rawatan penjagaan kulit ini menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian tentang pelbagai jenis penjagaan kulit untuk bayi yang sihat (berumur hingga satu tahun) tanpa alergi makanan, ekzema, atau keadaan kulit yang lain.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Julai 2020.

Kami berminat dengan kajian-kajian yang melaporkan:

• berapa ramai kanak-kanak yang menghidap ekzema, atau alahan makanan, pada usia satu hingga tiga tahun;

• betapa teruknya ekzema (dinilai oleh penyelidik dan ibu bapa);

• berapa lama ekzema berkembang;

• laporan ibu bapa mengenai reaksi segera (di bawah dua jam) terhadap alergen makanan;

• berapa ramai kanak-kanak yang mempunyai kepekaan terhadap alergen makanan tertentu; dan

• sebarang kesan yang tidak diingini.

Kami menilai kekuatan dan kelemahan setiap kajian untuk menentukan seberapa boleh dipercayai hasilnya. Kami kemudian menggabungkan hasil semua kajian yang relevan dan melihat kesan keseluruhan kesan.

Apa yang kami temui

Kami menemui 33 kajian yang melibatkan 25,827 bayi. Kajian-kajian ini berlaku di Eropah, Australia, Jepun, dan Amerika Syarikat, paling kerap di hospital kanak-kanak. Penjagaan kulit dibandingkan dengan tanpa penjagaan kulit atau penjagaan seperti biasa (penjagaan piawai). Tempoh rawatan dan susulan berkisar antara 24 jam hingga dua tahun. Banyak kajian (13) menguji penggunaan pelembap; yang lain terutamanya menguji penggunaan produk mandi dan pembersih dan seberapa kerap ia digunakan.

Kami menggabungkan hasil 11 kajian; lapan melibatkan bayi yang berisiko tinggi mengalami ekzema atau alahan makanan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Berbanding dengan tanpa penjagaan kulit atau penjagaan piawai, pelembap:

• mungkin tidak mengubah risiko mengalami ekzema pada usia satu hingga dua tahun (bukti dari 7 kajian pada 3075 bayi) atau masa yang diperlukan untuk ekzema berkembang (9 kajian; 3349 bayi);

• mungkin sedikit meningkatkan jumlah reaksi segera terhadap alahan makanan biasa pada dua tahun, seperti yang dilaporkan oleh ibu bapa (1 kajian; 1171 bayi);

• mungkin menyebabkan lebih banyak jangkitan pada kulit (6 kajian; 2728 bayi);

• boleh meningkatkan kesan yang tidak diingini, seperti perasaan menyakitkan atau reaksi alergi terhadap pelembap (4 kajian; 343 bayi); dan

• boleh meningkatkan kemungkinan bayi tergelincir (4 kajian; 2538 bayi).

Kami tidak pasti sama ada rawatan penjagaan kulit mempengaruhi kemungkinan mengalami alahan makanan seperti yang dinilai oleh penyelidik (1 kajian; 996 bayi) atau kepekaan terhadap alergen makanan (2 kajian; 1055 bayi) pada usia satu hingga dua tahun.

Keyakinan terhadap hasil kami

Kami cukup yakin dengan hasil kami untuk mengalami ekzema dan masa yang diperlukan untuk terjadinya ekzema. Hasil ini mungkin berubah sekiranya terdapat lebih banyak bukti. Kami kurang yakin dengan hasil kami untuk alahan makanan atau kepekaan, yang berdasarkan pada bilangan kajian yang kecil dengan hasil yang sangat bervariasi. Hasil ini cenderung berubah apabila terdapat lebih banyak bukti. Keyakinan kami terhadap penemuan jangkitan kulit adalah sederhana tetapi rendah untuk reaksi menyakitkan atau alahan dan tergelincir.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save