Gabungan beta agonis dos tetap dan steroid penyedut mengikut keperluan untuk orang dewasa atau kanak-kanak dengan asma ringan

Latar belakang

Asma adalah penyakit pernafasan yang paling biasa. Ramai orang yang menghidap asma mempunyai asma ringan, tetapi masih berisiko mengalami asma yang teruk, yang sering mengakibatkan penggunaan steroid oral. Asma ringan biasanya dirawat dengan penyedut pencegah, yang mengandungi steroid yang digunakan untuk mengurangkan keradangan pada saluran udara, dan dengan penyedut penenang, otot pada saluran udara menjadi lega lalu melepaskan gejala asma dengan cepat. Gabungan penyedut mengandungi kedua-dua steroid pencegahan dan penenang, memudahkan rawatan dan memastikan steroid selalu diberikan bagi melegakan gejala.

Soalan ulasan

Kami memeriksa penemuan ujian klinikal untuk menilai penggunaan penyedut gabungan dalam rawatan asma ringan apabila diambil berdasarkan keperluan, dan gejala.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian sehingga Mac 2021. Keputusan dikumpulkan dari enam kajian yang membandingkan penggunaan penyedut gabungan yang digunakan berdasarkan keperluan dengan sama ada penenang yang digunakan berdasarkan keperluan atau rawatan harian dengan penyedut pencegahan dos rendah.

Penemuan utama

Kami mendapati penyedut gabungan yang digunakan mengikut keperluan ketika dibandingkan dengan penenang sahaja mengurangkan keterukan asma yang memerlukan steroid tablet dan kadar kemasukan kecemasan ke hospital dengan gejala asma. Perbezaan dalam ukuran lain yang berkaitan dengan kawalan gejala dan fungsi paru-paru adalah terlalu kecil untuk menjadi penting secara klinikal. Kadar eksaserbasi asma yang teruk adalah serupa antara pesakit yang menggunakan penyedut pencegahan steroid harian dan mereka yang menggunakan penyedut gabungan mengikut keperluan. Orang yang menggunakan penyedut gabungan mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang lebih rendah dan jumlah steroid yang disedut juga lebih rendah, sementara perbezaan fungsi paru-paru dan kawalan gejala asma adalah tidak signifikan secara klinikal.

Ulasan ini mendapati penggunaan penyedut gabungan yang digunakan ketika pesakit mengalami gelaja asma adalah bermanfaat dalam mengurangkan eksaserbasi yang teruk apabila dibandingkan dengan terapi penenang sahaja dalam asma ringan. Selain itu, penggunaan penyedut gabungan yang digunakan mengikut keperluan adalah berkaitan dengan pengurangan kemasukan ke hospital dan jumlah dos steroid yang disedut apabila dibandingkan dengan terapi penyedut pencegahan dos rendah yang diambil secara berkala.

Kualiti bukti

Kajian yang menyumbangkan data adalah dirancang dengan baik dan mantap, walaupun dua kajian adalah label terbuka (peserta tahu rawatan yang mereka terima), dengan beberapa potensi bias, jadi bukti ini umumnya adalah berkualiti sederhana hingga tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Chui Jiet (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information